Memahami Maqam Ketinggian Ikhlas |
“Dan mereka tidak diperintah, kecuali hanya untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan di dalam menjalankan ajaran agama”. (QS Al-Bayyinah: 5)
Keikhlasan adalah inti dan ruh ibadah.
Ibnu Hazm berkata, niat adalah rahsia peribadatan. Kedudukan niat terhadap amal adalah sama dengan kedudukan ruh terhadap jasad. Mustahil apabila suatu ibadah itu hanya berupa amalan yang tidak ada ruhnya sama sekali, seperti jasad yang tidak bernyawa.
Ikhlas adalah asas samada diterima atau ditolaknya sesuatu amalan dan ia merupakan kunci samada :
- Untuk menuju kemenangan atau kerugian yang abadi.
- Untuk merintis jalan menuju syurga atau neraka.
Apabila keikhlasannya itu cacat maka ia akan membawa pelakunya menuju neraka, tetapi apabila keikhlasan mampu direalisasikan, maka ia akan membawa pelakunya menuju syurga.
‘Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”. (QS Al-Kahfi : 110)
MAKNA IKHLAS
Ikhlas berasal dari perkataan ‘khalasha’, yang memberi erti kejernihan dan hilangnya segala sesuatu yang mengotorinya.
Oleh yang demikian, perkataan ikhlas menunjukkan kepada sesuatu yang jernih, bersih dan bebas dari campuran dan kotoran.
Di antara makna ikhlas lagi menurut ulama’ adalah:
“Amal yang dilakukan hanya kerana Allah, tidak untuk selain Allah”
“Keikhlasan itu adalah berusaha melindungi amal yang dilakukan dari pengetahuan makhluk termasuk dari pengetahuan dirimu sendiri….”
Fudhail bin Iyadh berkata:
“Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riya’, beramal kerana manusia itu syirik. Ikhlas itu adalah engkau beramal dan engkau dilindungi Allah dari kedua keadaan tadi.”
“Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riya’, beramal kerana manusia itu syirik. Ikhlas itu adalah engkau beramal dan engkau dilindungi Allah dari kedua keadaan tadi.”
Ya’qub Al Makhfuuf berkata:
“Orang yang ikhlas adalah yang menyembunyikan kebaikannya sebagaimana ia menyembunyikan keburukannya.”
“Orang yang ikhlas adalah yang menyembunyikan kebaikannya sebagaimana ia menyembunyikan keburukannya.”
Ibnu Taimiyah mengatakan:
“Orang yang Ikhlas (mukhlis) adalah orang yang tidak peduli bila ia tidak dianggap baik di hati manusia demi kebaikan hatinya dengan Allah dan dia tidak ingin menampakkan amalnya meskipun hanya sebiji sawi kepada orang lain.”
“Orang yang Ikhlas (mukhlis) adalah orang yang tidak peduli bila ia tidak dianggap baik di hati manusia demi kebaikan hatinya dengan Allah dan dia tidak ingin menampakkan amalnya meskipun hanya sebiji sawi kepada orang lain.”
Manakala Ibnul Qayyim pula berkata dalam kitab Madarij As Saalikin”:
“Barangsiapa yang bersaksi atas keikhlasan dirinya, maka keikhlasannya itu memerlukan keikhlasan. Kayu ukur kekurangan orang yang ikhlas dalam keikhlasannya ialah sejauh mana ia merasakan dirinya ikhlas, bererti dialah seorang ikhlas dan benar-benar ikhlas.”
“Barangsiapa yang bersaksi atas keikhlasan dirinya, maka keikhlasannya itu memerlukan keikhlasan. Kayu ukur kekurangan orang yang ikhlas dalam keikhlasannya ialah sejauh mana ia merasakan dirinya ikhlas, bererti dialah seorang ikhlas dan benar-benar ikhlas.”
Ibnu Taimiyah menceritakan bahwa Abu Hamid Al Ghazali pernah mendengar kata-kata hikmah yang menyebutkan bahwa barangsiapa yang berbuat ikhlas semata-mata kerana Allah selama 40 hari maka akan memancar hikmah dalam hati orang tersebut melalui ucapannya.
