Risiko kaki bola
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Kajian yang dilakukan oleh Yayasan Kesihatan Mental di England ketika berlangsungnya Piala Dunia 2006 mendapati 70 peratus penonton sentiasa berasa kecewa manakala 58 peratus berasa marah.
Demam Piala Dunia itu memberi kesan kepada emosi, perhubungan, identiti dan jati diri. Apatah lagi dengan perbezaan waktu siaran dengan waktu perlawanan dan tuntutan kerja pada keesokan harinya, ramai yang datang ke pejabat rasa letih dan longlai.
Sekumpulan penyelidik Jerman yang dipetik American Journal of Clinical Nutrition, melaporkan kalangan dewasa yang lazimnya menikmati tidur lapan jam tetapi hanya beroleh tidur empat jam akibat aktiviti berjaga, terdedah kepada ancaman kesihatan seperti bertambah berat badan.
“Setiap dewasa memerlukan waktu tidur sekurang-kurangnya tujuh jam. Banyak kajian membuktikan kaitan tempoh tidur yang sedikit dengan risiko tinggi kegemukan. Mereka juga berasa lesu pada keesokan hari yang membataskan kegiatan seharian mereka, termasuk melakukan aktiviti seperti bersenam,” kata ketua penyelidik, Dr Sebastian Schmidt.
Namun, kajian klinikal di China mendapati 15 peratus masalah ketidaksuburan lelaki adalah berpunca daripada tabiat berjaga malam dalam tempoh yang lama.
Apabila anda kerap tidak boleh tidur selepas jam 1 pagi, ia akan menyebabkan metabolisme tubuh tidak berfungsi. Ia menyebabkan tabiat berjaga malam dalam tempoh yang panjang sama kesannya dengan tabiat merokok dan mengambil alkohol.
Malah, ia juga mengganggu sistem tubuh yang menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan endokrin, penurunan tahap imun tubuh, fungsi seksual malah menjejaskan jumlah sperma lelaki dan lebih serius ia boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan.
Ketaksuban untuk tidak melepaskan walau satu minit pun pandangan dari kaca tv menyebabkan ada yang sanggup menahan kencing. Menahan kencing tentu saja menyebabkan tekanan pada pundi kencing sekali gus menyebabkan air kencing kembali ke buah pinggang dan menyebabkan salur kencing mengalami masalah keradangan. Pundi kencing dan radang pada pundi kencing akan menyebabkan radang yang kronik pada kelenjar prostat.
Malah, lebih banyak tekanan, kekecewaan dan keseronokan ketika Piala Dunia menyaksikan lebih banyak anda merokok. Rokok dengan kandungan nikotin dan toksin yang banyak akan mengakibatkan bilangan sperma merosot. Jika anda merokok 20 batang sehari, hanya 50 peratus saja sperma anda sihat. Selebihnya sperma akan mengalami masalah kualiti atau berlaku perubahan struktur kromosom.
Piala Dunia juga dikaitkan dengan peningkatan kes serangan jantung. Satu kajian pada 2002 di Switzerland mendapati berlakunya peningkatan kematian disebabkan serangan jantung pada Piala Dunia 2002 berbanding tahun sebelumnya.
Sementara kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan The New England mendapati ketika Piala Dunia 2006 di Jerman, wujudnya kaitan antara tekanan emosi dan kes serangan jantung sehingga dua kali ganda. Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambil langkah-langkah bagi mengelak sebarang risiko kesihatan.
INFO: Tip sihat kaki bola
Comments
Post a Comment