Jangan salahkan Cina secara pukal


Ulasan dan analisis PRU13 ini mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Saya mohon maaf, terimalah dengan hati terbuka. Analisis ini berasaskan kepada penyelidikan dan kajian yang saya lakukan sepanjang kempen pilihan raya, selain mengambil kira pandangan rakan-rakan Cina Muslim yang lain. Pada awalnya, sebuah akhbar harian Melayu setuju untuk siarkannya, tetapi ditarik balik di saat akhir. 

“Jangan salahkan semua orang Cina secara pukal”. Mungkin ayat-ayat seterusnya tidak disenangi oleh mereka yang mengikuti tulisan saya sebelum ini. Bacalah dengan hati yang terbuka. Ingat! BN akan menerima pukulan lebih teruk pada PRU14 jika terus menyalahkan orang lain, tanpa muhasabah diri.

Tidak semua Cina ultra kiasu seperti DAP. Ada yang sederhana kiasu dan sedikit kiasu. Kita perlu ada sedikit kiasu untuk berjaya. Tetapi jangan sampai jadi ultra kiasu seperti yang diamalkan beberapa kumpulan Cina tertentu. Tidak kurang juga orang Melayu yang bersekongkol dengannya. Mereka asyik nak menang atau cukup takut kalah.

Mereka ini akan menentang apa jua agenda nasional yang termaktub dalam perlembagaan, seperti isu bahasa, hak istimewa, agama Islam dan sebagainya. Pada ultra kiasu ini, jika agenda ini diperkasakan, identiti dan hak mereka akan menjadi semakin terhakis. Perlu dingatkan, tidak semua Cina seperti ini.

Justeru, jagalah mereka yang kurang kiasu ini. Jika kita terus mengecam Cina secara pukal, apa yang dibimbangi,  yang kurang kiasu akan menjadi ultra kiasu. Jika ini berlaku, masa depan UMNO BN dalam PRU14 akan semakin kabur, kecuali umat Islam bersatu.

Dalam sebuah negara berbilang kaum di mana majoriti dan minoriti tidak begitu ketara (55-45), suka atau tidak, kita memerlukan kerjasama dan sokongan antara satu sama lain. Sama ada berlaku tsunami Cina atau tsunami bandar atau tsunami Malaysia atau apa jua tsunami, paling penting, lakukan muhasabah diri. Jangan menjadi keadaan lebih kusut atau terlalu beremosi.  

Kita perlu rasional dalam menganalisis sesuatu isu. Sama ada Cina menyokong BN atau tidak, mereka tetap rakyat Malaysia. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada kita. Adalah suatu perkara biasa jika Cina sokong Cina atau Melayu sokong Melayu kerana mereka sebangsa (seagama). Persoalan saya, kenapa sesama Melayu terlalu sukar untuk saling tolong menolong, malah berkelahi tidak pernah habis. Kita nampak salah orang, salah kita bagaimana?

Kita tidak boleh mengambil sikap, bila mereka mengundi BN, kita puji dan sanjung serta menerima mereka dengan baik. Namun, bila mereka menolak BN, kita keji dan kata macam-macam terhadap mereka. Ini tidak adil…tidak adil, kata penyanyi Yuna. 

Tidak semua manusia boleh dibeli dengan wang ringgit dan janji manis. Apatah lagi orang bandar. Bandar akan tetap membangun walaupun siapapun wakil rakyatnya. 

Ya, memang berlaku tsunami Cina, jangan pula ada yang menafikan. Lihat semua kerusi bandar, majoriti yang diperolehi oleh DAP amat besar sehingga ada yang melebihi dan menghampiri 50 ribu. Ini bukan lagi tsunami Cina, tetapi juga tsunami Kristian.

Saya tidak menyalahkan Cina kerana mengundi DAP kerana kita telah memilih demokrasi berasaskan pengundian pilihan raya sebagai sistem. Menjadi hak rakyat untuk memilih siapa yang disukai. Hormatilah pilihan mereka, walaupun kita rasa amat kecewa.