Abu Hamid Al Ghazali mengatakan:
“Maka aku berbuat ikhlas selama empat puluh hari, tapi ternyata tidak memancar apa-apa dariku lalu aku sampaikan perkara ini kepada sebahagian ahli ilmu, di antara mereka mengatakan:
“Maka aku berbuat ikhlas selama empat puluh hari, tapi ternyata tidak memancar apa-apa dariku lalu aku sampaikan perkara ini kepada sebahagian ahli ilmu, di antara mereka mengatakan:
“Sesungguhnya engkau ikhlas hanya untuk mendapatkan hikmah dan bukan kerana Allah semata-mata…”
IKHLAS MODAL TERBESAR
Modal terbesar kita adalah keikhlasan. Itulah inti kekuatan kita dalam berjalan , beramal dan berjuang.
Sungguh, keikhlasan menjadi suatu kata-kata yang kerap kita dengar tapi jarang kita mendapati wujudnya dalam kehidupan kita. Memang ia adalah suatu sifat yang paling sukar diwujudkan.
Junaid Al Baghdadi mengatakan:
“Keikhlasan itu adalah rahsia antara Allah dan seorang hamba. Tidak diketahui oleh malaikat sehingga tidak dapat ditulis, tidak diketahui oleh syaitan sehingga tidak boleh dirosakkan oleh syaitan. Juga ia tidak boleh dikenali oleh hawa nafsu sehingga tidak boleh diselewengkan oleh hawa nafsu.”
Ertinya, keikhlasan tidak boleh:
- Dibuat-buat
- Direka-reka
- Dikendalikan
- Dirasa-rasakan
Ia akan muncul begitu sahaja dalam diri kita lalu mengalir ke dalam darah dan menguasai jiwa. Oleh yang demikian, mengendalikan jiwa itu menjadi suatu pekerjaan yang sangat sukar bagi para Salafus Soleh.
Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam Al Ghazali mengutip ungkapan Sahl bin Abdullah At Tusturi ketika ditanya :
“Apakah yang paling berat dilakukan oleh jiwa?”
Ia mengatakan:
“Keikhlasan, kerana jiwa tidak mempunyai bahagian untuk mengendalikannya.”
BERATNYA MERAIH KESEMPURNAAN IKHLAS
Para salaf mengakui bahwa merealisasikan ikhlas dan memperbaiki niat adalah perkara yang sangat sulit.
Ini disebabkan hati kita memiliki sifat suka berubah dan berbolak-balik sehingga boleh jadi seseorang pada mulanya berniat ikhlas, namun di tengah jalan niatnya ternoda atau bahkan berubah. Demikian pula sebaliknya, ada yang mulanya salah dalam niat, namun akhirnya sedar akan kekeliruannya lalu memperbaiki niat tersebut.
Maka mengetahui berbagai persoalan yang berkaitan dengan keikhlasan amat perlu bagi kita sebagai salah satu usaha menjaga hati agar sentiasa lurus menuju kepada Allah dan tidak goyah oleh segala gangguan dan godaan yang terdiri dari :
- Was-was dari syaitan.
- Segala kecenderungan buruk oleh hawa nafsu.
Keikhlasan yang sempurna amatlah sukar digambarkan kecuali oleh orang yang telah menyerahkan cintanya secara utuh kepada Allah dan mengutamakan akhirat.
Apalagi mengingatkan bahwa manusia memiliki sifat banyak lupa dan mempunyai kecenderungan yang besar terhadap kehidupan duniawi dan bahkan banyak pula yang terpedaya olehnya.
Biasanya keikhlasan akan sukar untuk menembusi hati orang yang telah terpesona dan terpengaruh dengan kehidupan dunia kecuali atas taufik dari Allah.
Tidak perlu pergi lebih jauh, cuba kita tengok dalam hati kita masing-masing dalam perkara yang paling ringan sahajapun seperti makan atau tidur misalnya, apakah kita melakukan itu biasanya kerana memang kita menginginkannya?
Jarang sekali terdetik di dalam fikiran kita ketika melakukan itu agar badan kita kuat dan sihat sehingga dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan baik. Demikian pula dalam melakukan berbagai amal yang lain, kita sering merasakan adanya berbagai bisikan dan gangguan yang cuba menggigit kemurnian niat ikhlas kita kepada Allah swt.
Maka adalah selayaknya kita masing-masing:
- Bersikap waspada.
- Membenteng diri kita.
