Menutup Telefon Bimbit Ketika Solat
Pergerakan dibenarkan kerana maslahah jaga khusyuk
SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu
mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan
persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang
serta memakai pakaian bersih.Persediaan juga mengambil kira mengelak
daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku
sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana
bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah
lain.Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang
jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan
khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan
bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana
boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu
dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon
bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.
Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya
sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan
solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau
membiarkan saja telefon terus berdering.
Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa
membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan
bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini
dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar
daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.
Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat.
Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan
banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan
anggota kecil, maka dibolehkan.
Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau
sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan
secara berturutan maka ia membatalkan solat.
Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan
yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan
serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan
lain-lain lagi.
Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan
sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya,
pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya
daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.
Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa
inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada
terganggu.
Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil
mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya
di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW
sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika
solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada
sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak
dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.
Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat
melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di
samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali
berturut.
Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang
terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan
solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam
Syafie.
Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan
mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan
ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat
adalah wajib.
Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan
yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang
mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk
membunuh binatang bisa kecil ketika solat.
Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan
bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang
sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.
Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.
Comments
Post a Comment