Rasa bersalah boleh mendorong ke arah murtad !!

Iblis dan syaitan apabila berupaya menerobosi tubuh manusia, pusat utama yang dituju ialah bahagian otak, lalu ia bertindak, bergantung kepada tujuan penerobosan tadi.
Jin-jin yang dipanggil untuk tujuan rawatan boleh menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, yang diistilahkan sebagai “menurun”. Contoh lain ialah seperti pemain kuda kepang. Serapan ini menyebabkan seseorang itu dianggap sebagai dalam keadaan “lupa” menyebabkan dia berupaya menari menurut alunan muzik yang dimainkan.
Resapan jin-jin dalam tubuh manusia adalah benar. Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa syaitan itu berupaya berjalan (dan berlari) dalam tubuh anak Adam menurut pembuluh darah. Walaupun demikian, masyarakat Melayu sebahagian daripadanya menganggap makhluk yang menyerap dalam tubuh itu sebagai roh, syeikh-syeikh, embah, rijalul ghaib, Puteri Bunian, Puteri Gunung Ledang dan sebagainya.
Jin-jin yang dipanggil atau diseru untuk menyakiti dan menyerap ke dalam tubuh manusia akan menuju ke bahagian otak, lalu mengganggunya mengakibatkan timbulnya gejala-gejala ketidaknormalan otak, menyebabkan seseorang itu bertindak melakukan sesuatu di luar kesedaran, tidak tahu apa yang telah dilakukan, menyebabkan seseorang itu menjerit, menggigit jari sendiri, berjalan tanpa sedar hala tujuan, mencarut, telanjang dan sebagainya. Apa yang berlaku di luar kehendaknya dan di luar tabiat asal.
Selain daripada gangguan pada otak, gangguan boleh berlaku pada bahagian hati , yang diistilahkan sebagai “waswas syaitan”.
Orang yang bermasalah akibat gangguan seperti ini selalunya mengalami masalah yang berkaitan dengan iktikad. Timbul dalam diri persoalan-persoalan tentang Tuhan. Adakah benar Allah itu wujud dan esa. Siapa yang menjadikannya macam mana rupa Tuhan dan sebagainya.
Bagi mereka yang berlibat dengan dosa seperti dosa zina, minum arak, dosa tidak sembahyang dan sebagainya, timbul “rasa salah” dalam diri hingga dia merasakan Tuhan tidak mengampuni dosa-dosanya membuatkan dia terasa dia bukan lagi Islam.
Perasaan bimbang dan takut seperti ini terus-menerus menghantui fikiran ketika hendak tidur, ketika hendak berwuduk, ketika sedang sembahyang atau hendak membaca al-Quran yang boleh menyebabkan seseorang itu merasakan bahawa ibadah yang dilakukan itu sia-sia belaka kerana dosanya tidak diampuni Allah.
Perasaan bimbang dan takut seperti ini terus-menerus menghantui fikiran hingga kadang-kadang timbul yang dia telah murtad, keluar Islam berulang kali. Lidahnya seolah-olah dipaksa untuk melafazkan kalimah yang menyatakan dirinya telah murtad, malah adakalanya kalimah itu seolah-olah telah terpacul padahal ia tidak melafazkannya atau tidak pasti sama ada dia lafazkannya atau tidak.
Orang yang melakukan dosa dan bertaubat, lebih-lebih lagi dosa yang bertimpa-timpa, akan merasa yang dirinya berada dalam keadaa rasa salah diri. Persoalan adakah Allah menerima taubat atau tidak menerimanya sering menghantui.
Perlu difahami bahawa Allah subhanahu wa taala amat mengharapkan taubat setiap hamba-Nya. Allah subhanahu wa taala mengampuni semua dosa, kecuali dosa syirik. Ketahuilah bahawa kewajipan manusia ialah bertaubat sama ada seseorang itu ada melakukan kesalahan atau tidak, dengan sengaja ataupun tidak sengaja.
Masalah Allah menerima taubat seseorang atau tidak adalah di luar urusan manusia. Jangan campuri urusan Tuhan. Allah Maha Mengetahui tentang urusannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi mengasihi hamba-Nya.
Satu perkara lain yang sewajarnya perlu difahami bahawa murtad itu terjadi hanya pada mereka yang waras iaitu mereka yang baligh, berakal dan dengan ikhtiar (tidak dipaksa). Apa yang berlaku pada diri adalah di luar kehendak atau ikhtiar diri.
Murtad boleh berlaku dengan salah satu daripada tiga perkara iaitu niat atau bercita-cita ingin keluar dari Islam biarpun niat itu dikaitkan dengan masa tertentu, misalnya esok hari, minggu depan. Atau niat yang bersandarkan kepada sesuatu seperti orang yang mengancam keluar Islam kalau apa yang dituntutnya tidak diperoleh, atau seseorang yang memohon hendak menukar namanya kepada nama tertentu di pejabat tertentu kerana dia ingin menukar agama.