- Memusatkan niat dan tujuan pada keikhlasan yang sempurna.
- Jangan hiraukan was-was syaitan kerana was-was dan bisikan syaitan akan menghancurkan dan melemahkan kita.
Ketika amal-amal soleh yang kita kerjakan terkena pencemaran, maka janganlah merasa lemah, kerana kotoran-kotoran tersebut boleh dihilangkan sehingga amal tersebut menjadi benar-benar jernih dan tidak hilang pahalanya.
APABILA KEIKHLASAN TELAH DINODAI
Bagaimana seseorang bersikap apabila keikhlasan suatu amal yang dia kerjakan telah dinodai? Ini adalah kerana tidak jarang orang yang menghadapi masalah ini lantas surut dari berbuat kebaikan kerana khuatir akan terkena riya’.
Abu Thalib al-Makki berkata:
“Seseorang tidak boleh meninggalkan amal soleh kerana takut terkena penyakit pada amal kerana memang itulah yang dikehendaki oleh musuhnya iaitu syaitan. Namun dia mesti kembali kepada niatnya semula, niat yang benar. Jika amal tersebut diresapi oleh penyakit, maka hendaklah ia segera mencari ubatnya, berusaha menghilangkannya dan tetap pada niat yang benar dan tujuan yang baik.
Tidak boleh meninggalkan suatu amalan kerana manusia atau kerana malu terhadap mereka. Ini adalah kerana :
- Beramal kerana manusia adalah syirik.
- Meninggalkannya kerana mereka adalah riya’.
- Meninggalkan amal kerana khuatir akan masuknya penyakit (riya’) di dalam hati adalah kebodohan.
- Meninggalkannya ketika amal tersebut sedang dilakukan (kerana keikhlasannya terganggu) adalah suatu kelemahan.
Siapa sahaja yang beramal kerana Allah dan meninggalkannya juga kerana Allah, maka tidak ada masalah baginya selagi masih berada dalam wilayah ini, tentunya setelah ia dapat membuang jauh-jauh segala niat buruk. ”
BOLEHKAH NIAT YANG ROSAK DIPERBAIKI?
Sebahagian orang ada yang menyangka bahwa apabila amal kebaikan dimulai dengan niat yang salah, maka amal tersebut mesti ditinggalkan. Ini adalah anggapan yang salah. Niat itu boleh diperbaiki dan dibangunkan di atas amal perbuatan tersebut, tanpa perlu meninggalkannya.
Sebahagian salaf ada yang pernah mencari ilmu tanpa niat yang sempurna dan benar, kemudian mereka menyedari dan akhirnya kembali kepada Allah serta memperbaiki niat mereka, memulai niat menuntut ilmu dengan niat yang benar.
Imam Az-Zahabi mengatakan:
“Para salaf mencari ilmu kerana Allah sehingga mereka menjadi mulia dan menjadi imam yang diteladani.” Ada juga di antara mereka yang mulanya mencari ilmu bukan kerana Allah, namun setelah mereka mendapatkan ilmu, mereka introspeksi diri, maka ilmu mereka telah menghantarkan mereka kepada keikhlasan di tengah jalan.”
Mujahid berkata:
“Kami mencari ilmu, dan pada mulanya kami tidak memiliki niat yang benar, kemudian Allah mengurniakan niat kepada kami.”
APAKAH NODA MENGHAPUSKAN PAHALA KESELURUHANNYA?
Seseorang yang telah berusaha beramal dengan ikhlas, namun ternyata masih ada noda yang mengotorinya seperti kealpaan atau syahwat, maka pahala amalnya tidak hilang secara keseluruhannya. Ini merupakan keutamaan dari Allah untuk hamba-hambaNya sehingga kaum muslimin tidak terjatuh ke dalam keputusasaan dan kesempitan hidup.
Kotoran-kotoran yang semacam ini sangat sukar dihilangkan kecuali sebahagian kecil sahaja. Namun demikian ia bukanlah bererti bahwa noda tersebut tidak berpengaruh terhadap amal bahkan ia tetap membuat pahala suatu amal namun ianya menjadi berkurang kesempurnaannya, tapi tidak sampai kepada tahap menghapuskannya sama sekali.
