7 Dosa Besar DiJauhi Negara DiBerkati

 

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … 
 
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. 
 
 Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
 
 Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar : وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَ‌كْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai nabi Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi. Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh agama berkenaan dosa pahala, Syurga Neraka, dunia akhirat agar kita tidak lalai sehingga melampaui syariat. Sesuai dengan sistem agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka berjayalah umat yang meletakkan Islam sebagai cara hidup dan betapa ruginya umat yang hanya menjadikan agama hanya berguna pada perkara yang selari dengan kehendak nafsunya dengan menolak system agama yang bercanggah dengan nafsu serakahnya. Jadikanlah diri kita sebagai warga akhirat yang menjadikan dunia hanya sebagai tempat persinggahan dalam mengumpul sebanyak mungkin bekalan akhirat. Jangan sama sekali jadikan diri kita sebagai warga dunia yang menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat hidup sehingga mengenepikan akhirat. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa memperingatkan kita bahawa dunia adalah tempat untuk beramal manakala akhirat nanti adalah tempat untuk kita menerima pembalasan samada Syurga yang penuh nikmat atau Neraka yang penuh azab. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkat amal soleh disamping menjauhi dosa derhaka terhadap Allah terutama 7 dosa besar sebagaimana yang diungkapkan oleh nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RH:
 
 قال الرسول : اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوْبِقَاتِ ؟ قَالُوا يَارَسُوْلَ اللهِ وَ مَا هُنَّ ؟ قَالَ الشِرْكُ بِاللهِ وَ السِّحْرُ وَ قَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَ أَكْلُ الرِّبَا وَ أَكْلُ ماَلِ الْيَتِيْمِ وَ التَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَ قَذْفُ الْمحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ 
 
Maksudnya : Jauhilah 7 perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah 7 perkara tersebut?. Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan untuk dibunuh kecuali dengan haq (benar), makan riba, makan harta anak yatim, lari dari pertempuran dan menuduh zina terhadap wanita beriman yang terhormat serta menjaga kehormatan
 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 43 surah al-Furqan : أَرَ‌أَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا 
 
Maksudnya : Nampakkah (wahai nabi Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?. Dosa paling besar yang wajib kita jauhi ialah dosa syirik mempersekutukan Allah. Biasanya kita mudah nampak apabila manusia yang syirik pada Allah dalam menyembah patung berhala, matahari, pokok dan sebagainya yang dianggap sebagai tuhan. Apa yang jelas masih diteruskan oleh pemimpin walau pun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa ialah penghormatan kepada Tugu Pahlawan. 
 
Begitu juga sikap memperkecilkan sistem Islam dengan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan Islam disamping membiarkan suara-suara sumbang dari kalangan umat Islam sendiri yang memperlekehkan undang-undang Islam dalam masalah hukum Hudud, penutupan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya akibat dirasuk dengan fahaman sesat sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan mentadbir dunia. 
 
Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat iman dan Islam yang wajib dijaga termasuk kita yakin bahawa Allah sahaja yang Maha Memberi rezeki di mana makhluk termasuk pemimpin hanya sebagai suatu cara untuk menyampaikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Menjadi suatu kesalahan besar jika terlalu terhutang budi kepada orang yang berbuat baik kepada kita termasuk ibubapa sehingga kita mengikut suruhan yang bercanggah daripada syariat Islam. Ingatlah alasan terakhir Firaun bila tidak mampu melawan kekuatan hujah nabi Musa a.s. iaitu mengungkit jasa beliau yang menjaga dan memberi makan minum nabi Musa semenjak dari kecil lagi namun dengan tegas ditolak oleh Musa a.s bahawa baginda tidak akan menyokong syirik dan kezaliman serta memperingatkan Firaun bahawa Pemberi rezeki yang sebenar adalah Allah
 
 Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Dosa besar yang kedua ialah amalan sihir di mana tidak dapat dinafikan ada ramai di kalangan umat Islam sendiri yang terlibat dengan amalan ini termasuk masalah mencari kedudukan dalam politik kepartian sehingga negara pernah digegarkan dengan pembunuhan wakil rakyat oleh bomoh.
 
