Amalkan empat dan jauhkan empat


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…
Wahai temanku terimalah nasihatku ini, agar ilmumu tidak menjadi musuhmu pada hari akhirat. Beramallah dengan empat perkara dan tinggalkan empat perkara. Perkara yang perlu kamu tinggalkan :

Pertama, janganlah kamu berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh mungkin. Perbahasan sebenarnya lebih mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.

Perbahasan seperti ini adalah punca kepada semua akhlak yang buruk seperti riak, hasad, bongkak, dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Tetapi kamu diharuskan untuk berbahas dengan seseorang sekiranya untuk menegakkan kebenaran, sedangkan yang berbahas denganmu itu sendiri jahil orangnya. Walau bagaimanapun niatmu itu mesti mempunyai dua tanda:

Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira kebenaran itu berada di sebelah pihakmu atau pihak lain.

Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

Ketahuilah bahawa orang jahil itu, tidak sihat hatinya. Manakala para ulama' adalah 'doktor' yang mengubati mereka. Ulama' yang tidak lengkap ilmunya, tidak dapat mengubati penyakit dengan baik. Ulama' yang lengkap ilmunya pula tidak dapat mengubati semua penyakit.

Ia hanya berupaya mengubati mereka yang mahu menerima rawatan dan mahukan kebaikan. Sekiranya penyakit itu sudah terlalu parah atau sudah tidak dapat diubati lagi, maka doktor harus pintar untuk memberitahu pesakit mengenai perkara itu.

Dengan itu tidak perlulah membazirkan masa dan wang untuk cuba mengubatinya lagi. Dan ketahuilah bahawa terdapat empat jenis kejahilan. Satu daripadanya boleh dirawat manakala yang lain tidak dapat diubati.

Jenis-jenis kejahilan yang tidak dapat diubati ialah:

1. Sesiapa yang menyoal dan mengkritik hanya kerana hasad dan rasa marah.

Setiap kali kamu menjawab soalannya dengan baik, dia akan bertambah marah, malah semakin memusuhi dan membencimu. Seorang penyair pernah berkata : "Setiap permusuhan boleh terhapus kecuali permusuhan orang yang memusuhimu kerana hasad dan dengki."

Kamu harus menjauhkan diri daripada orang seperti ini. Biarkan dia dengan penyakitnya. Firman Allah SWT : "Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka yang berpaling dari peringatan Kami dan tidak mengingini kecuali kehidupan dunia." [QS. An-Najm : 29]

Segala perkataan dan perbuatan orang yang berhasad dengki hanya akan menyalakan api yang membakar segala ilmunya. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Hasad itu menghapuskan amalan kebaikan seperti api memakan kayu api." (Riwayat Abu Daud)

2. Kejahilan yang disebabkan oleh kebodohan.

Orang yang mempunyai penyakit ini juga tidak dapat diubati. Seperti kata Nabi Isa a.s.: "Aku berupaya menghidupkan orang mati (dengan izin Allah SWT), tapi aku tidak berupaya mengubati orang yang bodoh."

Contohnya, seperti seorang yang baru sedikit sahaja ilmunya. Dia merasakan ilmunya sudah cukup, lalu cuba membangkang gurunya yang sememangnya arif dengan ilmu tersebut.

Oleh kerana dia merasakan masalah yang diutarakannya adalah juga menjadi masalah kepada gurunya, maka dia akan soal soalan yang bodoh sahaja. Oleh itu, seharusnya soalan seperti itu tidak dilayan.

3. Orang yang mahu diajar, tetapi kemampuan akalnya terbatas

Dia sering menyalah tafsir kata-kata ulama' yang kurang difahaminya. Ia sebenarnya suka untuk bertanya mengenai sesuatu perkara. Tetapi disebabkan akalnya tidak dapat memahami dengan baik, maka soalan-soalannya juga tidak perlu dilayan. Seperti kata Rasulullah s.a.w. : "Kami para anbia, kami diperintahkan supaya bercakap kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka." (Al-Iraqi)

Manakala kejahilan yang boleh diubati; seorang yang minta ditunjuk ajar, dan ia sendiri seorang yang cerdik dan mudah untuk faham. Ia tidak dikuasai oleh perasaan hasad, keras hati atau sengaja untuk menguji. Oleh itu kamu harus, wajib menjawab segala soalan yang diajukan.

Kedua, elakkan dari menjadi pendakwah dan mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya. Renungi apa yang telah dikatakan kepada Nabi Isa a.s. : "Wahai anak Maryam, nasihatkanlah dirimu dahulu. Sekiranya ia menerima nasihatmu, barulah kamu nasihatkan orang lain. Jika tidak malulah kepada Tuhanmu."

Ketiga, janganlah bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, malah jangan bertemu dengan mereka. Berjumpa dan bergaul dengan mereka banyak padahnya. Dan sekiranya kamu terpaksa, maka jangan sekali-kali memuji mereka. Kerana Allah SWT amat murka sekiranya orang fasik dan zalim dipuji. Dan sesiapa yang mendoakan panjang umur mereka, maka dia sebenarnya suka agar Allah didurhakai di muka bumi.

Keempat, jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari sumber yang halal.

Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Dan sekecil-kecil mudarat ialah apabila kamu menerima pemberian mereka, kamu akan merasa sayang terhadap mereka. Seterusnya kamu akan mendoakan agar mereka kekal lama pada kedudukan mereka.

Mengharapkan seseorang yang zalim itu kekal lama pada tempatnya adalah seperti mengharapkan kezaliman terus berpanjangan ke atas hamba-hamba Allah SWT dan agar alam ini musnah sepenuhnya.

Kamu juga harus berwaspada agar tidak disesatkan oleh syaitan melalui kata-kata sebahagian manusia kepadamu; "Lebih baik kau ambil wang yang mereka berikan itu. Kamu boleh membahagikannya kepada fakir miskin. Kalau engkau biarkan mereka membelanjakan wang tersebut, sudah tentu mereka gunakan untuk kemaksiatan."

Sesungguhnya ramai manusia telah disesatkan oleh syaitan dengan cara ini.

Wallahu a'lam




Comments

Popular posts from this blog