Putera Mahkota Arab Saudi Meninggal Dunia
 



PUTERA SULTAN
RIYADH – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia, menurut satu pengumuman istana yang disiarkan di televisyen negara berkenaan semalam.
Tempat beliau sebagai pengganti Raja Abdullah Al-Saud digantikan oleh saudara lelakinya , Putera Nayef Abdul Aziz Al Saud, 77, yang juga Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.
Putera mahkota berkenaan yang berusia sekitar 86 tahun berkhidmat sebagai ketua keselamatan negara selama hampir lima dekad.
Beliau meninggal dunia semasa berada di Amerika Syarikat (AS). Putera Sultan dipercayai dirawat di sebuah hospital di bandar raya New York sejak pertengahan Jun lalu kerana menghidap kanser kolon sejak 2004.
Kerabat diraja itu akan dikebumikan Selasa ini selepas jenazahnya tiba dari AS.
Kematiannya berlaku semasa Raja Abdullah Al Saud, 87, masih dirawat di sebuah hospital di sini, seminggu selepas beliau menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang.
Keluarga Al-Saud memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara berkenaan pada tahun 1932 oleh Raja Abdul Aziz yang juga digelar Ibnu Saud. – AFP
SUMBER
Mayat Gaddafi Dipamer Di Pasar Raya
 
JENAZAH bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi (depan) dan anak lelakinya, Mutassim dipamerkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di bandar Misrata, Libya semalam.
MISRATA, Libya – Jenazah Muammar Gaddafi yang masih berlumuran darah dipamerkan kepada umum di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar raya di sini.
Orang ramai semalam berbaris panjang untuk menatap jenazah bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu yang diletakkan di atas sebuah tilam di bilik berkenaan.
Pada mulanya, jenazah Gaddafi disimpan di bilik itu untuk mengelakkan daripada tatapan umum. Namun, orang awam berpusu-pusu tiba untuk melihat jenazah pemimpin yang mereka benci itu sebaik sahaja rahsia lokasi tersebut terbongkar.
Malah, untuk memudahkan orang ramai melawat arwah, pengawal-pengawal di premis itu menetapkan masa lawatan berasingan untuk keluarga dan lelaki bujang.
“Kami mahu melihat anjing ini (Gaddafi),” kata beberapa penduduk setempat.
Berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak turut tidak ketinggalan bergambar bersama jenazah bekas pemimpin Libya tersebut.
Jenazah Gaddafi dibiarkan terbujur dalam keadaan terdedah hingga ke paras pinggang dengan dada dan tangannya berlumuran kesan darah sebelum ditutup dengan sehelai selimut.
Kesan luka akibat tembakan turut dilihat pada dada, perut dan bahagian kiri kepala jenazah.
Turut diletakkan di dalam bilik sejuk beku tersebut ialah jenazah anak lelakinya, Mutassim Gaddafi.
Gaddafi meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dia ditangkap pejuang-pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) ketika cuba meninggalkan bandar kelahirannya, Sirte bersama pengawal-pengawalnya.
NTC yang memerintah Libya masih tidak dapat memutuskan bila dan di mana jenazah Gaddafi akan dikebumikan.
Penduduk di sini yang merupakan bandar paling teruk dibedil tentera Gaddafi dalam perang saudara sejak beberapa bulan lalu mendakwa jenazah Gaddafi adalah hak milik mereka.
Pertelingkahan itu menyebabkan rancangan untuk mengebumikan jenazah Gaddafi kelmarin terpaksa ditanguhkan.
Pemerintah tentera NTC di bandar ini juga tidak membenarkan pembedahan autopsi dilakukan keatas jenazah Gaddafi untuk mengetahui punca kematiannya.
ORANG RAMAI berbaris untuk menatap jenazah Muammar Gaddafi di sebuah pusat membeli belah di Misrata kelmarin.
“Tiada pembedahan autopsi keatas jenazahnya akan dilakukan hari ini (semalam) atau pada mana-mana hari,” kata jurucakap majlis tentera Misrata, Fathi al-Bashaagha.
Sementara itu, NTC mengeluarkan kenyataan bahawa satu pentadbiran sementara akan ditubuhkan dalam masa sebulan. Rakyat Libya pula akan memilih pentadbiran baru dalam pilihan raya umum yang dijadual diadakan dalam tempoh lapan bulan lagi.
NTC akan mengisytiharkan pembebasan Libya di bandar Benghazi, timur Libya hari ini untuk membuka laluan kepada usaha-usaha mengubah negara yang kaya dengan minyak itu menjadi sebuah negara demokrasi. – Agensi
sumber
Tiga Doktor ‘Tuai’ Organ Dipenjara
 
