Risiko lelaki tua
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
DALAM kalangan lelaki Malaysia, Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) atau dalam bahasa mudah, keadaan pembesaran kelenjar prostat masih kurang dikesan dan dirawat. Sama juga keadaannya dengan barah prostat.
Kumpulan sasaran bukan saja penduduk Lembah Klang, tetapi juga mereka di selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Perkhidmatan Urologi dan Ketua Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr Rohan Malek, berkata walaupun BPH bukan penyakit barah, ada beberapa masalah yang mungkin timbul kerana ia penyakit bersifat progresif.
“Jika tidak dirawat, akan ada risiko pembedahan berkaitan BPH atau kerosakan buah pinggang,” katanya pada sesi taklimat mengenai kajian terhadap kelaziman BPH dan barah prostat yang dijalankan MUA.
Kajian sedemikian perlu dan diharap dapat mewujudkan kesedaran untuk mengesan dan merawat penyakit berkenaan dari peringkat awal. Proses itu akan menganalisis data diperoleh dari lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang.
MUA berharap mendapatkan 3,000 peserta dari kedua-dua latar belakang, kota dan luar bandar serta dari kumpulan etnik berbeza.
Oleh kerana kelaziman penyakit prostat adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki lebih tua, kajian itu akan bertumpu kepada kumpulan usia 50 tahun ke atas. Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan mengunjungi pusat pemeriksaan berdekatan.
Kemudahan pemeriksaan disediakan di Hospital Selayang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras; Hospital Serdang; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.
“Protokol pemeriksaan bertumpu seumpama itu diharap dapat membantu mengatasi isu keberkesanan kos bagi menjalankan program pemeriksaan besar-besaran di Malaysia yang mungkin berpotensi untuk membantu kita lebih memahami sifat barah prostat dalam kalangan lelaki di Malaysia,” jelas Presiden MUA dan Ketua Urologi PPUM, Prof Azad Hassan Abdul Razack.
Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes barah dalam kalangan lelaki. Setakat ini, sebanyak 735 kes dilapor dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa dalam kalangan jantina berkenaan.
Lazimnya, barah prostat membesar dengan perlahan. Kajian menunjukkan ramai lelaki berumur (kadang kala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit lain turut menghidap barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah ketika hayat mereka.
Ketua Unit Urologi HATTM, Brig Jen Datuk Dr Selvalingam Sothilingam menasihatkan lelaki berusia 50 tahun ke atas melakukan pemeriksaan kerana pencegahan dan pengesanan BPH dan barah prostat pada peringkat awal amat penting bagi mengelak kerumitan pada masa depan di samping mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang besar.
INFO: Benign Prostatic Hyperplasia (BPH)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Risikolelakitua/Article/index
Comments
Post a Comment