- Get link
- X
- Other Apps
SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM
KISAH BENAR: SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM
KISAH BENAR: SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM oleh Mohamad Sidik pada
pada 7hb Oktober 2012 pukul 12.14 ptg Malam tadi setelah keluar dari
masjid seusai selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan rumah,
saya berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah kedai makan untuk makan
malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh
dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai ter sebut sudah penuh.
Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling hujung
seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut. Apabila
pelayan datang saya pun memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa
ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula seorang gadis muda
berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja
saya seraya bertanya, "Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat,
tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.." "Oh, ok.. tak mengapa.
Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu.
Perbualan kami dalam bahasa Inggeris. Kemudian pelayan datang kepadanya
dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk minuman. Apabila pelayan
pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu
seorang diri sahaja? Dan kamu kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu
menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin
ke rumah seorang kawan.." "Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang
'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja
sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu
kembali ke telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas
skrin sesentuh dan kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan
sesuatu dari telefon pintarnya. "Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu
tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya
diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan nada yang tegas
dan berani. "Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung
perasaan kamu.." jawab saya serta-merta. Perbualan terhenti seketika
beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan kembali datang
dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu. "Kamu mahu tahu apa
yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan
mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus
tembikai susu yang saya pesan. "Ok sekejap beberapa minit, selepas saya
membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain
di dada skrin telefon pintarnya. Saya hanya mengangguk-angguk sambil
mengangkat kening dan mula menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut
walaupun saya sedar bahawa memakan dengan menggunakan tangan itu lebih
menepati Sunnah Rasulullah SAW. "Baik, sekarang saya akan bercerita
tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata
gadis itu kembali. "Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu
ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah
nasi. Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu
memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik
yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan
simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda
yang menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba
nasib apabila gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja
untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan
dengan hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah
besar seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan
tersebut." Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman
'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa. "Ok,
kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu. "Oh, ia sesuatu yang amat
dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu menceritakannya kepada kamu.
Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu dapat tahu apa kisah
benar yang berlaku.." sambungnya lagi. "Iya, sila sambung lagi... saya
memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi. "Ok... Pertandingan itu,
untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri
daripada perempuan-perempuan muda yang cantik masing-masing dikehendaki
menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter dari tempat para peserta
berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan sebuah istana besar dan
mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya
menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt
singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur pertandingan dengan
helikopter.." "Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak
penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap
kumpulan akan melalui dua laluan yang berbeza.
Pertandingannya ialah
laluan berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti
pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah
melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang
berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika
pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai
pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu
sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai
kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan
disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari
sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti
ianya dirakam ataupun tidak." Terus-terang, ia adalah pertandingan
membunuh diri yang paling gila…" "Ok, kemudian.. apa yang berlaku?"
tanya saya mencelah dengan rasa teruja. "Satu ketika di salah satu trek,
para peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi
salah sebuah menara di istana tersebut, palang tersebut sangat tinggi
dan di bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan
pula menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil
menikmati hidangan dan minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis
mereka." "Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba
memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan
kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah
badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati
lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari
kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak
berupaya dan mereka sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu,
mereka yang tercedera ketika itu langsung tidak dibantu.. malah
dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang
melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu,
hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada
keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan
walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma
dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini
hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada
akhlak... hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai
hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus
ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba
untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh." Sampai di sini tiba-tiba
gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya serta-merta mengalir
laju dan menangis teresak-esak. Saya sudah tentu sangat terkejut dengan
perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya, "Hey, please
don't cry here… people will look to us. Please calm down. I'm sorry so
much to make you telling me this story…" kata saya kepadanya perlahan
dengan suara hampir berbisik. Namun saya membiarkannya dengan keadaannya
itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak
tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf
banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya
sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat
yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.." Ia ok... ia ok... ia
ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan miliknya)...
maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu tahu, salah
seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di pinggir
lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri... Ibu saya
membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila.
Setelah ibu saya
membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya
meninggal dunia." Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya
pula tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik
nafasnya dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya, "Ibu-bapa saya
hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi
mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea." "Sejurus selepas tamat
pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang memberitahu
bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan dan
saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia
mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan
ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun
meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya
bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan
akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah
sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia
adalah pilihan adik saya sendiri." "Beberapa minggu kemudian ibu saya
membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji.
Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya
ke hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa saya pula
selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya
meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih
mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus berjuang agar
saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali dia
mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan
orang yang beriman tidak akan berputus asa." "Dan kerana itu saya
melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah
membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk
memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya
tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya
dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar,
Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan
mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup
saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu.
