Wahai Orang-orang Baik, Berpolitiklah!
Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam memegang kuasa politik di Madinah, negara jadi aman, masyarakat saling hormat-menghormati, tiada sistem kasta, politik menjadi sejahtera, ekonomi sangat adil, gejala sosial hampir sifar, jenayah sangat kurang dan bermacam-macam nilai positif dapat dikembangkan di dalamnya.
Bukan tiada anasir luar dan dalam yang cuba menggugat keadaan Madinah ketika itu. Ada, tetapi disebabkan oleh Madinah dipimpin oleh insan yang sempurna akhlaqnya dan didokong pula oleh lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang soleh, maka kesejahteraan negara dapat ditingkatkan ke tahap yang optimum.
Hari ini, banyak negara ummat Islam menjadi kucar-kacir, politik tidak stabil, ekonomi tidak seimbang, sosialnya menyedihkan, jenayah pula tidak terkira dan maruah negara pula dipermain-mainkan.
Kenapa?
Ada banyak punca. Sebahagian dari punca-puncanya ialah ramai orang-orang baik di kalangan ummat Islam tidak lagi terlibat dengan politik dan tidak mahu berkecimpung di dalamnya. Kuasa politik kini dipegang oleh orang-orang yang tiada atau kurang penghayatan Islam. Ia dibiarkan menjadi medan mengaut keuntungan oleh manusia-manusia yang tiada atau kurang iman. Apabila negara tidak ditadbir oleh orang-orang baik, maka inilah jadinya!
Ada banyak sebab kenapa ramai orang-orang soleh meninggalkan bidang ini. Saya tidak mahu memanjangkan tulisan ini dengan membicarakan sebab-sebabnya walaupun sebenarnya membicarakannya sangat penting kerana tidaklah sesuatu masalah itu dapat diselesaikan melainkan menjadikan sebab-sebab sebagai subjek utama perbincangan. Itu boleh dibincangkan atau dibaca dalam arena yang lain. Di sini saya sekadar ingin mengajak agar orang-orang yang soleh tidak membiarkan urusan yang sangat penting ini dipegang oleh tangan-tangan orang yang jahat dan tidak beragama. Kelak nanti rosak masyarakat semuanya.
Dasar-dasar negara, keputusan sesuatu isu, perancangan masa depan, keutamaan negara, sistem ekonomi, sosial dan sebagainya ditentukan oleh orang-orang politik di dalam sistem yang telah dipersetujui bersama. Jika yang memutuskan ini semua adalah orang-orang yang kotor fikiran, keruh hati dan buruk akhlaq, maka tunggulah kehancuran masyarakat nantinya.
Justeru, orang-orang yang baik, yang soleh, yang terbimbing akhlaq mereka dengan akhlaq Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, aqidahnya tepat, ibadahnya sahih, cerdik dan amanah mesti turut sama terlibat dalam politik. Tidak boleh kecualikan diri. Jika tidak mampu untuk terlibat sepenuhnya, sekurang-kurangnya tolong-menolong dan berilah kerjasama. Jika mereka gagal menjadi pemimpin nombor satu sesebuah negara, atau gagal memegang suara majoriti, sekurang-kurangnya mereka boleh menjadi kuasa pengimbang, check & balance, pembangkang dan pendesak yang baik dalam negara.
Politik selalu disinonimkan dengan kotor. Ya, ia kotor kerana pelakunya kotor. Jika pelakunya bersih, in shaa’ ALLAH politik akan jadi bersih. Kerana politik hanyalah alat. Ia alat untuk melaksanakan tugas khalifah di muka bumi. Ia kenderaan untuk sampai kepada redha ALLAH.
Wahai orang-orang baik, berpolitiklah!
Jangan biarkan yang buruk akhlaq sahaja berpolitik. Kelak nanti rosak urusan politik dan masyarakat kita. Berpolitiklah cara diajar agama. Berpolitiklah cara insan mulia. Biar kalian mencorak politik agar cantik warnanya. Bukan kalian yang dicorak menjadi sebaliknya.
ALLAHU AKBAR!
Comments
Post a Comment