sekadar gambar hiasan
RIO DE JANEIRO – Tiga doktor di Brazil didapati bersalah membunuh empat pesakit dengan mengeluarkan organ mereka yang kemudian digunakan dalam beberapa pembedahan pemindahan organ di sebuah klinik swasta untuk golongan elit.
Hakim Negeri Sao Paulo, Marco Montemor menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan enam bulan masing-masing terhadap Dr. Rui Sacramento, Dr. Pedro Torrecillas dan Dr. Mariano Fiore.
Sacramento dan Torrecillas didakwa melakukan pembunuhan kerana mengeluarkan kedua-dua ginjal beberapa pesakit dan menyediakan organ tersebut untuk dipindahkan.
Fiore yang merupakan seorang pakar bedah saraf pula didakwa bersama seorang konconya kerana tersilap mengisytiharkan beberapa pesakit mengalami mati otak dan meluluskan pengeluaran organ mereka.
Seorang lagi pakar bedah saraf yang didakwa dalam kes berkenaan, Antonio de Carvalho Monteiro meninggal dunia tahun lalu.
Sacramento pengsan apabila hukuman dibacakan pada Khamis lalu manakala anggota keluarga mangsa-mangsa kes tersebut saling berpelukan selepas keputusan mahkamah akhirnya memihak kepada mereka.
Kes itu disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai amat rumit kerana mengambil masa selama 25 tahun sebelum penghakiman dapat dibuat.
Pendakwa raya negeri Sao Paulo, Marcio Friggi de Carvalho memberitahu, kes itu timbul pada 16 Disember 1986 apabila ketua sekolah perubatan Universiti Taubate menyedari sebuah hospital gabungannya melakukan beberapa pembedahan pemindahan ginjal tanpa pengetahuannya.
Kalume kemudian memeriksa rekod berkaitan pembedahan-pembedahan tersebut dan menemui unsur-unsur mencurigakan.
Beliau seterusnya melakukan siasatan terhadap pasukan doktor berkenaan dan menyerahkan bukti yang ditemui kepada Majlis Perubatan Persekutuan iaitu agensi yang memantau dan mengeluarkan lesen amalan perubatan kepada doktor-doktor perubatan di Brazil, kata Carvalho.
Kes tersebut katanya diambil alih pihak polis sehingga membawa kepada penangkapan keempat-empat doktor berkenaan.
“Mereka membedah pesakit, mengeluarkan ginjal mereka dan menghantarnya,” kata Carvalho. – AP
SUMBER

Posted: 22 Oct 2011 10:54 AM PDT
GELAGAT peserta yang hadir ke Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah Islam di Stadium Shah Alam semalam.
SHAH ALAM – Himpunan Sejuta Umat, Selamatkan Akidah Islam (Himpun) akan bergerak ke seluruh negara selepas Pengerusi perhimpunan berkenaan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin minggu depan sebelum bertemu dengan Raja-Raja Melayu dan Menteri-Menteri Besar di setiap negeri.
Pengerusi perhimpunan yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membentangkan 10 usul Deklarasi Himpun pada pertemuan tersebut sebelum mengadakan perhimpunan di seluruh negara.
“Sepuluh Deklarasi Himpun yang kita tuntut ini merupakan hal-hal yang memang dipersetujui Islam.
“Ia juga bagi memberitahu orang lain supaya menghormati dan memahami suara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan yang diadakan di Stadium Shah Alam di sini semalam.
Tegasnya, perhimpunan semalam menuntut supaya kerajaan memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh bagi memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan.
“Kita juga meminta kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini,” katanya.
Pada perhimpunan yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 6 petang itu, lebih 10,000 orang hadir walaupun tidak mencapai sasaran 100,000 peserta.

