Najib setuju tuntutan pekerja badan berkanun tubuh dana pencen seragam
KUALA
LUMPUR, 25 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk
menubuhkan dana pencen seragam bagi tujuh badan berkanun yang
diasingkan saraan (BBDS), disamping tuntutan-tuntutan lain dari kesatuan
pekerja itu.
Menurut Najib, selain dari dana pencen itu, kerajaan juga bersetuju
dengan tuntutan lain seperti imbuhan tetap perumahan, pemberian saguhati
kepada mereka yang bersara dan pembayaran bagi pihak majikan untuk
tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang seragam bagi kesemua
pekerja-pekerja yang terlibat.
“Kita adalah kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, tetapi kita mesti tunaikan permintaan dalam lingkungan realiti sekarang.
“Jika ekonomi berkembang, hasil negara bertambah, badan berkanun
ditadbir dengan baik, kekayaan itu kita kongsi bersama rakyat,” kata
Najib sempena Perhimpunan Perdana Bersama Tujuh Badan Berkanun Yang
Diasingkan, hari ini.
BBDS mewakili 40,000 orang pekerja dalam badan-badan berkanun
seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan
Nasional (BSN), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Badan-badan berkanun ini dipisahkan sejak 1992 dan mempunyai autonomi sendiri, dari sebelumnya merupakan di bawah sektor awam.
Pada tahun 2005, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad
Badawi memberi autonomi kepada tujuh badan berkanun ini untuk menetapkan
sendiri kadar peningkatan peratus dalam KWSP.
Menurut Presiden BBDS, Tuan Azman Tuan Yaacob, pemisahan ini pada
awalnya dilakukan kerana prestasi mereka yang cemerlang menyebabkan
mereka mahu memisahkan dari sektor awam.
“Tetapi sekarang sektor awam, dibawah pentadbiran sekarang telah jauh
meninggalkan kita, kita telah ketinggalan...”, kata Tuan Azman dalam
ucapannya.
Menurut Najib, satu pertemuan antara beliau dan Tuan Azman diadakan
pada 22 Februari lalu, dan di antaranya membincangkan mengenai
tuntutan-tuntutan pekerja dalam badan berkanun ini.
“Saya sudah tunaikan janji, janji sudah ditepati, kini tiba masanya
anda pula untuk menepati janji,” kata Najib kepada kira-kira 5,000 orang
di dalam dewan, yang memakai baju merah dan bersorak ‘I Love PM’.
Langkah ini dilihat sebagai satu cara memenangi hati pekerja dalam
sektor badan berkanun, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan
datang.
Presiden Kongres Kesatuan-Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman berkata, beliau berharap
kesemua agensi-agensi ini dapat disatukan sebagai penjawat awam.
http://www.themalaysianinsider.com
Comments
Post a Comment