antahan Ilmiah] Menjawab Syubhat Ust Don Danial Berkenaan Bolehnya Bertawassul Pada Nabi di Kubur Baginda

March 9, 2013
Print Friendly
Muhammad Fashan Ahmad Ziadi http://ibnabiashim89.blogspot.com
jawab donSaya diminta untuk menjawab beberapa persoalan berkenaan hujjah yang digunakan oleh Ustaz Don yang membenarkan tawassul atau memohon meminta keampunan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam di kubur baginda, saya berasa terpanggil bagi menjawab syubhat yang dilihat sangat merbahaya khususnya apabila ianya berkenaan dengan pegangan akidah umat Islam kerana ianya boleh membawa kepada syirik.
Tawassul dari segi bahasa bermaksud “qurbah” [Surah Al-Ma`idah ayat 35] iaitu perkara yang boleh mendekatkan, dari segi istilahnya: Mengambil sebab yang disyariatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta`ala, dan ibadah yang dimaksudkan pengamalannya untuk mencapai keredhaan Allah berdasarkan apa yang disyariatkan di atas lisan Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Para ulama meletakkan syarat-syarat diterimanya amalan tawassul antaranya:
a) Hendaklah hamba yang bertawassul kepada Allah itu seorang mukmin yang soleh dan amalannya itu bertujuan untuk mendapat keredhaan Allah.
b) Hendaklah amalan yang dilakukan untuk bertawassul itu adalah apa yang disyariatkan oleh Allah.
c) Hendaklah amalan soleh yang disyariatkan itu menepati dalam praktik amalan yang berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasul dan para salafussoleh dan tidak menokok tambah atau mengurangi daripadanya, dan tidak melakukan amalan tersebut bukan pada masanya yang telah ditetapkan oleh syarak, tempatnya yang telah ditetapkan jika tidak maka ianya akan menjadi bid`ah.
Para Ulama Islam telah membahagikan tawassul kepada dua bahagian:
a) Tawassul yang disyariatkan: Ianya terbahagi kepada 3 jenis:
1) Tawassul dengan memohon serta menyebut Asmaul Husna (nama-nama Allah yang indah) juga sifat-sifatNya yang Maha Tinggi [rujuk surah Al-`Aaraf ayat 180] dan ianya ditunjukkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam banyak doa baginda [sila rujuk Kitab Al-Azkar oleh Al-Imam An-Nawawi atau Hisnul Muslim (Perisai Muslim) yang menghimpunkan doa-doa dan zikir-zikir yang shahih daripada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam]
2) Tawassul dengan amal soleh seperti iman, solat, puasa, haji, umrah, sedekah, jihad, membaca Al-Quran, berzikir, istighfar, selawat ke atas Nabi, berbakti kepada ibu bapa, melayan tetamu, meninggalkan kemaksiatan dan berbuat kebaikan dan lain-lain.
3) Tawassul kepada Allah dengan doa orang soleh yang masih hidup. Termasuklah bertawassul dengan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika baginda masih hidup, ianya ditunjukkan oleh praktik para sahabat Nabi yang meminta agar Nabi mendoakan mereka ketika baginda masih hidup, adapun selepas Nabi sallalallahu ‘alaihi wa sallam wafat, tidak ada satu riwayat yang shahih pun menunjukkan para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan ‘Ali serta sahabat yang lain pergi memohon doa kepada kubur Nabi sallalallahu ‘alaihi wa sallam.
b) Tawassul yang terlarang: Ianya juga dinamakan dengan tawassul bid’i iaitu tawassul atau amalan yang tiada asal dari agama, tiada dalil yang membolehkannya baik dari Al-Kitab mahupun As-Sunnah, tidak juga amalan para Salafussoleh, ianya merupakan perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala dengan apa yang Allah tidak suka, redha, dan tidak Allah izinkan baik berbentuk perkataan, perbuatan ataupun kepercayaan. Apa yang disebut oleh Ustaz Don termasuk dalam kategori ini.
Penjelasan Istighfar termasuk dari doa dan doa merupakan ibadah, dan sesiapa yang memesongkan ibadah kepada selain Allah dia telah mensyirikkan Allah.
Istighfar bermaksud memohon keampunan agar diampunkan dosa-dosa, ianya merupakan salah satu dari jenis dan bentuk doa, sedangkan doa merupakan ibadah, manakala doa merupakan ibadah teragung, sebagaimana hadith daripada Nu’man bin Basyir r.a sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam:
الدعاء هو العبادة، قال ربكم ادعوني أستجب لكم
“Doa itu ibadah, kata Tuhan kamu: “berdoalah kepadaKu nescaya aku akan perkenankan “ [HR Abu Daud, At-Tirmidzi, Ahmad dll dgn sanad yang shahih]
Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang hadith qudsi, kata Allah:
من يدعوني، فأستجيب له من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له
“Sesiapa yang berdoa kepadaKu,nescaya aku akan perkenankan baginya, dan sesiapa yang meminta kepadaKu nescaya Aku akan berikannya, sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu nescaya Aku akan ampunkan baginya” (HR Al-Bukhari)