SUMBER

Pelajar IPT Perlu Kuasai Dua Bahasa – PM
Posted: 22 Oct 2011 10:51 AM PDT
NAJIB beramah mesra dengan peserta Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri Antara Institusi Pengajian Tinggi di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan para pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya terus memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris tanpa menjejaskan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, penguasaan dwibahasa seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah penting agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi.
“Kalau ada kebolehan untuk menguasai tiga bahasa seperti bahasa Mandarin atau bahasa Jepun alangkah baiknya kerana ia akan menjadi satu aset.
“Dengan penguasaan bahasa Inggeris, kita boleh bersaing di persada antarabangsa dan mengekalkan jati diri yang mantap,” katanya pada majlis minum petang bersama lebih 400 peserta Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri antara Institusi Pengajian Tinggi di Sri Perdana di sini semalam.
SUMBER
Kaki Mertua Patah Dipijak Menantu
 
IBRAHIM ditenteramkan anak-anaknya (dari kanan) Rozita, Kamariah danJamaliah di Kampung Pengkalan Rama, Melaka semalam.
MELAKA – Seorang warga emas yang cacat penglihatan patah kaki kanan akibat dipijak menantunya dalam pertengkaran di Kampung Morten di sini baru-baru ini.
Pada kejadian pukul 3.30 petang 10 Oktober lalu itu, Ibrahim Omar, 65, yang menetap di rumah anak keduanya, Jamilah, 46, di Kampung Pengkalan Rama Pantai, pergi ke rumah pusakanya di Kampung Morten untuk mengambil baju.
“Tiba di rumah itu, isteri saya, Arah Mahmud, 64, menghalau saya dari rumah tersebut sehingga berlaku pertengkaran di antara kami berdua.
“Pertengkaran itu semakin teruk apabila menantu saya yang berusia 38 tahun dan tinggal di rumah itu masuk campur,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini semalam.
Ibrahim berkata, menantunya itu tiba-tiba bertindak ganas lalu memukulnya dari belakang.
“Dia menghumban saya ke luar rumah sebelum memijak kaki kanan saya dengan kuat sehingga patah,” katanya.
Menurut Ibrahim, jirannya yang menyaksikan kejadian itu terus menghubungi Jamilah yang kemudian datang untuk membawa Ibrahim pulang.
Katanya, pada malam selepas kejadian, kakinya berasa sakit dan beliau terus ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan
SUMBER
Sorok Syabu Dalam Tin Kacang Hijau
Posted: 22 Oct 2011 10:44 AM PDT
PEGAWAI Penguatkuasaan Kastam, Mohd. Farhaam Izham menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA, Sepang semalam.
SEPANG – Tindakan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang cuba mengalih perhatian pihak berkuasa dengan meletakkan dua ekor ikan goreng busuk sepanjang 40 sentimeter di dalam kotak berisi syabu gagal apabila pihak kastam menahan empat lelaki termasuk tiga pelajar Nigeria kelmarin.
Kegiatan sindiket itu terbongkar pada pukul 5.30 petang kelmarin apabila pihak kastam menahan sebuah van yang dipandu seorang lelaki di pintu keluar Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pemeriksaan awal mendapati van yang dipandu lelaki dari sebuah syarikat penghantaran itu membawa dua buah kotak yang tiba dari Lagos, Nigeria yang tiba di negara ini seminggu lalu.
