Sejauh Mana Cerita/Filem Hantu Menurunkan IQ     
by Farahanim Rahim   
..
Pastinya ramai yang tahu, dalam rancaknya lambakkan filem seram sekarang ni, telah menimbulkan isu panas. Para pembikin filem genre ni dikatakan menjadi punca dalam mengalakkan amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton sekaligus merosakkan akidah masyarakat.

Apatahlagi bilamana mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri mengeluarkan kenyataan di akhbar Berita Harian-“cerita hantu yang ditayangkan di TV dan filem ketika ini boleh mempromosikan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat produktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik”.

Sementara dalam kenyataan lain, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, turut menganggap ada antara filem hantu tidak menyumbang kepada pembentukan insan. Malah Islam sendiri tidak menerima apa-apa perkara yang boleh memperbodohkan masyarakat termasuk juga sesuatu pekara yang divisualkan dalam filem.


Manakala filem ‘Hantu Bonceng’ misalnya, dikritik kerana ada satu adegan di dalam filem yang mengaut keuntungan RM8 juta itu, lafaz dialog pelakonnya, Zizan, jelas menghina  Rasulullah SAW dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”. Ditambah dengan mempersendakan azan, memakai baju ada tanda salib death note ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu. Namun isu tersebut telah pun menemui jalan penyelesaian.


Serta dibangkitkan juga tentang aksi dan babak mengerikan, seperti babak Puteri Mardianah (dah Santau memakan daging dan ulat penuh rakus dalam kedaaan dirasuk, sikit sebanyak boleh memberi kesan buruk kepada penonton kanak-kanak.

 

Diskusi Ahli PFM

Rententan dengan segala tuduhan, kritikan juga hentaman demi hentaman diterima  para pembikin filem dan drama seram ni, Persatuan Produser Filem Malaysia (PFM) dan beberapa produser serta pengarah lain, telah mengadakan satu diskusi mengenai  memberi jawapan balas serta ulasan lanjut bagi mendapatkan hak sebagai pengkarya filem negara.

Filem seram merupakan salah satu genre popular dikalangan masyarakat bukan saja di Malaysia tetapi juga diseluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Thailand and Indonesia.


Hakikatnya, orang asing paling berminat dengan filem-filem seram Asia dan itu salah satu sebab utama mengapa filem-filem dari Jepun, Korea, Thailand mendapat sambutan di peringkat antarabangsa. Jika kita ingin membawa Malaysia ke pentas dunia, dua genre yang boleh dipertaruhkan iaitu  seram dan aksi.


Filem-filem popular ”box office” di Malaysia, termasuk ‘Hantu Bonceng’, ‘Khurafat’, ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, ‘Ngangkung’. Lambakan yang berleluasa adalah di kaca televisyen bukannya di pawagam.


Genre ini telah memulakan momentum filem Malaysia sehingga membawa pada pengiktirafan anugerah pengarah, penerbitan, pelakon terbaik di persada festival antarabangsa dan peningkatan jumlah penerbitan.


Samada penonton sedar atau tidak, filem seram adalah filem yang paling banyak menonjolkan unsur-unsur keagamaan dan kesemuanya menonjolkan kemenangan kepada kebaikan mengatasi kejahatan. Selain, membuka ruang kreatif seni reka dan teknologi baru VFX .


Semalam, MD menghubungi  Presidenya, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau mesra dengan panggilan Shumi, bagi mendapatkan perkembangan susulan berkenaan perancangan PFM. Berikut penjelasan pengarah ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ dan ‘Waris Jari Hantu’ ni,


Bagaimana dengan perancangan PFM mahu besua dengan Tun Mahathir?

Seperti mana yang diputuskan, dalam masa terdekat ni PFM akan menghantar surat dan adakan satu perjumpaan bersama Tun. Tujuannya, kami sendiri mahu mendengar pandangan Tun serta membentangkan apa yang telah kami bincangkan. Mungkin ada perkara lain yang kami tidak tahu. Beliau sebahagian daripada orang yang bertanggungjawab menubuhkan Finas jadi tegurannya itu memang sangat penting bagi kami.  Dan kenyataan yang dibuatnya membuktikan Tun mempunyai minat dan ambil berat tentang industri seni tempatan.

Boleh ulas mengenai para penonton kita hari ini dilambakkan dengan filem seram?