Cuba perhatikan Allah tidak membezakan antara doa, permohonan, permintaan dan istighfar dan kesemuanya merupakan ibadah. Maka segala bentuk dan jenis ibadah wajib ditujukan hanya kepada Allah tanpa mensyirikkannya dengan sesuatu apa pun.

Al-Imam As-Sa`di -rahimahullah- menjelaskan satu kaedah tafsir iaitu “المفرد المضاف يفيد العموم” Mufrad (singular) Mudof (possesive phrase) membawa maksud umum “maka kalimah” دون الله “Selain Allah” meliputi kesemua bentuk sesuatu yang diseru, disembah atau diminta selain Allah, termasuk malaikat, para Nabi, orang soleh dan selainnya. Kaedah ini harus dipraktikkan pada kesemua ayat yang menyeru mentauhidkan Allah dalam ibadah dan menjauhi ibadah kepada selainNya. Ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan hal tersebut sangat banyak, contohnya:

a) Firman Allah Ta`ala:
ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك ولا يضرك فإن فعلت فإنك إذا من الظالمين
“Dan janganlah kamu menyeru/memohon/berdoa apa-apa yang tidak boleh memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu melakuakan perkara itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim”. [ Yunus:106 ]

b) Firman Allah Ta`ala:
ومن أضل ممن يدعو من دون الله من لا يستجيب له إلى يوم القيامة وهم عن دعائهم غافلون وإذا حشر الناس كانوا لهم أعداء وكانوا بعبادتهم كافرين
“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sembahan-sembahan selain Allah yang tidak dapat memperkenankan (doa) nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka?”
“Dan apabila manusia dikumpulkan (pada hari kiamat) nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari peribadatan mereka.”
[ Al-Ahqaf: 5-6 ]
c) Firman Allah Ta`ala:
ولا يشرك بعبادة ربه أحدا
“dan janganlah dia mensyirikkan dengan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya” [Al-Kahfi: 110 ]
Justeru kesemua larangan syirik yang disebut dalam Al-Quran meliputi kesemua jenis ibadah baik zahir dan batin, ‘itiqad (kepercayaan dan keyakinan) serta amalan, tidak syak lagi doa dan istighfar termasuk dalam ibadah.
[Rujuk Al-Qawa`id Al-Hisaan Al-Muta`aliqah bi Tafsir Al-Quran hlm 21]

Bantahan pendalilan ayat 64 surah An-Nisa’ dan Kisah Arab Badwi

Pendalilan mereka yang berdalilkan dengan ayat 64 surah An-Nisa’ adalah salah dari segi bahasa arab juga bercanggah dengan asal syariat iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan kefahaman ulama` salaf, beliau membawakan ayat dari Surah An-Nisa’ berikut:
وما أرسلنا من رسول إلا ليطاع بإذن الله ولو أنهم إذ ظلموا أنفسهم جاءوك فاستغفروا الله واستغفر لهم الرسول لوجدوا الله توابا رحيما
“Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” [An-Nisaa' 4:64]

Dari segi bahasa arab, cara faham Ust Don dan orang yang berdalilkan dengan ayat yang sama untuk membolehkan tawassul dengan orang yang sudah mati berlawanan dengan bahasa arab, kerana ayat ولو أنهم إذ ظلموا أنفسهم kalimah إذ ianya merupakan zhorof untuk fi`il madhi (past tense) bukan menunjukkan zhorof lil mustaqbal (present & future tense) maka ayat itu sebagaimana yang difahami dengan ayat sebelumnya menceritakan istighfarnya Nabi itu berlaku ketika hayat baginda sedangkan istighfarnya Nabi ketika kewafatannya adalah sesuatu yang bertentangan dengan dalil yang lebih jelas bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam telah wafat, Allah berfirman:
إنك ميت وإنهم ميتو ن ثم إنكم يوم القيامة عند ربكم تختصمون
“Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu” [Az-Zumar 30-31]