Biar saya memberikan satu contoh yang paling hampir. Dahulu, boleh dikatakan majoriti saudara mara saya yang tidak Islam, menyokong BN. Paling tidakpun duduk atas pagar, tidak mengundi. Kali ini tidak lagi. Mereka sudah nekad. Mereka yang dahulunya tidak berminat dengan politik, menjadi agresif dan pakat-pakat mengundi DAP atau PR.

Mereka bertindak begitu berani atau berani dalam takut. Paling takutpun, jika berlaku apa-apa duduk sahaja dalam rumah. Maka, tidak hairanlah pada malam pengiraan undi, pasaraya menjadi kosong, jalan menjadi lengang. Orang Cina pakat-pakat duduk rumah, takut jika berlaku apa-apa yang tidak diingini jika UMNO BN kalah.

Persoalannya, kenapa terjadi sedemikian? Sedangkan sebelum ini boleh dikatakan ramai juga Cina menyokong UMNO BN? Jika tidak, sudah tentu BN tidak akan kekal lama di Pulau Pinang sebelum diambilalih oleh ultra kiasu pada 2008. Marilah kita bermuhasabah, kerana minda kecil akan menyalahkan orang lain. Minda besar akan bertanya kenapa berlaku sedemikian dan cari jalan penyelesaian?

Kajian demi kajian membuktikan, rata-rata memberi jawapan, mereka sudah muak dengan UMNO BN. BN sudah disinonimkan dengan rasuah, korupsi dan kroni. Regime must change. Benar atau tidak, sendiri mau tau! Soal membalas budi sudah tidak timbul. Majoriti Cina turut menolak MCA dan Gerakan walaupun sebangsa. Pada mereka, perangai parti Cina ini  sama seperti UMNO. Di sinilah UMNO perlu buat muhasabah diri.

Selain itu, MCA pula tidak perlu menyalahkan orang lain kerana pucuk pimpinan mereka menyerahkan 3 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN kepada UMNO. Jika MCA bertanding di situ mungkin hilang wang deposit. Tidakkah MCA sedar bahawa kemenangan mereka dahulu atas belas ihsan undi Melayu. Jangan terlalu berani menyalahkan UMNO bila sudah kalah. Muhasabah diri.
Kepada UMNO, kita  silap dalam memahami politik Cina. Kita ingat Cina boleh dibeli dengan jamuan babi panggang setiap hari, sepanjang kempen PRU di Pulau Pinang. Begitu juga jamuan di tempat lain, tanpa babi, atas nama bantuan 1Malaysia. Tidak ketinggalan kita tampilkan artis Cina tempatan (antarabangsa), Michel Yeoh. Tidak cukup dengan itu, kita import artis terkenal China, Jackie Chan dan PSY, Korea Selatan sebelum PRU. Ya, memang ramai Cina yang hadir. Tetapi, itu bukan petanda mereka menyokong BN.
Apapun kesannya tetap ada. Tindakan ini turut menggusarkan DAP. Sehinggakan pada malam kedua (malam sabtu) sebelum pengundian, pemimpin ultrakiasu itu terpaksa meninggalkan Gelang Patah bergegas ke Pulau Pinang, bagi memastikan orang Cina tidak terpengaruh dengan gula-gula BN.
Dalam perhimpunan yang begitu ramai, mereka pakat-pakat menyanyikan sebuah lagu Cina 80an, bertajuk wang…wang…wang. Orang Cina dingatkan supaya tidak dihinakan dengan wang. Diberi ambil, bila mengundi, pangkah PR. Inilah juga sikap Melayu Kelantan, beri kain ambil, beri gula kacau. Bila mengundi pangkah bulan.
Lebih berani lagi, lebih 100 pemimpin ultra kiasu termasuk wanita, membotakkan rambut di hadapan Tokong sebagai peringatan kepada orang Cina supaya menolak politik wang. Sama ada BN ada melakukannya politik wang atau tidak, itu soal lain. Ternyata taktik dan strategi ultra kiasu amat berjaya.
Malangnya, kita pula perasan bahawa Cina mengundi BN. Yang paling saya sedih, kita sanggup berkempen batalkan projek TNB kabel merentasi Kg Terentang, Rawang, yang telah diputuskan oleh mahkamah boleh diteruskan, hanya kerana mahukan undi Cina.  Adakah ini caranya kita mahu mengambil hati Cina.? Akhirnya Cina membuat keputusan. Prestasi BN lebih buruk daripada 2008.
Selain itu, kita mahu paksa orang Cina mengundi calon MCA yang tidak bermoral, hanya kerana ia bertanding atas tiket BN. Sekali lagi Cina rasa terhina. Misalnya, kerusi Parlimen Pandan. Rafizi Ramli (PKR) tidak menjangka majoriti yang diperolehi agak besar kerana sebelum itu ia adalah kubu BN (Ong Tee Keat).
MCA sanggup ketepikan Ong Tee Keat, bekas ahli parlimen Pandan yang diterima rakyat, hanya kerana masalah peribadi pucuk pimpinannya. Ketika Rafizi (PR) berkempen, beliau turut memuji akan meneruskan segala usaha dan kerja Ong Tee Keat selama ini. Malangnya winnable candidate seperti Ong Tee Keat diketepikan. Kita paksa orang Cina memilih pemimpin Cina yang buruk. Cina rasa terhina. Orang lain pun demikian.
Apa yang saya tahu, sepanjang kempen DAP, mereka tidak memburukkan Melayu. Mereka hanya membongkarkan penyelewengan UMNO BN. Taktik dan strategi ini sekali lagi berjaya. Kita sepatutnya berkempen membongkar penyelewengan PR. Tetapi rata-rata kempen BN saya pergi, calon-calon BN hanya menceritakan kejayaan BN masa lalu dan mahukan rakyat berterima kasih. Rakyat sudah muak dengan kempen sebegitu. Siapakah yang harus berterima kasih? Pemimpin atau rakyat?
Jawapannya, pemimpin perlu berterima kasih kepada rakyat, bukannya memaksa rakyat berterima kasih kepada pemimpin. Perlu disedari, pemimpin dipilihkan oleh rakyat sebagai wakilmya. Pemimpin tidak memilih rakyat dalam pilihan raya.