Mana ada lambakkan.  Dalam tahun ni telah ditetapkan hanya ada 42 buah filem seram (yang sudah dan bakal ditayangkan).  Itupun 18 daripadanya adalah filem seram komedi dan seram drama, bukan seram yang hardcore. Di Malaysia, filem seram merupakan trend pasaran atau diistilah sebagai seasonal. Dimana-mana negara pun genre seram ni sudah ada pengikut tersendiri. Di Malaysia, filem seram merupakan trend pasaran atau diistilah sebagai seasonal. Jadi selagi ada penonton, selagi itu para penerbit akan terbitkan produk-produk seram ni. Seperti di Hollywood sekarang, pengkaryanya tak buat lagi filem seram sebaliknya filem seram romantik macam ‘Twilight’.
Terdapat beberapa filem seram yang dihimpit kontroversi, dan situasi sebeginilah yang menyebabkan timbulnya isu filem seram merendahkan IQ masyarakat. Komen?
 
Kadang-kadang situasi tu terjadi tanpa disengajakan. Kebanyakkan pengarah, penulis skrip juga pelakonnya adalam orang Melayu beragama Islam. Jadi mana mungkin mereka berani untuk mempersendakan sesuatu yang memang sensitif dan dilarang. Apapun, orang dah minta maaf maka kita maafkanlah kesilapan mereka itu. Apa lagi yang mahu diperbesar-besarkan.

Kita mempunyai LPF (Lembaga Penapisan Filem). Atas keterbukaan dan budibicara LPF dalam memberi nasihat-nasihat yang baik sebelum menerbitkan filem seram terus membawa impak peningkatan penonton filem genre seram, jumlah skrin pawagam dan juga pungutan box office. Hari ini jumlah filem tempatan meningkat pesat. Ia juga pantas mencabar kedudukan pungutan box office filem antarabangsa di Malaysia. Ini perkara sihat dan belum pernah berlaku. Sebarang langkah untuk menyekat semula filem genre ini perlu dilihat secara rasional dan dari sudut kemajuan perniagaan dan perkembangan industri filem.


Kami terima pandangan penonton yang memberi maklum balas, tentang adanya perisian cerita yang keterlaluan. Di sini LPF yang mempunyai kepakaran berbagai bidang harus dibenarkan menjalankan tugas. Sekiranya perlu berbincang penerbit tempatan sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima pandangan daripada masyarakat untuk sebarang penambahbaikan.


Kalau nak kata filem seram menurunkan IQ,bermakna kalau filem yang capai kutipan pecah panggung dan kaut hingga jutaan ringgit tu, beert para penonton yang datang menonton tu kita labelkan sebagai penonton rendah IQ lah.


Apa saja karya seni yang dihasilkan adalah bertujuan untuk hiburan disamping menyelit mesej-mesej berguna. Samada ianya memberi impak positif atau negatif, ianya subjektif . Penonton pun sekarang ni sudah bijak menilai. Mereka tidak mudah percaya akan sesuatu itu. Apatahlagi sekarang ni sudah ada versi ‘making of’, jadi mereka sudah tahu, visual yang dipapar hanya dibuat-buat. Berbanding di waktu-waktu saya mula-mula buat filem seram dulu, penonton kurang didedahkan dengan program di sebalik tabir.


Sebagai penerbit juga pembikin filem, kami hanya memenuhi apa yang penonton mahukan.  Penonton yang datang menonton, mereka mahu rasa terhibur. Takkan dalam keterujaan mereka berduyun-duyun ke panggung untuk menonton filem seram, kami pengkarya nak buat filem yang berunsur pendidikan, sejarah atau genre yang berat . Sudah tentu tiada penonton akan ke panggung. Dan masa itu, kami juga akan dipersalahkan dan dituduh tidak pandai buat filem.


Selagi penonton mahukan ‘rasa’ seram itu, kami penggiat filem akan berikan. Dan dalam masa yang sama kami juga akan cuba selitkan filem-filem genius, atau filem pendidikan, sejarah dsb . Sehubungan itu adalah amat penting bagi PFM untuk menghurai dan menyelasaikan permasalah isu ini. Kami khuatir para penonton akan terus keliru, apakah mereka patut menonton atau tidak filem-filem seram yang sedang dan bakal ditayangkan kelak. Kerana para penerbit telah melabur jutaan ringgit pada filem yang sedang dalam pembikinan juga yang bakal ditayangkan.  Kalau tiada orang yang datang menonton, pasti industri perfileman kita akan meleset.


Konklusinya, sepertimana yang dikatakan Datin Shumi bahwa penonton hari ini sudah bijak menilai mana yang buruk dan baik. Terpulang pada anda, kaki wayang sekalian juga pencinta filem seram, samada filem seram yang ditayangkan hari ni memberi impak negatif? Tepuk dada, tanya selera... Satu yang pasti Industri memerlukan kerjasama semua pihak dalam membina persepsi  positif terhadap pembangunan industri filem tempatan.

http://www.malaysiandigest.com/entertainment-lifestyle/33626-sejauh-mana-ceritafilem-hantu-menurunkan-iq.html

Comments

Popular posts from this blog