Pemeriksaan terhadap dua buah kotak yang diisytihar sebagai barang peribadi itu mendapati ia mengandungi pelbagai barang makanan termasuk 67 tin makanan segera, udang kering, sardin dan herba.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Govinden Mutosamy berkata, pihaknya mula curiga terhadap kandungan di dalam tin tersebut kerana tiada bunyi kocakan air apabila digoncang.
“Kita telah menebuk salah satu tin tersebut dan menemui serbuk kristal putih yang disahkan dadah jenis syabu.
“Kita mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk memeriksa kandungan semua bahan makanan di dalam kotak tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA di sini semalam.
Ketika ditahan, pemandu tersebut mendakwa, dia hanya ditugaskan untuk mengambil dua kotak tersebut. Ini merupakan kali ketiga dia menuntut bungkusan tersebut yang didaftarkan atas nama seorang lelaki Nigeria di ibu negara.
Menurut Govinden, siasatan mendapati sebanyak 62 tin kacang hijau dan lima tin daging ayam itu diisi dengan syabu yang kesemuanya seberat 40 kilogram dan bernilai mencecah RM10 juta.
SUMBER
Posted: 22 Oct 2011 07:48 AM PDT
Barack Obama berucap dalam sidang media AS
AP
Presiden Barack Obama berucap mengenai kematian pemimpin Libya dan juga pengakhiran perang AS di Iraq sebagai peringatan kukuh mengenai keberkesanan negara itu memimpin dunia.
Pada masa yang sama, Obama turut mengulas  bahawa Amerika Syarikat kini perlu menangani “cabaran yang terbesar sebagai sebuah negara”- membina semula ekonomi yang lemah dan mewujudkan pekerjaan - dengan “segera dan berpadu seperti yang diamalkan tentera AS dalam berperang.”
Obama memberitahu negara itu pada Jumaat yang lalu bahawa peperangan yang panjang dan mahal di Iraq akan berakhir menjelang akhir tahun ini dan kira-kira 40,000 askar AS baik lelaki mahupun wanita yang masih di sana “akan dipastikan pulang menjelang perayaan krismas”.
Sehari sebelum itu, beliau memuji pembunuhan bekas pemimpin Libya itu sebagai ”hari bersejarah” dalam sejarah negara itu  ekoran dari pemerintahan Gaddafi selama berpuluh-puluh tahun dengan kezaliman.
Obama berkata dalam radio mingguan dan alamat internet miliknya bahawa kejayaan dasar luar ini adalah sebahagian daripada cerita yang terbesar.
“Minggu ini, kita telah memberi dua peringatan kukuh bagaimana kita telah perbaharui kepimpinan Amerika di mata dunia,” kata Obama. ”Selepas satu dekad perang, kami mengubah haluan dan melangkah ke hadapan, dengan kekuatan dan keyakinan.”
Menurut beliau pengeluaran tentera dari Iraq memberi ruang  Amerika Syarikat untuk memberi tumpuan ke atas Afghanistan dan skor kemenangan besar terhadap al-Qaeda, termasuk pembunuhan Mei bagi dalang pengganas Osama Bin Laden. Bala tentera juga telah dibawa pulang dari Afghanistan.
Obama berkata berakhir peperangan kedua-duanya akan membenarkan Amerika Syarikat untuk memberi tumpuan kepada membina semula ekonomi yang lemah supaya ia boleh mewujudkan pekerjaan yang mencukupi untuk mengurangkan tahap pengangguran yang tinggi. Ia dilihat sebagai platfom membantu beliau dalam bida pemilihan semula ,yang terjejas ekoran dari keadaan kewangan yang teruk.
“Lebih sedekad yang lalu, kita telah membelanjakan trilion dolar dalam perang, yang dipinjam dari luar negara dan melabur terlalu sedikit dalam sumber kekuatan negara kita, rakyat kita sendiri,” ujar Presiden. ”Sekarang, negara kita perlu menumpu pada rakyat kita sendiri.”
sumber
Laman Sosial Dakwa MUZIKfm Akan Ditutup

