E- FATWA





Tajuk Fatwa Kategori

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan

Keputusan: 
Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
     
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
     
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
     
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
     
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
     
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.

    Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid

    Keputusan: 
     
    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
     
  3. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
     
  4. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.
  5. Hukum Pemerdagangan Manusia

    Keputusan: 
     
    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Pemerdagangan Manusia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
     
    i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah s.w.t dan tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain.
     
    ii. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.
     
    iii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam. 
Makan & Minum

Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food)

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Makanan Terubahsuai Genetik (Genetic Modified Food). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Yaakob Che Man, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia serta meneliti hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa makanan terubahsuai secara genetik melibatkan pemindahan gen-gen yang halal dan juga tidak halal, dari haiwan dan juga tanaman bagi memberikan ciri-ciri yang dikehendaki sebagai makanan atau ubat-ubatan.
     
  2. Dalam hal ini Muzakarah berpandangan bahawa Islam menghendaki umatnya supaya memilih makanan yang baik (toyyib) iaitu halal,suci dan tidak memberi mudharat kepada jiwa dan akal manusia dan proses penghasilannya juga tidak memberi mudharat kepada manusia dan alam sekitar.
     
  3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam penghasilan Makanan Terubahsuai Genetik (GM Food), penggunaan bahan-bahan yang diharamkan dan memudaratkan manusia serta alam sekitar adalah dilarang. Manakala penggunaan haiwan ternakan yang halal dibolehkan sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut kaedah syarak.

Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa proses penghasilan Vaksin Menveo keluaran Syarikat Novartis Vaccines adalah sama sepertimana penghasilan Vaksin Mencevax keluaran Syarikat Glaxo Smith Kline (GSK).
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pada dasarnya hukum penggunaan vaksin Menveo adalah harus atas dasar dharurah sama seperti vaksin Mencevax yang telah diputuskan pada Muzakarah kali ke-53 bertarikh 27 November 2002 kerana sehingga kini masih belum ada mana-mana vaksin meningococcal meningitis yang dihasilkan 100% halal dan suci daripada awal hingga akhir proses penghasilannya.
     
  3. Walaubagaimanapun untuk maslahah umat Islam, Muzakarah berpandangan di antara kedua-dua vaksin ini, keutamaan adalah kepada vaksin Mencevex yang telah digunakan sekian lama dan telah terjamin dari segi keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna. Manakala vaksin Menveo masih baru di pasaran dan pemonitoran kesan jangka panjang masih berterusan.
     
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa Sijil Halal tidak wajar diberikan kepada vaksin Menveo kerana penentuan harus adalah atas dasar dharurah dan proses penghasilannya tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

Hukum Menanam Rambut Di Kepala

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Menanam Rambut Di Kepala. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagimana tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.

Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormati keputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
     
  2. Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
a) Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada
    eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;

b) Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;

c) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;

d) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan

e) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.”



Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
     
  3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.
     
  4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Hukum Menggunakan Pengimbas Badan di Lapangan Terbang

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Menggunakan Pengimbas Badan di Lapangan Terbang. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut :
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa "درء المفاسد أولى من جلب المصالح" , pada prinsipnya menjaga keselamatan negara dan rakyat adalah perlu diutamakan apabila berlaku pertembungan di antara kerosakkan dan kemaslahatan.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tiada halangan untuk membenarkan penggunaan sistem pengimbas ini sekiranya berlaku keperluan yang mendesak (dharurat) bagi menjaga keselamatan negara dari ancaman musuh seperti dadah, senjata api dan sebagainya

Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
     
  2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

Hukum Mengadakan Pameran Spesimen Anatomi Manusia

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Mengadakan Pameran Spesimen Anatomi Manusia. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menetapkan bahawa jasad seorang yang telah meninggal dunia mempunyai kemuliaan, nilai dan hak kemanusiaan yang wajib dihormati dan dipelihara sepertimana orang yang masih hidup. Pembedahan dan pengawetan mayat yang bertujuan untuk pameran dan diperagakan dalam pelbagai bentuk dan aksi adalah bertentangan dengan syarak.
     
  2. Oleh yang demikian, selaras dengan ketetapan hukum syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum mengadakan pameran spesimen anatomi manusia adalah dilarang oleh Islam.
     
  3. Walaubagaimanapun, bagi tujuan pendidikan kepada orang awam berkaitan anatomi manusia, ia boleh dilakukan melalui bahan-bahan pameran yang lain seperti melalui gambar-gambar dan bahan-bahan tiruan tanpa menggunakan mayat sebenar.