Oleh kerana itu seorang hamba setelah berusaha semaksima mungkin, hendaklah sentiasa khuatir antara ditolak dan diterima amal perbuatannya, takut kalau amal ibadahnya terdapat penyakit yang bahayanya lebih besar daripada pahalanya. Oleh kerana itu, jangan sampai ada ujub dan bangga dengan amalnya bahkan yang perlu dilakukan adalah terus meningkatkan kualitinya.
MEMPERLIHATKAN AMAL KEBAIKAN
Memang, pada dasarnya amal kebaikan mestilah disembunyikan dan tidak perlu di pertunjukkan kepada orang lain kecuali yang memang perlu dinampakkan seperti solat berjamaah dan haji.
Namun dalam keadaan tertentu, memperlihatkan amal soleh adalah dibenarkan asalkan memenuhi dua syarat iaitu:
PERTAMA : Bebas dari riya’ (bukan untuk mempamirkan)
KEDUA : Terdapat faedah deeniyah dari menampakkannya seperti:
- Untuk memberikan contoh kebaikan.
- Menguatkan orang yang lemah.
- Menenangkan orang yang tertindas.
- Memberikan khabar gembira.
Ini sepertimana yang pernah dikatakan oleh Abu Sufyan bin Harits, salah seorang bapa saudara Nabi menjelang wafatnya :
“Janganlah kamu menangisi aku, kerana sejak masuk Islam aku tidak pernah melakukan dosa.”
IKHLAS DI JALAN DAKWAH
Jika kita berada di jalan dakwah, maka keikhlasan itu memiliki definasinya yang tersendiri sepertimana yang disampaikan oleh Imam Hasan Al Banna:
“Ikhlas adalah bila seorang pejuang Muslim yang mengorientasikan perkataannya, amalnya dan jihadnya semuanya untuk Allah swt dan mengharapkan ridhanya dan kebaikan pahalanya tanpa melihat kepada:
- Perolehan harta.
- Manfaat.
- Penampilan.
- Kedudukan.
- Kemasyhuran.
- Kemajuan.
- Kemunduran.
Agar, ia menjadi seorang yang ikhlas, menjadi bala tentera fikrah (ideologi) dan aqidah (keyakinan), bukan bala tentera keinginan atau manfaat.”
MELANGKAH TERUS
Berjalan dan melangkahlah terus dan jangan berhenti.
Mungkin sahaja ada kebahagiaan dan kenikmatan yang dapat menyenangkan kita di sini, namun itu tidak boleh menyimpangkan niat dan tujuan kita di sini bahkan kita disuruh meluruskannya hanya:
- Untuk Allah swt.
- Untuk ridhaNya.
- Untuk dakwahNya.
Ketika kita melangkah, berlari , diam dan berbahagia di jalan ini, maka semuanya itu adalah untuk dan kerana Allah swt.
Lalu:
- Jika ada aral dan batu di jalan ini yang mengganggu langkah.
- Jika ada cuaca dan suasana jalan ini terasa menekan hati untuk berhenti.
- Jika ada peristiwa yang boleh melelehkan airmata dalam hati, kedukaan atau luka di jalan ini.
Tetaplah berjalan dan jangan berhenti.
Kita akan terus berjalan di sini agar, hanya Allah yang tahu semua kepahitan dan luka itu adalah sebahagian dari persembahan, pengabdian, pengorbanan untukNya dan di jalanNya.
Hanya dengan itulah, kesulitan dan kepahitan akan menjadi nikmat dan kebahagiaan kerana kita di sini adalah keranaNya dan untukNya bukan untuk siapa-siapa.
Semoga kita ikhlas menerima dan menjalani semuanya.
Ya Allah tetapkanlah keikhlasan di dalam hati kami walaupun ianya digoncang oleh badai was-was syaitan dan keinginan hawa nafsu kerana kami tidak tahu amal manakah yang benar-benar diterima olehMu di akhirat nanti. Kuatkanlah jiwa kami supaya kami tidak terpedaya dengan perasaan bahawa kami lebih banyak beramal berbanding saudara-saudara kami yang lain. Sesungguhnya Engkau hanya menerima amal yang ikhlas tanpa dikotori dan dicemari oleh perasaan ‘ujub dan riya’.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Ustaz Wan Ahmad Senadi
http://surau-alizzah.com/v1/?p=830
Comments
Post a Comment