SEKADAR GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Laman sosial Facebook, Twitter dan blog hiburan mendakwa stesen radio MUZIKfm akan ditutup dan digantikan dengan saluran radio baru yang dinamakan Nasional FM berkonsepkan informasi, forum dan bual bicara berkuat kuasa 1 November ini.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada pengumuman dilakukan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, walaupun berita penutupan radio MUZIKfm sudah tersebar sejak awal bulan ini. Pegawai atasan dan penyampai radio MUZIKfm juga tidak berani membuka mulut mengesahkan kesahihan berita berkenaan.
Sumber mendakwa, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengarahkan stesen radio MUZIKfm ditutup bagi mewujudkan Nasional FM yang lebih menekankan aspek penyebaran maklumat berbanding hiburan.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, ia mendapat tentangan pendengar apabila berita penutupan mula tersebar. Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog hiburan heboh memperkatakan isu penutupan radio yang akan mengurangkan elemen hiburan menyebabkan pihak kementerian terpaksa mengambil sikap mendiamkan diri.
Sumber mendakwa, konsep baru radio yang bakal menggantikan stesen radio MUZIKfm iaitu bual bicara, informasi, forum sebanyak 60 peratus dan selebihnya 40 peratus adalah hiburan.
Bagaimanapun, kata sumber, sebahagian pegawai dan penyampai radio MUZIKfm masih dikekalkan, manakala sebahagiannya akan ditukarkan ke tempat lain. Penyerahan surat jawatan akan diberikan Rabu depan.
Menurut sumber, pihak kementerian memilih MUZIKfm kerana radio berkenaan antara lima radio terbaik di negara ini. Tiada rangkaian radio nasional RTM, khususnya saluran berbahasa Melayu yang berada pada kedudukan lima pilihan pendengar. Stesen yang menggunakan tagline Stesen Muzik Anda mengekalkan rekod cemerlang apabila mempunyai 1.25 juta pendengar seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Muzik FM ditubuhkan pada 1975 menggunakan nama FM Stereo, ia muncul stesen radio pertama di negara ini yang memberikan perkhidmatan dalam bentuk stereofonik kepada rakyat Malaysia. Bagi mengikuti perkembangan semasa, nama FM Stereo ditukarkan kepada Radio 2, sekali gus menjadi stesen radio berkenaan cukup berpengaruh.
Ketika itu, pendengarnya melebihi tiga juta pendengar. Dalam usaha memantapkan radio berkenaan, pada 1 Ogos 1994, sekali lagi stesen berkenaan melakar sejarah apabila menukarkan nama kepada Radio Muzik yang bersiaran 24 jam sehari.
Ia ke udara menggunakan dua bahasa, Melayu dan Inggeris. Akhirnya, Radio Muzik bertukar lagi kepada Muzik FM pada 1 April 2005, sempena penjenamaan semula stesen radio RTM.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika ditemui pemberita enggan mengulas mengenai penutupan stesen radio berkenaan.
SUMBER
Harta Gaddafi RM121 Bilion Dijejak
 
