Siri Doa Sebagai Senjata Mukmin (2) : Terjemahan Teks Syarahan How Do You Speak To Your Lord

 

Assalamualaikum.

Maafkan saya kerana mengambil masa yang lama untuk menyiapkan terjemahan ini.Kekangan masa dan tanggungjawab lain menyebabkan penangguhan ini berlaku.

Untuk mereka yang baru,artikel ini sebenarnya adalah sambungan bagi Siri Doa Sebagai Senjata Mukmin (1) : Pengenalan (How Do You Speak To Your Lord?).

Dicadangkan supaya anda membaca dahulu artikel tersebut sebelum membaca artikel ini.

Dan elok juga diingatkan,tujuan saya membuat terjemahan syarahan ini bukanlah untuk meraih nama atau apa.

Tetapi,saya melakukan penerjemahan syarahan ini supaya mereka-mereka yang berada di kawasan dengan kelajuan internet yang rendah,dapat turut sama mengetahui ilmu yang ada di dalam video syarahan ini yang saya rasakan amat bermanfaat.

Semoga Allah menguatkan semangat saya untuk melakukan penerjemahan ini sehingga ke akhirnya dan semoga kita semua dirahmati Allah SWT.Dan dimaklumkan,mungkin berlaku sedikit pengubahsuaian pada teks syarahan bagi memudahkan proses penerjemahan.

Tips Membaca - Jika ada ayat yang diletakkan dengan tanda kurungan seperti ini (___) - itu bermaksud ayat itu adalah pandangan saya.Jika tiada tanda kurungan,itu bermaksud ianya adalah terjemahan teks.

Selamat Membaca.




(Syarahan dimulakan)

Assalamualaikum WBT.

Kita mulakan syarahan kita dengan nama Allah SWT,dan dengan meminta Allah SWT untuk membimbing kita ke jalan yang lurus dan meminta perlindungan-Nya dari segala kejahatan.

Sesiapa yang Allah berikan hidayah kepadanya,tiada siapa dapat menyesatkannya.Dan kepada sesiapa yang Allah sesatkan,tiada siapa yang dapat memberi petunjuk dan hidayah kepadanya.

Saya juga naik saksi bahawa tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah,dan Nabi Muhammad SAW itu Pesuruh Allah SWT.

Hadirin-hadirat sekalian,beradanya saya di sini pada hari ini membuktikan bahawa kita manusia hanya merancang,sebaliknya Allah sahajalah yang menentukan.

Beberapa hari lepas,saya berkata kepada anda bahawa saya tidak dapat menghadirkan diri ke sini pada hari ini kerana masalah logistik,tetapi lihatlah,dengan izin Allah,saya dapat berada di sini pada hari ini berucap di hadapan anda.

Betapa besarnya keagungan Allah.Jika sesuatu itu sudah ditakdirkan untuk berlaku,berlakulah ia.Dan saya merasa bangga kerana dapat berucap di hadapan anda pada hari ini dalam satu persidangan yang hebat ini.

Baiklah.Syarahan kita pada hari ini adalah berkenaan etika berhubung dengan Allah SWT.

Bagaimana kita menuturkan doa kepada Allah?Bagaimana kita memohon kepada Allah?

Dan saya merasakan daripada menyenaraikan beberapa senarai/point,mengapa tidak kita mengambil antara satu kisah yang paling penting di dalam Al-Quran dan menganalisa kisah ini dalam topik berhubung/berdoa dengan Allah.

Dan kisah yang dimaksudkan di sini adalah kisah yang ada kaitannya dengan kita semua yang ada di sini kerana ianya berkisarkan tentang permulaan suatu makhluk,ianya cerita tentang bagaimana umat manusia datang ke bumi,ianya cerita tentang makhluk-makhluk dan ianya adalah cerita tentang Nabi Adam AS dan Iblis serta apa yang dilakukan Iblis terhadap bapa kita,Nabi Adam AS.

Daripada kisah ini,kisah tentang apa yang Iblis lakukan kepada Nabi Adam,dan apakah yang dilakukan Nabi Adam selepas itu,mari kita lihat,apa yang kita boleh manfaatkan tentang bagaimana kita boleh berhubung/berdoa kepada Allah dengan cara paling baik.

Pertama sekali,elok dimaklumkan,sebelum sahaja Nabi Adam membuka mulutnya menuturkan sebarang kata,sebelum Nabi Adam menyebut sepatah perkataan pun,Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada Nabi Adam.

Allah SWT memberikan Nabi Adam syurga Jannah dan segala isi kandungannya,Allah SWT mengurniakan Nabi Adam AS isterinya,Hawa,Allah SWT memberikannya pakaian dan kelengkapan yang terbaik,tanpa Nabi Adam AS perlu mengangkat tangan pun memohon kepada Allah SWT "Ya Allah,kurniakanlahku perkara-perkara ini".

Dan ini menunjukkan kita sesuatu.Ramai orang Islam sering tertanya-tanya,mengapakah Allah memberi perkara-perkara ini (rezeki) kepada orang yang tidak meminta kepada-Nya,mengapakah Allah mengambil berat/menjaga semua orang-orang ini.Malah orang yang angkuh dan takbur kepada-Nya,Allah beri juga nikmat kepada mereka.

