Siapa Kata REZEKI tu KERAJAAN BAGI? | REZEKI Tu ALLAH SWT Yang Tentukan
Siapa Kata REZEKI tu KERAJAAN BAGI? | REZEKI Tu ALLAH SWT Yang Tentukan |
Siapa kata rezeki itu Kerajaan yang bagi? Rezeki itu Allah s.w.t yang tentukan.
Jaminan Rezeki Daripada ALLAH
Salam pembaca sekalian,
Kita sering merasa resah..risau..panik..dalam urusan kehidupan ini. Terutama mengenai rezeki, masa depan dan kejayaan hidup.
Satu pesan saya kepada pembaca sekalian, janganlah
sekali-kali kita merasa bahawa Allah akan mensia-siakan hidup kita dan
tidak menjaminnya.
Asalkan kita menjadi hamba-Nya dengan menjadi hamba yang bertakwa, sudah pasti Allah akan terus menjamin kehidupan kita semua.
Oleh itu mari kita merenung serangkai ayat Qur’an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :
“……dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya”
(Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya
adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya
Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.
Firman Allah SWT:
“Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan
segala urusan”
(Surah Ali Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh
mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung
kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan
malah mungkin jutaan tahun.
Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk
menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang
dikehendakiNya. Inilah antara makna “Ilah” yang terkandung di dalam
kalimah syahadah iaitu “la ilah haillallah”.
Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini
mengajar kita iktiqad “Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah”.
Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT
bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh
membawa kepada syirik.
Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti
posmen yang menghantar surat kepada seseorang. Bukannya surat itu
daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada ditangannya itu juga
datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan rezeki kepadanya?
Firman Allah SWT :
“Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya”
(Surah Al-Mulk, ayat 21).
Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
“Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang
ada padaku atau mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu
bagiMu. Milikmu segala pujian dan terima kasih kami”
(Zikir al-Ma’surat. Riwayat Imam an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).
Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi.
Manusia hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga
tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung
kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT.
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana
di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
(Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia
bukti sebuah kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi
dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang
dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama dadah.
Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti juga
hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah
sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk
kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya
satu sahaja iaitu ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai
“deenulhayah” untuk kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak
terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami
bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan
kalimah “makhluk bergerak” bukannya hanya menanti yang bulat datang
bergolek dan yang pipih datang melayang.
Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin apabila
ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk nasi
juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi kerana ia
yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yang berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan
sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan,
dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”
(Surah al-Baqarah, ayat 155).
Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah
dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya
semakin lemah.
Ia tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap
ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya,
petandanya Allahlah yang menyempitkan kehidupannya seperti asma’ Allah
yang bernama “Al Qobidh”.
“Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”
(Surah al-Baqarah, ayat 245).
Bangsa-bangsa yang terus “bergerak” telah menguasai
dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka
menguasai semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan
pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu
bergerak bagi mencarinya.
Berkata Imam Syafi’ie rhm:
“Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu”.
Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi
terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik
untuk mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada
pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri”
(Surah ar-Ra’du, ayat 11).
Para pembaca sekalian, soal rezeki terlalu panjang
perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu
semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.
Disesuaikan dari artikel asal Rezeki Dari Allah
Foto ihsan Jkkk Fan Clubhttp://www.queachmad.com
http://pemikirkaya.com/
Comments
Post a Comment