PEMBACA menatap akhbar di tepi jalan dengan gambar Gaddafi yang dilaporkan terbunuh, semalam.

Kematian tragik bekas pemimpin Libya diraikan rakyat hidup tertindas
TRIPOLI: Kematian bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi diraikan berjuta-juta penduduk Libya yang yakin bahawa ia akan membuka sejarah baru kepada rakyat negara itu yang sejak sekian lama hidup di bawah pemerintahan kuku besi.
Bagaimanapun, kematian beliau belum mengakhiri masalah Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang bertindak sebagai kerajaan sementara kerana kini ia perlu mendapatkan semula harta dan kekayaan bekas pemimpin itu yang ‘bertaburan’ di beberapa negara.
Butiran dari dokumen yang dibocorkan kepada pertubuhan anti- rasuah Global Witness menyatakan Gaddafi memiliki kekayaan dalam bentuk wang tunai dan aset yang diletakkan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) bernilai AS$38 bilion (RM121 bilion), disimpan di bank di Eropah dan Amerika selain dilaburkan dalam pelbagai syarikat.
Ia bagaimanapun tidak memberi maklumat mengenai pelaburan lain yang dilakukan Syarikat Pelaburan Arab Libya Luar Negara (Lafico) yang juga anak syarikat LIA yang ada kepentingan di beberapa negara.
Maklumat menunjukkan LIA mempunyai pegangan saham di beberapa syarikat antarabangsa yang terkenal, termasuk Nokia.
“Bank Eropah terbesar yang menyimpan wang Gaddafi ialah syarikat perkhidmatan kewangan Perancis Société Générale, yang sehingga Jun tahun lalu menyimpan wang berjumlah AS$1.8 bilion (RM5.76 bilion) di dalam beberapa akaun,” kata laporan itu.
Sebuah bank antarabangsa di Malta pula dilapor menyimpan kira-kira AS$239 juta (RM764 juta) dalam bentuk dana lindung nilai manakala sebuah bank di Amerika, Goldman Sachs menyimpan AS$182 juta (RM582 juta), manakala Royal Bank of Scotland memiliki sejumlah AS$110 juta (RM352 juta).
“Adalah tidak masuk akal bahawa bank terbabit boleh ‘bersembunyi’ di sebalik maklumat sulit pelanggan dalam kes seperti ini. Ini adalah akaun negara dan pemiliknya adalah rakyat Libya,” kata pengarah Global Witness melalui laman web pertubuhan itu.
Pemangku perdana menteri kerajaan baru, Mahmoud Jibril berkata pihaknya akan melakukan semua perkara yang perlu untuk memulihkan demokrasi dan memulihkan semula negara itu, termasuk mendapatkan semula dana yang kini dibekukan di beberapa negara.
Mac lalu, Presiden Amerika Barack Obama mengarah perbendaharaan menyekat aset Libya di negara itu bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion), aset terbesar negara asing yang pernah dibekukan. – Agensi
INFO: Beberapa fakta pelik mengenai Gaddafi
# Khemah kalis peluru: Apabila Muammar Gaddafi berada di rumahnya di Tripoli, beliau tinggal di pekarangan kukuh dengan sistem kompleks terowong untuk melarikan diri.
# Rombongan Pengawal Peribadi Gadis: Mereka nampaknya tidak bersama ketika Gaddafi amat memerlukan mereka kelmarin tetapi pemimpin itu dilindungi 40 pengawal peribadi terlatih, semuanya wanita.
# Jururawat seksi Ukraine: Untuk sedekad, Galyna Kolotnytska, jururawat Ukraine yang sering disifatkan media sebagai seksi, selalu dilihat berada di sebelah pemimpin kuku besi itu.
# Jatuh cinta dengan Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelarkan bekas Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice sebagai kekasih wanita kulit hitam Afrikanya.
# Takut untuk terbang dan menaiki tangga bergerak: Sebahagian alasan mengapa Gaddafi gemar ke luar negara membawa khemah kerana beliau bimbang menginap di hotel kerana perlu menaiki tangga bergerak.
# Bunga Bunga: Pelacur berusia 17 tahun dikenali sebagai Karima el-Mahroug, atau lebih popular dengan nama Ruby Heartstealer, mendedahkan beliau dijemput ke pesta yang digelar bunga-bunga.
# Pakaian bercampur aduk: Pakaiannya bercampur daripada seragam tentera, sut ringkas gaya Miami Vice dan jubah Badwi.
SUMBER
Gempa Bumi 7.6 Magnitud Gegar Kepulauan Tonga

gambar hiasan

NUKU’ALOFA (Tonga): Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud menggegarkan kepulauan Tonga, Pasifik Selatan pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan dan kecederaan.
Penyelidik Geologikal Amerika Syarikat berkata, gempa bumi pada kira-kira jam 5.57 pagi itu berlaku kira-kira 870 kilometer selatan Nuku’Alofa, Tonga.
Kedalaman gempa bumi itu ialah 39 kilometer.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran tsunami tetapi berkata paras laut menunjukkan tsunami berlaku. – AP
SUMBER

Kesan Negatif Tampar Muka Budak

sekadar gambar hiasan

SAYA tergerak untuk menulis berkenaan kesan menampar muka kanak-kanak sama ada anak kita ataupun murid sekolah. Kita mungkin menganggap menampar adalah tindakan yang tidak serius dan bukanlah isu besar, malah kita sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dulu.
Bagaimanapun tahukah perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui kanak-kanak mempunyai organ yang masih berkembang dalam menjalani proses tumbesaran.
Organ ini juga rapuh, mudah cedera dan berpotensi menghadapi masalah kesan negatif jangka panjang. Organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang leher dan juga otak ialah organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan.
Jika kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita dapati kebanyakan kecederaan disebabkan tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka.
Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang terkena tamparan.
Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang kuat ke bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat.
Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan otak.
Pada waktu sama jika kepala terhentak ke dinding atau benda keras akibat momentum pergerakan kepala ketika ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.
Jika tamparan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang, gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang kekal jika ia serius dan tidak dirawat dengan cepat.
Sebenarnya banyak lagi kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, bibir pecah, gigi patah dan lain-lain lagi. Apa yang penting ialah menampar bukan perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum.
Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang ditampar, kesan psikologi ialah salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya.
Menampar dikatakan satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak. Saya menyeru kepada semua pihak supaya mengelakkan diri daripada menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum.
Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah dengan tujuan mendidik dan penuh kasih sayang supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan.
SUMBER

