RAMADHAN: Perbanyakkan Mohon Ampun.
Setiap kita mempunyai dosa samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja. Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini, kita sering kalah dengan godaan luaran dan pujukan nafsu dalam diri kita sendiri. Kita sepatutnya berasa malu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala disebabkan oleh kelemahan ini.
Walaupun begitu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita. DIA tahu kita selalu lupa. DIA tahu kita sering gagal menghindari dosa. Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA. Betapa baiknya DIA, betapa lembutnya DIA dengan kita. Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar 39:53)
Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA. Dalam sebuah hadith, ada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya:
“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.” (HR Bukhari & Muslim)
Nah, lihatlah betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat orang yang bertaubat. Justeru, jangan putus asa dan kecewa. Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)
SubhanALLAH, bisa menitis air mata kita tatkala mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA, betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung, DIA tetap akan terima kita jika kita mahu kembali kepadaNYA, betapa lembutnya DIA terhadap kita, betapa Penyayangnya DIA. ALLAH…ALLAH…ALLAH…
Wira Yang Tak Terbela
- oleh BayangDiAir
Di sesetengah negara, kematian seorang pejuang akan dibela habis-habisan dan menjadi simbol jihad kepada perjuangan suci. Di Mesir umpamanya, kematian seorang pemuda penjual sayur boleh menjadi faktor kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim Mubarak. Tetapi tidak begitu di Malaysia. Kematian Baharudin Ahmad bukan sahaja gagal membangkitkan semangat juang malah untuk menuntut keadilan bagi pihak beliau dan keluarga beliau pun umat Islam tidak mampu.
Kita cuma mendengar suara simpati dan rungutan. Kita hanya mendengar permintaan ( bukan desakan) daripada PAS dan BERSIH agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kematian beliau. Sehingga kini kita tidak tahu laporan bedah siasat kematian Allahyarham sama ada telah dikeluarkan atau belum oleh pihak hospital.
Siapakah yang sepatutnya memperjuangkan keadilan bagi pihak Allahyarham? Keluarganya secara bersendirian tentulah tidak mampu dan tidak kuat. Orang ramai secara individu samalah seperti anjing menyalak bukit apabila berhadapan dengan kerajaan yang angkuh. Maka yang sewajar mengambil peranan ini ialah satu organisasi massa yang kredibel sama ada BERSIH, PAS atau NGO yang lain.
Apakah rakyat hanya akan jadi pemerhati dan penerima apa sahaja reaksi dan penjelasan pihak berwajib? Andai mereka mendiamkan isu kematian Baharudin Ahmad, adakah rakyat sama-sama turut terdiam. Kalau begini sikap rakyat, percayalah kematian Baharudin Ahmad akan hanya menjadi satu kematian biasa yang tak terbela. Juga sebagai satu kematian yang tidak dimanfaatkan untuk terus melonjakkan momentum kesedaran rakyat.
Yang tinggal untuk Allahyarham Baharudin Ahmad ialah doa yang berpanjangan agar beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh. Yang tinggal hanyalah nama yang harum dalam lipatan sejarah perjuangan keadilan demokrasi di Malaysia. Manakala yang tinggal bagi kita ialah air-air liur yang terludah di pinggiran jalan.
Comments
Post a Comment