Indahnya Warna-warni Pelangi
Berikut merupakan
petikan Khutbah Jumaat JAIS hari ini (26 April 2013) yang bertajuk: “Indahnya
Warna-warni Pelangi”.
“Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, maka dia
tidak tergolong sebagai orang Islam". (Riwayat Tabrani)
Politik atau siasah merupakan antara cabang hidup yang
sangat penting dalam urusan kita untuk membina ummah. Selain daripada ibadah
khusus, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan pembangunan fizikal, tidak
kurang pentingnya dalam meneruskan agenda pembentukan ummah yang madani.
Apabila politik itu stabil maka semua urusan dalam
kehidupan dapat berjalan dengan baik dan begitulah sebaliknya.
Contoh ialah bagaimana tindakan politik Nabi Muhammad
s.a.w yang telah membentuk Piagam Madinah kerana mahu mewujudkan sistem
keadilan bagi masyarakat Madinah ketika itu tanpa membezakan bangsa dan
keturunan. Piagam Madinah adalah asas yang paling berkesan untuk membinaan
kembara dakwah yang lebih mantap dengan memperkukuhkan sistem dan iltizam
politik Islam.
Politik telah dijadikan sebagai saluran dakwah yang paling
berkesan ketika itu, hinggakan sokongan terhadap Baginda telah merentasi bukan
sekadar diperolehi dari kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam.
Natijahnya kesan yang paling manis atas kesabaran Baginda
ketika berdakwah maka ramai yang memeluk Islam kerana terpikat dengan hikmah
dan siasah dakwah Rasulullah s.a.w. Ianya memberi pengertian bagi kita agar
turut memberi tumpuan politik sebagai medan dakwah Islamiah.
Sama ada di media cetak mahupun elektronik kini, topik
pilihanraya atau lebih tepat topik
politik telah menjadi bualan, perbincangan dan sebutan.
Perang poster parti-parti yang bertanding berkibar di
semua sudut dan tempat untuk menarik sokongan terhadap parti masing-masing.
Malah dengan penggunaan teknologi terkini dalam dunia internet maka kepantasan
untuk menyampaikan maksud kempen mereka nampaknya semakin rancak dikemaskini.
Nasihat
buat semua,
Apa yang perlu difahami ialah
hakikat sebenarnya pilihanraya bukanlah medan atau
gelanggang untuk kita saling salah menyalah, tuding menuding mencari salah, hina menghina antara satu
dengan yang lain, fitnah-memfitnah atau menjadi medan menunjuk kuat di antara
satu dengan yang lain.
Apa yang mendukacitakan lagi medan
politik telah dijadikan alasan untuk matlamat menghalalkan cara. Maka tidak
hairanlah jika kita memerhatikan pertelingkahan yang berlaku dalam suasana
politik ini berakhir dengan pertumpahan darah dan saling berbunuh-bunuhan.
Akibatnya muncul pula persepsi
bahawa politik itu kotor, ini adalah disebabkan masing-masing membelakangkan
adab dan siasah Islamiah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesannya,
sebahagian umat Islam menganggap bahawa politik tidak patut diceburi.
Sebagai umat Islam perlu di ingat
bahawa gelanggang politik ini sebenarnya adalah pentas atau gelanggang untuk
mencari kesejahteraan hidup bernegara supaya semua rakyat diberi keadilan, dan
menikmati kesejahteraan dalam kehidupan.
Apa yang mesti kita ketahui ialah berpolitik
merupakan kewajipan kepada umat Islam. Sebab itu sebagai seorang Islam mestilah kita mengambil
bahagian atau sekurangnya menjadi pemilih kepada kaedah untuk membentuk
kerajaan ini.
"Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum
di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya
Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada
kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Melihat". (surah An-Nisa' ayat 58)
Tidak cukup setakat "penggantung
dan penampal poster" itu sahaja, tetapi perlu mempersiapkan diri dengan
ilmu agar masa depan politik akan terjamin dan mempunyai prinsip politik yang
mantap dalam berjuang untuk rakyat seterusnya untuk Islam itu sendiri.
Amalan
politik oleh Rasulullah s.a.w :
1-
Rasullullah s.a.w bukan sahaja dikenali
sebagai Nabi atau daie tetapi baginda juga adalah pencatur politik yang
terbaik, malah politik juga adalah sebahagian daripada cara dakwah yang
digunakan oleh baginda Rasullullah s.a.w dalam menyampaikan syiar Islam.
2-
Berakhlak mulia. Akhlak Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin politik bukan sahaja
disanjungi dan ditaati oleh para pengikutnya malah Rasullullah s.a.w sangat di segani dan di hormati oleh
musuh-musuhnya sendiri.
3-
Diplomasi walau berbeza agama. Adalah sangat menakjubkan apabila kerajaan
Habsyah yang berbeza agama pendapat dengan Baginda s.a.w sudi memberi
perlindungan politik kepada orang-orang Islam sebelum berhijrah ke Madinah.
4-
Memaafkan musuh-musuh politik. Sejarah pembukaan Kota Mekah adalah kemuncak
yang telah menceritakan segala-galanya terhadap sikap dan prinsip politik
Rasullullah s.a.w dengan memaafkan semua musuh politiknya.
"Apabila datang pertolongan Allah
dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri
Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai.
Maka ucapkanlah
tasbih dengan memuji Tuhan-Mu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Ia
sangat-sangat menerima taubat". (Surah An-Nasr ayat 1-3)
Umat Islam wajiblah menjadikan Rasullullah s.a.w sebagai
contoh cara untuk berpolitik yang sihat. Janganlah kerana perbezaan pandangan
politik, kita berpecah,beseteru atau memutuskan ukhwah Islamiah. Adalah sangat
wajar menjadikan medan politik ini sebagai dakwah bil hal yang perlu
ditunjukkan kepada umat-umat yang lain.
Contohilah
warna-warni pelangi,
Biarlah kita menjadi seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Dan sudah tentu itulah yang paling penting buat kita yang
bernama mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara
kedamaian.
Sesungguhnya perbezaan pendapat itu perlu dijana supaya
dihadkan kesan perbalahannya. Jangan sampai nanti pilihanraya sudah berlalu
tetapi kita masih bermusuh dan tidak bertegur sapa. Sebarang masalah yang
timbul perlu diselesaikan secara hikmah bukan secara ammarah.
Semoga dengan terjawabnya siapa yang menang dan siapa yang
tidak berjaya dalam memenangi piliharaya kali ini, dapat meredakan
"kepanasan" yang melanda. Marilah kita raikannya dengan bermaaf-maafan
di antara satu dengan yang lain kerana dengan cara itu sahaja, kemenangan akan
menjadi lebih bermakna.
"Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah
yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,
dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.
Engkaulah
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah
yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah
sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu". (Ali-Imran : 26)
http://iniperspektifku.blogspot.com/
Comments
Post a Comment