Yue Yue Budak Malang Yang Digilis Kenderaan Di Sahkan Telah Meninggal Dunia

Adik Yue Yue Ketika Koma
Kes insiden yang paling kontroversi budak 2 tahun kena langgar dengan van dan lori , nasib budak tersebut iaitu Yue-Yue dengan rasmi telah meninggal dunia pada hari Jumaat seminggu selepas kejadian trajis tersebut.
Budak dua tahun dengan kejam di langgar dan digilis oleh pemandu van yang memandu sambil menggunakani telefon bimbit dan 18 orang yang lain yang buat tak tau ketika kejadian , telah di sahkan meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.
Wang-Yue “YueYue” meninggal dunia awal hari Jumaat di Hospital Besar Daerah Tentera Guangzhou. Punca kematiannya disebabkan kegagalan otak dan organ. “Kecederaan beliau telah terlalu teruk dan rawatan yang diberi telah tiada kesan,” pengarah unit penjagaan intensif Su Lei kepada pemberita.
Dengan kejadian ini telah mencerminkan china sebagai negara yang kejam dan di tak bermoral. Sehinggakan ramai orang mencemuh akan ketidak perihatinan dan kemanusiaan terhadap kanal-kanak yang dilanggar pada kejadian tersebut.
Rakyat China mendakwa tidak mahu menolong dan pemandu van tersebut juga mahu membunuh kanak-kanak tersebut sejurus selepas di langgar atas dasar “culture & what they have practice in China.” korang boleh baca Kenapa tiada sesiapa membantu budak 2 tahun yang digilis di China?
Chen Xianmei ,seorang pemungut sampah di Selatan China yang menyelamatkan seorang kanak-kanak yang dibiarkan selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari, menerima ganjaran kira-kira RM10,000 daripada kerajaan tempatan.
Lagi satu sikap yang agak melampau terdapat segelintir masyarakat china yang mendakwa Makcik tua yang tampil membantu Yue Yue dituduh berbuat demikian kerana mahu popular….manusia oh manusia!
Sumber
Adik Yue Yue Mangsa Undang-undang Lapuk


Adik Yue Yue Ketika Koma (Gambar Hiasan Google)
MEDIA di China dan pelayar internet di seluruh dunia awal minggu ini mengecam ketandusan nilai kemanusiaan yang dipaparkan penduduk bandar Foshan di wilayah Guandong berikutan satu kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak kecil. Insiden berkenaan menyaksikan kanak-kanak perempuan yang berusia dua tahun itu dilanggar dua kali oleh dua van berlainan di sebuah jalan raya. Kanak-kanak itu yang berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan, tidak langsung dibantu oleh lebih 10 orang yang lalu lalang di jalan yang sempit itu. Insiden pada 13 Oktober itu dirakam oleh kamera kawalan dan disiarkan oleh stesen televisyen Southern Television Guangdong (TVS). Penonton televisyen di Malaysia turut menyaksikan insiden itu apabila ia disiarkan sebagai berita utama oleh TV3. Pemandu van putih yang pertama melanggar kanak-kanak itu meninggalkan mangsa kecilnya itu berlumuran darah di tepi jalan. Kira-kira enam minit kemudian, lebih 10 orang lalu di jalan itu dan tidak seorang pun melakukan apa-apa untuk membantunya. Kanak-kanak itu kemudian digelek oleh sebuah van lagi dan hanya selepas itu seorang wanita tua yang mengutip sampah membantu mangsa. Wanita tua itu memberitahu ibu kanak-kanak itu mengenai nasib malang anaknya. Mangsa yang dibawa ke hospital kini dalam keadaan koma. Doktor berkata kanak-kanak perempuan itu kini dianggap ‘mati otak’ dan pada bila-bila masa boleh menghembus nafas terakhirnya. Walaupun sejak itu pemandu kedua-dua van terbabit sudah ditahan polis, insiden berkenaan memeranjatkan orang ramai dan mencetuskan debat mengenai tahap moral di negara itu. Apakah nilai kemanusiaan sudah lenyap langsung di China? Apakah pembangunan pesat sesebuah negara akan membuatkan seseorang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga tidak lagi hirau mengenai nasib insan yang lain? Debat yang sama turut berlaku di Britain apabila seorang pelajar Malaysia dipukul perusuh yang berpura-pura membantu mangsanya yang jatuh daripada basikal yang ditungganginya. Selepas insiden berkenaan, penduduk Britain mula menyoal keruntuhan tahap moral di negara itu. Mereka mula melihat apakah punca keruntuhan itu dan mempersoalkan sama ada sistem pendidikan negara menyumbang kepadanya. Namun insiden terbaru di China itu bukan saja membabitkan soal moral. Kanak-kanak kecil terbabit mungkin juga menjadi mangsa kepada undang-undang yang tidak memihak kepada mereka yang membantu mangsa kemalangan. Ramai di China enggan membantu mangsa kemalangan kerana bimbang mereka akan dipersalahkan kemudian. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini menyaksikan mereka yang membantu disaman oleh mangsa yang dibantunya. Mungkin atas alasan inilah lebih 10 orang yang lalu lalang di depan kanak-kanak malang berkenaan enggan membantunya. Apa sekali pun moral yang tinggi yang dibanggakan rakyat China sebelum ini kini dilihat mula lenyap, digantikan dengan kegilaan mencari keuntungan dan menghimpun material. Apa-apa undang-udang dirangka sekali pun tidak akan menyelesaikan masalah keruntuhan nilai kemanusiaan ini. Apa yang penting ia harus dipupuk oleh pendidikan baik di sekolah, mahupun di rumah. sumber