(Betul.Cuba lihat sekeliling.Orang-orang atheist juga mendapat nikmat rezeki daripada Allah.Bukan kita orang Islam sahaja yang mendapat nikmat dari-Nya.)

Dan dari kisah Nabi Adam ini,kita dapat pelajari bahawa Allah SWT itu Al-Rahim,Allah itu Al-Wadud,Allah itu Ar-Rahman,Allah itu Al-Karim,Allah itu Al-Mannan,Allah itu Maha Pemurah,Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Allah itu Tuhan dan Pencipta sekalian alam!Dia akan menjaga kita dan mengurniakan nikmat kepada kita kerana Dia telah menciptakan kita.Allah akan menjaga kita kerana Dialah Tuhan kita semua.Tanpa perlu pun kita meminta kepada-Nya pun,kita akan mendapati Allah tetap mengurniakan rahmat-Nya kepada kita.

(Betul.Cuba lihat sekeliling kita.Ramai orang yang mungkar kepada Allah,tetapi masih diberikan nikmat rezeki kepada mereka.Kenapa?Kerana Allah SWT itu Maha Pemurah.Tetapi,persoalannya,ke manakah nikmat itu membawa kita?Ada orang diberi rezeki,mereka menjadi makin bersyukur.Ada orang diberi rezeki,tetapi dengan rezeki itu mereka menjadi semakin jauh dari kebenaran.Fikir-fikirkan.)

Dan kita dapat lihat perkara-perkara ini di dalam cerita Nabi Adam AS.

Tanpa berbuat apa-apapun,Allah berfirman kepada Nabi Adam AS :

"وَقُلۡنَا يَـٰٓـَٔادَمُ ٱسۡكُنۡ أَنتَ وَزَوۡجُكَ ٱلۡجَنَّةَ وَكُلَا مِنۡهَا رَغَدًا حَيۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". [2:35]"

Ini dikurniakan kepada Nabi Adam tanpa perlu Nabi Adam memohon doa.Dan ini disebabkan Allah itu Rabb.Dan maksud Rabb ini adalah apa?Ramai di antara kita tidak memahami maksud Rabb ini.

Maksud perkataan Rabb ini bermaksud Allah itu akan memelihara dan menjaga kita.Allah itu Rabb bagi orang Islam (muslim) dan juga bukan Islam.Allah itu Rabb bagi ciptaan-ciptaan-Nya.

Lihat saja ayat di bawah dari surah Al-Fatihah.

"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." [1:2]

Adakah disebut Allah,Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan Muslim?Atau Mukmin sahaja?

Tidak.

Tetapi,dinyatakan Allah,Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.Allah,Tuhan sekalian alam!

Allah itu Rabb bagi semua ciptaan.Jadi,Dia perlu menjaga ciptaan-ciptaan-Nya.Walaupun makhluk itu sombong enggan menyembah-Nya.Kerana Allah itu Maha Pemurah.

(Jadi,cuba lihat.Adakah kita manusia yang bersyukur?)

Menyambung kembali cerita Nabi Adam dan Iblis.Kita tahu Nabi Adam dan Iblis masing-masing telah diberitahu sesuatu.Masing-masing diperintahkan untuk berbuat sesuatu.

Dan kita tahu kedua-dua dari mereka ingkar dengan perintah itu.

Nabi Adam diberitahu supaya tidak memakan pokok itu (jika anda tidak tahu kisah Nabi Adam dan pokok ini,anda boleh google untuk mendapatkan maklumat tentangnya).Manakala Iblis pula diperintahkan bersujud.

Nabi Adam telah tergelincir nafsunya setelah digoda oleh Iblis untuk memakan buah itu,dan Iblis diperintahkan untuk bersujud,tetapi dia enggan.

Jadi,kedua-dua mereka,dari satu sudut,melakukan kesalahan.Tetapi,apakah respon/reaksi kedua-dua mereka terhadap kesalahan mereka?

Adakah reaksi mereka sama?

Apakah tindakan mulia yang dilakukan Nabi Adam AS selepas melakukan kesalahan?Apakah pula tindakan satanic yang dilakukan Iblis selepas melanggar perintah Allah?

(Terjemahan Artikel Akan Disambung Dalam Artikel Seterusnya)

Baiklah para pembaca sekalian.Setakat ini sahaja untuk kali ini.

Saya akan menyambung terjemahan ini dalam masa terdekat kelak.Maafkan saya kerana tidak dapat menerjemahkan artikel ini sekaligus.

Buat masa ini,saya rasa anda sudah dapat beberapa ilmu di sini.Yang paling jelas dari sini adalah,jadilah manusia bersyukur.

Cuba amati Surah Al-Fatihah yang kita baca setiap kali bersolat.

Di dalamnya dinyatakan Allah itu Tuhan Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Tetapi,cuba lihat.Apakah kita hidup seperti kita memahami ayat ini?

Renung-renungkan.

Dan untuk anda yang ingin mengambil artikel ini untuk diletakkan di dalam blog anda,mohon jasa baik anda sertakan link Pena Maya.Ini supaya orang lain dapat membaca artikel lain di dalam blog ini.

Tidaklah artikel lain itu membazir begitu sahaja bukan?

Sehingga artikel seterusnya,Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

http://baikiminda.blogspot.com/2010/04/siri-doa-sebagai-senjata-mukmin-2.html

Comments

Popular posts from this blog