Hukum Wanita Haid Ziarah Kubur
Soalan
Saya ingin
menziarahi kubur arwah suami saya, Cuma saya ingin bertanya apakah wanita yang
haid tidak boleh ziarah kubur? Mohon penjelasan ustaz.
Jawapan:
Menurut ulama’ aliran
mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita.
Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan
mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang
bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami
kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu
saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu
menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada
kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi
kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."
Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan
bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah
kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan
menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada
ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh)
ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada
‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki.
Ringkasnya, ziarah kubur adalah sunat juga bagi
wanita sekiranya ia dapat mempastikan tidak melakukan perkara-perkara larangan
seperti meratap dan meraung. Begitu juga, perlu menutup aurat dan tidak
bercampur bebas dengan lelaki yang bukan mahram. Tidak pula disyaratkan bersuci
daripada hadas kecil atau hadas besar bagi mereka yang menziarahi tanah
perkuburan. Justeru, diharuskan wanita haid untuk menziarahi kubur.
Hukum Tidak pakai Telekung Ketika Solat
Soalan
Saya seorang wanita yang selalu ditugaskan untuk bekerja di luar
kawasan. Kadang-kala saya terlupa membawa telekung sembahyang, jadi apakah
dibolehkan saya menunaikan solat tanpa telekung?
Jawapan:
Seseorang wanita yang ingin
mengerjakan solat, hendaklah mempastikan bahawa ia menutup aurat dengan
sempurna. Aurat bagi wanita ialah menutup seluruh
tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt
telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud: ”Wahai anak Adam,
pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”. Ibnu Abbas
telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah memakai pakaian (menutup
aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh
al-Islamiy Wa Adillatuh).
Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah
bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan
solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain
sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh
menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).
Selain menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka
dan pergelangan tangan , syarat yang perlu dipenuhi bagi menutup aurat bagi
wanita ialah memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna
kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna
kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah. Begitu juga
disyaratkan pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan
susuk tubuh pemakainya.
Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi
wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung
sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa
’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan anggapan
tidak dapat menutup aurat. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat.
Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat
apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka
dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan
pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!.
Hukum simpan gambar foto
Soalan
Betul ke
menyimpan gambar foto dalam rumah menyebabkan malaikat tidak masuk ke dalam
rumah?
Jawapan:
Kebanyakan
ulama mengharuskan mengambil dan menyimpan gambar foto kerana ia tidak termasuk
dalam larangan yang disebutkan dalam hadis nabi SAW. Pengharaman yang disebut
dalam hadis nabi adalah merujuk kepada patung atau ukiran gambar yang mempunyai
jisim dan bayang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya
ada patung." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Para ulama menyatakan bahawa
malaikat tidak mahu masuk rumah yang menyimpan patung kerana pemiliknya itu
menyerupai orang kafir. Ini kerana, biasanya orang kafir meletakkan patung
dalam rumah untuk diagungkan.
Sebahagian
ulama berpendapat bahawa diharamkan patung itu apabila ia berada dalam keadaan
sempurna, tetapi kalau salah satu anggotanya itu terpotong yang tanpa anggota
tersebut tidak mungkin dapat hidup, maka menyimpan patung seperti itu adalah
harus. Ini berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa Jibril a.s. tidak mahu
masuk ke dalam rumah Rasulullah s.a.w. kerana di pintu rumahnya ada sebuah
patung, sehinggalah ia berkata kepada Nabi Muhammad: "Perintahkanlah
supaya memotong kepala patung itu. Maka dipotonglah dia sehingga menjadi
seperti keadaan pohon." (Riwayat Abu Daud, Nasa’i, Tirmizi dan Ibnu
Hibban).
Apabila
menyimpan patung pun tidak dibenarkan, apatah lagi mengukirnya. Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya mereka yang membuat patung akan dikenakan seksa pada Hari
Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertanyaan penghinaan):
"Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Comments
Post a Comment