Bersatu Pertahankan Aqidah
 
Gambar Hiasan Google

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Semua umat Islam perlu bangkit dan bersatu mempertahankan Islam daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh agama.

Sebagai reaksi kepada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam hari ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, penganjuran perhimpunan itu hanya bertujuan untuk menyeru umat Islam negara ini supaya berpegang teguh mempertahankan kesucian agama.
Katanya, ia sekali gus menafikan bahawa ia dianjurkan atas sebab politik.
”Saya akan hadir (Himpun) esok. Semua umat Islam perlu bangun mempertahankan Islam dan perhimpunan esok hanya untuk menyeru umat Islam supaya berpegang teguh demi mempertahankan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setakat ini, hampir 100,000 ahli daripada 3,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mengesahkan kehadiran sebagai menyatakan sokongan menjayakan Himpun yang bertujuan menyelamatkan akidah umat Islam daripada gejala murtad.
Baru-baru ini, Harussani turut menggesa pihak berkuasa agama untuk mewujudkan akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin),Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, golongan bukan Islam tidak boleh mempersoalkan tindakan penganjuran perhimpunan itu kerana ia adalah hak Islam sekali gus berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan mana-mana agama lain melakukan dakyah kepada umat Islam.
Katanya, tindakan tersebut juga selari dengan Deklarasi Cairo iaitu satu deklarasi terhadap hak asasi manusia dalam Islam yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima oleh Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) (OIC) pada tahun 1990.
”Sebagai masyarakat Islam yang ingin menzahirkan keprihatinan mereka, kita boleh lakukan perhimpunan ini mengikut undang-undang.
”Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam supaya turun beramai-ramai esok sebagai menyatakan pendirian kita,” katanya.
Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad pula berkata, penganjuran perhimpunan itu merupakan langkah terbaik untuk menyedarkan mana-mana pihak agar tidak terlalu ghairah mendapatkan kuasa biarpun sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa.
”Adalah amat wajar NGO Islam tampil ke hadapan supaya keghairahan parti politik yang mengejar kuasa dapat disekat.
”Sekiranya ada parti politik bersikap sedemikian, pihak bukan Islam tidak rasa takut untuk mengembangkan agama mereka di kalangan orang Islam,” katanya.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong Himpun kerana ia melibatkan urusan akidah umat Islam dan mendapat permit polis.
Sehubungan itu, pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa turut menyeru umat Islam lain yang menyokong usaha mempertahankan akidah dan agama Islam di Selangor supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu.
”Saya yakin semua yang hadir adalah kerana menyokong usaha untuk mempertahankan akidah Islam dan akan menjadi tetamu yang beradab.
”Saya sendiri akan hadir bersama keluarga sebagai seorang umat Islam yang menyokong usaha ini,” katanya.
sumber

Comments

Popular posts from this blog