Kedudukan Kursus Pelatihan Solat Khusyuk

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Kedudukan Kursus Pelatihan Solat Khusyuk. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut :
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa khusyuk di dalam sembahyang memang dituntut kepada umat Islam untuk melaksanakannya dan Islam memberi kemudahan yang amat luas untuk melaksanakan ibadah sembahyang tanpa memberatkan dengan amalan-amalan yang berlebih-lebihan .
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ajaran, fahaman dan gerak geri perlakuan yang terkandung dalam Kursus Pelatihan Solat Khusyuk ini tidak terdapat di dalam ajaran Islam dan umat Islam ditegah daripada melakukan amalan ibadah yang tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Hukum Pembinaan Kubur Secara Bertingkat

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pembinaan Kubur Secara Bertingkat. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa dalam keadaan dharurat di mana berlakunya kepadatan penduduk dan lokasi tanah perkuburan yang terhad, pembinaan kubur secara bertingkat merupakan konsep dan kaedah yang tidak bertentangan dengan syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.
     
  3. Walaubagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti dengan lebih menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya serta mengambilkira penjimatan kos

Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menggesa umatnya supaya menjaga kesihatan kerana penjagaan kesihatan seseorang individu akan menentukan tahap dan mutu kesihatan masyarakat secara umumya. Pemberian vaksin merupakan jalan pencegahan awal yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengelakkan penyebaran virus di kalangan wanita.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang telah dipastikan tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudharatan adalah diharuskan bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim (servik) di kalangan wanita.
     
  3. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemvaksinan ini hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi terhadap pengguna atau digunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

Cadangan Rekabentuk Dataran Pahlawan Negara Di Putrajaya

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 - 17 Disember 2010 telah membincangkan Cadangan Rekabentuk Dataran Pahlawan Negara Di Putrajaya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima cadangan reka bentuk Dataran Pahlawan Negara sepertimana yang dibentang dan diperjelaskan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri.
     
  2. Muzakarah juga berharap supaya unsur-unsur pembaziran dapat dielakkan dalam pembinaan Dataran Pahlawan Negara yang dicadangkan ini.

Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari’e

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu mampu menguasai ilmu al-Quran dan al-hadith, bahasa Arab, Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t. agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada Allah s.w.t. dan demi kemaslahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:
 
a. سَدُّ الذَّرِيعَةِ : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai peguam syarie, ia memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

b. إِذَا تَعَارَضَ الْمَانِعُ وَالْمُقْتَضَى قُدِّمَ الْمَانِعُ : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang menghendaki, hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai peguam syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari suatu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. المَصْلَحَةُ الْعَامَّةُ تُقَدِّمُ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَةِ: Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan daripada maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.



Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran

Keputusan: 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam  Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:
 
“ Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya.  Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus  menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.
 
Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam.  Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan. 
 
Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri  dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.  Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.
 
Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”



Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training

Keputusan: 
 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 16 Jun 2010 telah membincangkan mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan diperjelaskan.
     
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan supaya pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti/perlakuan yang menimbulkan keraguan kepada masyarakat.
     
  3. Muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada Muzakarah. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah yang dilantik oleh ESQ.
Keputusan (English): 

The Status of ESQ Leadership Training Course

Decision:

The Special Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 16th June 2010 has discussed the Status of ESQ Leadership Training Course. The Conference decided as follows:
 
1. After deliberating on all the explanations, evidences and views presented by members as well as the preliminary summary presented during the Special Muzakarah (Conference) on 14th April 2010, the Conference decided that most of the elements of doubt contained in the ESQ Leadership Training course can be rectified and explained.
 
2. The Conference decided that the party involved in ESQ should change and rectify at once all the facts, statements or any other activities/actions that can cause uncertainty to the society.

3. The Conference also decided that the ESQ Syariah Panel is responsible and must fully monitor all the corrections or amendments completed and that it must be reported to the Muzakarah (Conference) on a continuous basis. As such, The Conference decided that the ESQ Leadership Training Course can be conducted in Malaysia under the total surveillance of the Syariah Panel appointed by ESQ. 
   

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.


Keputusan (English): 
 
The Ruling on Muslims Celebrating Valentine’s Day
 
Decision:

The 71st Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd-24th November 2005 has discussed the ruling on Muslims celebrating Valentine’s Day. The Conference decided that the teachings of Islam stress on love and there is no specific day in Islam to celebrate it.
 
Therefore, The Conference decided that the practice of celebrating Valentine’s Day is not part of Islam. The spirit of the celebration contains elements of Christianity and its practice that is mixed with sinful acts is prohibited and contradicts with Islam.
 
Keterangan/Hujah: 
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:


من تشبه بقوم فهو منهم     

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
                                                                                                                                             ( Riwayat Abu Daud)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
                                                                                                                                       (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.


    Comments

    Popular posts from this blog