Ciri pemimpin adil, berwibawa
Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman
Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi
kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW,
maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan
baginda.
Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap
paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada
rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk
membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.
Merasai denyut hati rakyat
Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat
terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada
petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan
rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.
Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan
ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang
Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat
kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu,
(dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah
at-Taubat, ayat 128)
Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan,
penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian
iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang
paling berjaya di dunia.
Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin.
Ciri pemimpin wibawa
Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang
berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT,
bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan
seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan
menjatuhkan lawannya.
Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang
daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah
kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)
Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada
dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah
menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih
pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan
amanah.
Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung
kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua
sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya
saja.
Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang
menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan
tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan
tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.
Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan
perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan
ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya
dihormati, disegani dan disayangi.
Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong
kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “
Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga
bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu
bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip
dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam
hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah,
sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.
Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi
teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan
moral. Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang
bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang
disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan
menghampakan orang bawahannya.
Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan
atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan
negara dan kita yang bertanggungjawab.
Diharamkan syurga jika menipu rakyat
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah
untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan
dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana
menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai
manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti
bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku
berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata
jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku,
taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku
menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi
perintah aku.”
http://epondok.wordpress.com
Comments
Post a Comment