Ahlan Ya Ramadhan

 

Assalamualaikum buat semua pembaca. Alhamdulillah, bulan Ramadhan kini bakal tiba lagi. Satu bulan yang memang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Oleh itu kedatangannya memang ditunggu kerana bulan ini menjanjikan peluang yang besar untuk seluruh umat Islam meningkatkan keimanan dan ketakwaan.
Di dalam bulan Ramadhan, seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Ini diterangkan dengan jelas dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang membawa maksud; "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." 
Selain itu ayat 185, surah Al-Baqarah juga menyatakan dengan maksudnya bahawa ". Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
Akhir sekali dalam ayat 35, surah Al-Ahzaab pula, diterangkan bahawa ". orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar"
Dari tiga ayat yang dibentangkan di atas terbuktilah bahawa berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri, menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan berpeluang untuk mendapat keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.
Kelebihan-kelebihan yang disebutkan di atas tidak terhad di situ sahaja. Puasa di bulan Ramadhan juga merupakan satu proses yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Misalnya, dalam bulan ini, kita berpeluang untuk merehatkan organ penghadaman yang telah bekerja keras sepanjang tahun. Bukan sahaja merehatkan, kita juga memberi peluang kepada organ tersebut membersihkan 'dirinya' dengan syarat kita mengamalkan pemakanan yang betul sepanjang bulan puasa ini. 
Selain itu, berpuasa juga akan memberikan peluang kepada tubuh badan untuk membuang lebihan toksin yang terkumpul di dalam badan. Pada peringkat awal berpuasa, kita sedari bahawa mulut akan berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik, gatal-gatal pada kulit, air kencing pekat dan berbau, lidah kelat dan sebagainya. Ini semua merupakan petanda bahawa tubuh sedang membersihkan toksin dalam badan.
Selain tubuh badan, berpuasa juga boleh meningkatkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam. Selalunya pada bulan inilah kita merasakan bahawa kekuatan dalam diri kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Bagi mereka yang bekerja dengan menggunakan kekuatan fizikal, bulan Ramadhan pasti menguji ketahanan diri. Bagi mereka yang mudah lemah semangat, kelebihan bulan Ramadhan ini perlulah digunakan untuk membina kekuatan diri. Pendek kata, bulan Ramadhan memang memberi peluang yang luas untuk setiap umat Islam membina ketahanan diri. 
Kelebihan bulan Ramadhan dan amalan berpuasa tidak terhad kepada seseorang individu sahaja. Apa yang lebih penting adalah tanggungjawab berpuasa ini memberikan kelebihan untuk kita mengeratkan hubungan sesama manusia. Dalam bulan ini, kita tentu sahaja menginsafi nasib golongan yang sedang mengalami kesusahan, kemiskinan, kebuluran dan penindasan sama ada di negara sendiri mahupun di seluruh dunia. Pastinya kita lebih memahami kesempitan yang dihadapi oleh orang lain dan sedia membantu bila diperlukan. 
Bukan itu sahaja, pada bulan ini juga kita selalu memastikan bahawa setiap ahli keluarga berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa. Kita juga kadang-kala menziarahi saudara mara dan jiran tetangga atau menjemput mereka berbuka puasa bersama-sama. Kesempatan sebegini mungkin sangat jarang diperolehi. Oleh itu, peluang yang dianugerahkan ini perlu dimanipulasi sebaik mungkin demi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan. 
Jelaslah bahawa bulan Ramadhan dan amalan berpuasa memang mempunyai keistimewaan yang tinggi. Oleh itu, setiap umat Islam tidak boleh melepaskan peluang yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. ini. Setiap dari kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan agar faedah bulan tersebut dapat digarap sebanyak mungkin. 
Terdapat banyak persiapan yang boleh dibuat. Pertamanya, membetulkan niat dan azam sebelum memasuki bulan Ramadhan. Niat dan azam perlulah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Berazamlah untuk menjadikan bulan Ramadhan kali ini satu bulan yang terbaik untuk diri kita. Misalnya, kita boleh berazam untuk menjalani ibadah puasa yang tinggi kualitinya. Jadi, tekadkan dalam diri untuk merebut semua peluang kebaikan yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan ini.