Manakala dakwaan Ustaz Don bahawa ayat ini diamalkan oleh seorang arab badwi maka jawapannya ianya merupakan khabar yang palsu lagi mungkar, berikut sanadnya:
روى أبو الحسن علي بن إبراهيم بن عبد الله بن عبد الرحمن الكرخي عن علي بن محمد بن علي، حدثنا أحمد بن محمد بن الهيثم الطائي، قال: حدثني أبي عن أبيه عن سلمة بن كهيل عن أبي صادق عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قال قدم علينا
أعرابي بعدما دفنا رسول الله صلى الله عليه وسلم بثلاثة أيام فرمى بنفسه إلى قبر النبي صلى الله عليه وسلم، وحثى على رأسه من ترابه، وقال: يا رسول الله قلت فسمعنا قولك، وعينا عن الله عز وجل فما وعينا عنك، وكان فيما انزل الله عز وجل عليك: وقد ظلمت نفسي وجئتك تستغفر لي فنودي من القرب أنه قد غفر لك.
Diriwayatkan dari Abul Hasan ‘Ali bin Ibrahim bin ‘Abdillah bin Abd Rahman Al-Karkhi daripada ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ali, telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Muhammad bin Al-Haytham At-Thoie katanya: Telah menceritakan kepadaku bapaku daripada bapanya daripada Salamah bin Kuhail daripada Abi Sodiq daripada `Ali bin Abi Tholib radiallahu`anhu berkata: “Telah datang kepada kami seorang arab badwi selepas tiga hari kami selesai menanam jasad Rasulullah sallalahu ‘alaihi wa sallam lalu dia mencampakkan dirinya ke kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu dia melumurkan ke atas kepalanya dengan tanahnya, dan berkata: “Wahai Rasulullah, engkau berkata dan kami telah mendengar perkataanmu, aku telah memahami dari Allah ‘Azza wa Jalla tentang apa yang telah kami fahami darimu, dan ianya merupakan apa yang telah Allah ‘Azza wa Jalla kepadamu: “ولو أنهم إذ ظلموا أنفسهم جاءوك فاستغفروا الله واستغفر لهم الرسول لوجدوا الله توابا رحيما” Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. [An-Nisa': 64] dan sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dan aku mendatangimu maka engkau pohonlah keampunan buatku maka diseru dari dekat bahawasanya dia telah diampunkan.

Sebagaiman disebut oleh Al-Imam Ibnu ‘Abdil Hadi rahimahullah (wafat 744H) bahawasanya khabar ini merupakan mungkar lagi maudhu’ (palsu) dan ianya merupakan athar yang direka-reka, tidak boleh berpegang dengannya, sanadnya gelap, kegelapannya berlapis-lapis, dalam sanadnya ada seorang perawi yang bernama Al-Haytham bin ‘Adi At-Thoie Al-Kufi datuk kepada Ahmad bin Muhammad, berikut kritikan para Imam Ahli Hadith berkenaan beliau:

Kata Al-Imam Yahya bin Ma`in: “Al-Haytham bin `Adi Kufi dia tidak tsiqah, dan dia seorang pendusta
Kata Al-Imam Abu Daud: “Kazzab(pendusta besar)!!
Kata Abu Hatim Ar-Razi, An-Nasaie, Ad-Dawlabi dan Al-Azdi: “Matruk Al-Hadith “ditinggalkan hadithnya
Kata Abu Zur`ah: “Dia tidak ada sesuatu apa pun
Kata Al-Imam Al-Bukhari: “disenyapkan darinya-iaitu tinggalkannya (riwayatnya)
[Rujuk As-Sorim Al-Munkiy fi Radd `Ala As-Subki oleh Abu `Abdillah Muhammad bin `Abdil Hadi, halaman 509,tahqiq Ahmad Sulaiman, Maktabah Ibnu Taymiyyah Kaherah cetakan pertama 1425H/2004M]

Maka athar ini sedikitpun tidak boleh dijadikan hujjah untuk membenarkan tawassul dengan orang yang sudah mati atau di kubur Nabi kerana sudah jelas akan kepalsuannya, apatah lagi mimpi-mimpi ianya langsung tidak boleh dijadikan dalil dan sandaran dalam syariat Islam yang mulia ini. Saya juga menyeru agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan hadith-hadith yang palsu yang sering disebar luaskan kerana ianya sangat merbahaya khususnya apabila melibatkan urusan akidah umat Islam. Apa yang kurang boleh dirujuk kepada bantahan daripada ustaz-ustaz sunnah lain yang ada juga membantah dalam masalah ini. Wallah
Bantahan Ilmiah ini adalah respon kepada video ini: Klik sini
u`alam.
Muhammad Fashan Ahmad Ziadi
Al-Madinah An-Nabawiyyah4/4/1434H

 http://www.1aqidah.net/v2/bantahan-ilmiah-menjawab-syubhat-ust-don-danial-berkenaan-bolehnya-bertawassul-pada-nabi-di-kubur-baginda/

Comments

Popular posts from this blog