Keduanya ialah dengan perkataan iaitu menyebut dengan sengaja perkataan atau perkataan-perkataan yang bertentangan dalam hukum-hukum Islam, sama ada perkataan tersebut berkaitan dengan hukum ibadah, tauhid dan lain-lainnya. Perkataan tersebut mesti jelas atau boleh ditafsirkan sebagai perkataan atau perkataan yang boleh menjadikan seseorang itu murtad seperti mengatakan Allah itu berjasad seperti makhluk.
Murtad boleh berlaku apabila seseorang itu menafikan adanya Allah, menafikan Allah itu pencipta alam, atau menafikan kerasulan 25 rasul yang wajib diketahui oleh setiap orang, juga mendustakan risalah rasul-rasul tersebut.
Murtad juga boleh terjadi jika seseorang itu menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Islam seperti arak, zina dan lain-lain atau sebaliknya, iaitu mengharamkan sesuatu yang halal.
Selain itu, orang yang sujud kepada berhala, matahari, bulan dan sebagainya dihukumkan murtad. Begitu juga orang yang rukuk kepada yang lain daripada Allah dengan niat membesarkan objek tersebut sama seperti membesarkan Allah. Jika tidak ada niat membesarkan objek itu sama seperti membesarkan Allah, maka perbuatan tersebut adalah haram.
Walaupun banyak perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad, tetapi seseorang itu tidak dihukumkan sampai murtad sekiranya dia terpaksa mengerjakan perbuatan tersebut, atau menyebut perkataan-perkataan itu padahal hatinya tetap beriman kepada Allah subhanahu wa taala.
Orang yang menghadapi masalah waswas syaitan sering didatangi oleh persoalan-persoalan yang berkaitan dengan akidah, tentang sembahyang yang dilakukan dan sebagainya tanpa mengira masa, menyebabkan seseorang itu begitu gelisah, tidak tenteram dan murung.
Ketika sembahyang timbul persoalan, siapakah yang sedang disembah. Tuhan? untuk apa? Kemudian timbul persoalan, “siapa yang menjadikan Tuhan. Macam mana rupa Tuhan?” Persoalan seperti ini akan terus-menerus mengasak dan tidak hilang-hilang. Mungkin seseorang itu puas berusaha untuk mengatasinya tetapi dia masih tetap tidak berjaya menyebabkan dia jemu dan membenci diri sendiri.
Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, beliau ada berkata, ketika kami duduk di sisi nabi s.a.w. datang seorang lelaki yang amat buruk muka dan pakaiannya dan juga paling menjijikkan baunya.
Dia datang melangkahi kepala orang hingga duduk di hadapan rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya: Siapa yang menjadikan dikau. Baginda menjawab: Allah. Dia bertanya lagi: Siapa yang mencipta langit. Baginda menjawab Allah. Dia bertanya lagi: Siapa yang menjadikan Allah. Jawab nabi: Subhanallah, lalu dia memegang dahinya lalu menundukkannya kepadanya. Lelaki itu bangun berdiri lalu pergi. Rasulullah s.a.w. mengangkat kepalanya lalu berkata: Aku hendak jumpa lelaki itu. Kami cari dia, tetapi tiada.
Baginda berkata: Ini ialah iblis yang datang kepada kamu untuk mengelirukan agama kamu. (Hadis ditakhrij oleh Bayhaqi dengan sanad sahih).
Asy-Syeikh Badruddin bin Abdullah ada menyatakan bahawa waswas adalah gerakan dan juga suara tersembunyi dalam dada manusia yang boleh memberi kesan pada tingkah laku.
Ibn Abi Dunya meriwayatkan satu hadis daripada al-Husain bin As-Sakan yang menyatakan bahawa rasulullah s.a.w. ada bersabda: Sesungguhnya syaitan itu meletakkan tali kekang hidung pada hati anak Adam. Jika ia mengingati Allah, syaitan akan sembunyi dan jika ia lupa Allah, hati anak Adam itu ditelan olehnya – hadis riwayat al-Bayhaqiy.
Dalam sebuah hadis daripada Aishah radiallahuanhu daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: Sesungguhnya syaitan itu mendatangi salah seorang daripada kamu lalu berkata: Siapa yang menjadikan dikau? Lalu ia menjawab: Allah tabaraka wa taala. Kemudian ia bertanya: Siapa yang menjadi Allah? apabila salah seorang daripada kamu mengalami hal seumpama itu, ia hendaklah berkata: Aku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya yang demikian itu boleh mengusir syaitan daripadanya. – Hadis Hasan.

http://www.mohdsalimiahmad.com/rasa-bersalah-boleh-mendorong-ke-arah-murtad/

Comments

Popular posts from this blog