Dan kamu
tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika
mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz
Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya
tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat
Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya." Kini suara gadis itu kembali
gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan
Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya
kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia
terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka semua
telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan." Setelah itu
dia diam dan meminum minumannya... "Kisah kamu amat menarik tetapi
menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil tindakan undang-undang bagi
pihak adik kamu, atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?"
ujar saya kembali kepadanya. "Lupakan sahajalah, saya sudah
melaporkannya kepada pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa
orang wartawan dan melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang
peguam. Pihak polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti
yang kukuh mengenainya.
Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang
mahu tampil kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia
tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah
menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya
berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya
mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya
daripada seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat
kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini
kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada
umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain.
Laporan polis di sana pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia
akibat cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang besi di
istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya
kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi itu sudah
pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah
kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur
hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak.
Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan
peristiwa sebenar kepada pihak polis.
Yang pasti di sana wujud
monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk menteri-menteri
kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu
apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita." jawabnya lagi dengan
panjang lebar yang sarat dengan hujah. "Oh, ok... ianya sesuatu yang
gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu
berada di Malaysia? Dan... apa yang kamu sedang buat di Malaysia
sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya saya
bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu. "Kamu agak saya
berumur berapa…?" "Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa
umur kamu." "Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya
tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku
pada tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di
Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di *******
University dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya
bertemu-janji dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan
dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini.
Saya
sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang
dengan nada jujur. "Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai
wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima
kasih kerana menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat
menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dendam
untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..." kata saya
lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk. "Sudah tentu...! Suatu hari
nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di
bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya dengan nada yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup
bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah
berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi
sebahagian daripada mereka.
Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya
menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya
sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang
masih berbaki menggunakan straw. "Oh, jangan kamu berpura-pura seperti
tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas
kepada saya. "Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati
dengan kisah kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu
seorang yang tabah, kuat dan berani." balas saya kembali untuk
menenangkannya. "Oh ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri?
Bagaimana dengan suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya
kepadanya dengan meneka-neka. "Hahaha, saya masih belum bersuami dan
saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke
sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir
atau ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak
tentang Islam di sana.
Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil
dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan
saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa
Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur."
jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum. "Oh dulu
saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti
Abu Nur." jawab saya. "Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang
Syria... saya bertuah bertemu dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka
yang sangat gembira. Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar
topik kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik
lain yang sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam.
Saya juga bercerita
sedikit sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai
membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya. Lama juga
kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam
rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta
izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan
memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah.
Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka
di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya
pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja. Kedua-dua
mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang
agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama
Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah
tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah
tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat
untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat
membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin
tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada
Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai
pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya
melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang
dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan
menjual segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia
bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara
bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah
di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang
yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang
diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah
tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam
dirinya dan harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada
Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah
semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di
belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang
telah mengislamkannya.
Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di
belakang mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat
lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu
lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih
kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk
memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak
teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah
perkasa jiwanya. Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak
tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak
bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan
kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia. Di dalam hati saya
sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah, alhamdulillah,
alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak batu-batu kecil
di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket jubah putih
kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah... Sehingga saat ini
saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang
saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan
kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi
pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah
gelap yang tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya
pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita
yang dilindungi oleh orang-orang besar. Allahu Allah, betapa teruknya
manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya Allah,
selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat... [Kisah benar ini selesai
ditulis semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55 AM] SHARE &
LIKE PAGE : Rahsia Alam Rumahtangga
Blog Archive
-
▼
2013
(69)
-
▼
Feb 2013
(24)
- Umur 25 Nabi -'Alaihimus Salam- Dan Letak Makam Me...
- LAUKANA BAINANA RASULULLAH .... :( BALLIGHNA LIQOU...
- sunnah nabi SAW
- Cinta tak ubahnya seperti pohon
- RENUNGAN PENUH HIKMAH
- - Yang -
- Introduction to Halal Food
- SECEBIS CERITA DUKA DARI GANGNAM
- “ BUDAYA KESESATAN”
- 63 petua U suami isteri
- PENGGUNAAN FEQH MUWAZANAH
- Yang Mampu Mengalahkan KEKUATAN
- Sayyid Qutb
- Diam
- Pintu
- Petikan dari Soal jawab agama dr UAI
- Dr. 'Aidh Al-Qarni says
- "8 Pintu Murah Rezeki
- 9 TIPS MENJADI WANITA CANTIK…
- 20 CARA MEMBAHAGIAKAN SUAMI
- Keutamaan Wudhu.
- #TumbangBN #No2BN
- Manifesto Rakyat: BN bakal tumbang pada PRU13
- Manifesto Rakyat
-
▼
Feb 2013
(24)