Di samping itu, ambillah peluang untuk meningkatkan potensi diri dalam bulan yang penuh cabaran ini. Segala kekangan yang biasa mengongkong diri perlu diatasi dan usaha ini perlu diteruskan walaupun bulan Ramadhan telah berlalu. Sebagai contoh, sifat malas, leka dan lemah mesti cuba diatasi. Apabila proses ini dilakukan secara berterusan, maka potensi diri seseorang individu dapat dipertingkatkan.
Selain dari memperbaiki keimanan dan kualiti diri, bulan Ramadhan yang mulia ini juga boleh menjadi satu platfom untuk kita mengeratkan hubungan sesama insan. Dalam konteks ini, hubungan kekeluaragaan dan kejiranan menjadi fokus utama. Sematkan dalam hati untuk lebih kerap berbuka puasa dan beribadat bersama keluarga dan jiran tetangga. Jika ini berjaya dilakukan maka hubungan sesama ahli keluarga dan insan yang lain akan menjadi semakin rapat dan harmoni. 
Dari segi kesihatan juga, seseorang itu perlu membuat persiapan tertentu. Ada juga sesetengah individu yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak memungkinkan dia berpuasa. Selain itu, ada juga sesetengah orang yang bergantung kepada ubat tertentu untuk merawat penyakit. Oleh itu berpuasa mungkin akan mengganggu waktu pengambilan ubat dan sebagainya. Golongan sebegini perlu mendapatkan nasihat dari doktor masing-masing dan mungkin beberapa pengubahsuaian boleh dilakukan. Walaubagaimana pun, janganlah terus meninggalkan ibadat berpuasa kerana ini amat merugikan.
Selain kesihatan, faktor kewangan juga perlu diambil kira. Persediaan dari segi kewangan juga perlu dilakukan. Pada bulan Ramadhan ini, kita lebih kerap makan di rumah dan menyediakan pula pelbagai juadah berbuka puasa. Oleh itu, perbelanjaan untuk perkara ini juga perlu diteliti dan dikawal agar tidak melampaui batas. Segala bentuk pembaziran perlulah dielakkan agar keberkatan bulan Ramadhan tidak disia-siakan. 
Kita jarang membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan dan amalan berpuasa. Malahan ada pula sesetengah orang yang menganggap bulan Ramadhan dan amalan berpuasa amat menyusahkan. Bagi golongan ini, kedatangan bulan Ramadhan diibaratkan sebagai beban yang menggalas bahu.
Kontranya, tren masyarakat kini menunjukkan bahawa persediaan yang besar-besaran dilakukan untuk menyambut Syawal atau Hari Raya Aidilfitri. Pada masa inilah kita lihat pelbagai tawaran istimewa diadakan di pusat-pusat membeli-belah. Orang-ramai pula berpusu-pusu membeli hingga kadang-kala timbul pula pembaziran.
Bukanlah salah membuat persiapan Syawal tetapi jika persiapan menyambut Syawal dilakukan dengan meriah sekali, persiapan menyambut Ramadhan juga perlu lebih meriah kerana bulan ini adalah satu bulan yang penuh keberkatan. 
Sayangnya, pada masa kini tren sambutan Ramadhan juga telah telah disalah-ertikan. Pada masa ini, akhbar-akhbar tempatan sibuk mengiklankan pakej-pakej berbuka puasa dihotel-hotel atau restoran mewah. Namun begitu, bukan ini persediaan yang kita mahukan.
Persediaan utama adalah untuk melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani serta ilmu bagi merebut segala faedah yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Matlamatnya adalah untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah s.w.t., meningkatkan kualiti iman dan ibadat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan. 
Pun begitu, tidaklah dikatakan bahawa berbuka puasa diluar itu salah cuma perlu berhati-hati agar tidak membazir. Di samping itu, aspek beribadat jangan ditinggalkan. Dalam masa yang sama, persediaan menyambut Syawal juga tidak salah. Umat Islam digalakkan membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri kerana ini merupakan antara perayaan yang penting dalam kalender Islam. Namun begitu, sekali lagi, pilihlah satu persediaan yang sederhana dan tidak membebankan diri sendiri. 
Umat Islam sangat beruntung kerana diberikan peluang untuk menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan dan keistimewaan ini janganlah disia-siakan. Buatlah persediaan yang sewajarnya untuk menyambut bulan mulia ini. Moga-moga diakhir bulan Ramadhan nanti, kita akan menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari semua segi berbanding sebelumnya.Selamat menantikan bulan ramadahan kareem~

http://khairulazharghazali.blogspot.com/2011/07/ahlan-ya-ramadhan.html

Comments

Popular posts from this blog