 Dosa besar yang ketiga ialah membunuh orang tanpa sebenar di mana kita melihat akhir-akhir ini pembunuhan yang berlaku dalam negara semakin meningkat. Ia disebabkan daripada sifat tercela yang merasuk jiwa seperti hasad dengki, gagal mengawal kemarahan, gila harta dan pangkat disamping mabuk arak dan ketagihan dadah. Imam Hasan al-Basri berkata : “ 4 perkara di mana sesiapa yang memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada azab Neraka iaitu sesiapa yang mampu menahan diri ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan” Firman Allah dalam ayat 93 surah an-Nisa’ : 
 
وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا 
 
 Maksudnya : Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 278 – 279 surah al-Baqarah : 
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُ‌وا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّ‌بَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْ‌بٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَ‌سُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُ‌ءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ 
 
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. 
 
Dosa besar yang keempat ialah makan riba di mana kita di Kelantan Alhamdulillah tindakan bijak kerajaan negeri untuk mengeluarkan simpanannya dari bank riba menyebabkan semua bank bertindak mengadakan kaunter perbankan Islam. Sedangkan kesungguhan di peringkat negara terhadap haramnya riba masih dingin di mana banyak amalan riba bukan sahaja diteruskan malah disuburkan lagi sedangkan dunia sedang menyaksikan sistem riba antara sebab utama ekonomi dunia semakin hancur dan banyak negara menjadi muflis. Akibat teralu seronok dengan janji syaitan bahawa riba menguntungkan menyebabkan amaran Allah yang mengisytiharkan perang terhadap amalan riba dipandang sepi.
 
 Dosa besar yang kelima ialah makan harta yatim dengan cara yang bercanggah dengan syariat. Islam begitu memuliakan anak yatim dan golongan yang menjaga kebajikan mereka disamping memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengkhianati anak yatim. Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Isra’ :
 
 وَلَا تَقْرَ‌بُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا 
 
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
 
 Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, 
 
 Dosa besar yang keenam ialah lari daripada medan perjuangan. Kita sebelum ini menyaksikan bagaimana pencerobohan terhadap bumi Palestin, Iraq dan sebagainya yang menuntut jihad peperangan terhadap musuh Islam. Manakala dalam masa sebulan lebih ini kita didedahkan dengan pencerobohan di Lahad Datu yang telah mengorbankan ramai polis dan tentera. Kita doakan semoga ia diselesaikan dengan baik dan segera disamping mimbar Jumaat pada hari ini mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga perwira kita. Kita juga mesti memperkasakan amar makruf nahi mungkar dan jangan lari daripada tugas penting ini termasuk dalam masalah kepimpinan di mana ketika merenungi suatu hadis daripada Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya hingga sampai kepada Zubair Adi.
 
 Beliau berkata, “Kami datang kepada Anas Malik, kemudian kami mengadu kepadanya mengenai kezaliman yang dilakukan Hajjaj Yusuf Thaqafiy. Dia menjawab, “Sabarlah, kerana setiap zaman yang berjalan yang kemudiannya lebih buruk daripada sebelumnya. Hingga kamu bertemu Rabb kamu. Saya mendengar hadis ini daripada Nabi SAW.” Menurut Ibnu Masud, “Hadis ini tidaklah bererti pemerintah hari esok lebih buruk daripada pemerintah hari ini, juga bukan bererti tahun akan datang lebih buruk daripada tahun ini. “Maknanya, ulama kamu dan ahli fiqah ramai yang meninggal dunia sehingga kamu tidak menemui pengganti mereka, akhirnya datanglah orang yang tidak berilmu memberikan fatwa dalam agama berdasarkan akal mereka.” Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Akhirnya orang yang tidak berilmu itu menelanjangkan Islam dan menghancurkannya.” 
 
 Oleh itu kita jangan lari daripada perjuangan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu kita kepada kebahagiaan hidup dunia akhirat agar kemakmuran dan keberkatan Negara terus dikecapi Dosa besar yang ketujuh ialah menuduh orang yang beriman dan soleh terlibat dengan perbuatan terkutuk seperti zina dan liwat. Pada hari ini sekali lagi tuduhan liwat dan zina terhadap seseorang melalui video dan sebagainya dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah akibat daripada hukuman Islam diketepikan. Ingatlah amaran Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :
 
 وَالَّذِينَ يَرْ‌مُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْ‌بَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ 
 
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; 
 
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ






Comments

Popular posts from this blog