Justeru, UMNO BN perlu melakukan muhasabah diri kenapa perkara ini boleh berlaku. Sikap terlalu menyalahkan orang lain perlu dielakkan. Buktikan UMNO berminda besar dan berjiwa besar. Jangan gentar dengan tsunami tersebut.

Sebenarnya, orang Cina telah membuat keputusan sejak awal lagi, sebelum PRU 13 diumumkan. Cina tidak menolak calon Melayu (UMNO). Mereka menolak UMNO BN kerana UMNO BN didakwa parti korup oleh ultra kiasu. Benar atau tidak, sendiri mau fikir!

Cina menerima PAS bukan kerana dasar Islamnya, tetapi dasar ‘bersihnya’ orang PAS yang berpegang kepada Islam. Cina amat menghormati Tok Guru. Kehidupannya serba sederhana, berbanding orang UMNO. Orang UMNO, jangankan bergelar menteri, kadangkala menjadi ketua kampungpun sudah boleh jadi kaya. Janganlah dibandingkan dengan ketua cawangan atau ketua bahagian. Bukan maksud saya orang UMNO tidak boleh menjadi kaya. Tetapi biarlah berpada-pada, jika bergelar wakil rakyat.

Beberapa perkara yang dapat saya simpulkan apabila mengulas tsunami Cina adalah, pertama; Cina mahukan perubahan. MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi, kerana MCA dan Gerakan turut sama hanyut. MCA dan Gerakan dikatakan sudah berperangai seperti UMNO yang disinonimkan membuncitkan perut memenuhkan poket.

Kedua, Cina amat berstrategi dalam berpolitik, tidak beremosi. Pada mereka, perlu ada check and balance dalam kerajaan sedia ada. Sistem dwi parti yang kuat. Jika tidak, hanya ada satu parti sahaja yang kuat, itu merbahaya seperti mana yang berlaku pada Marcos di Filipina dan Suharto di Indonesia.

Kekayaan hanya berlegar pada orang tertentu dan kroninya. Akibatnya rakyat menjadi mangsa. Rakyat terpaksa keluar ke negara lain mencari kerja. Buktinya pembantu rumah Filipina dan Indonesia berada di merata negara.

Saya tidak kata semua tindakan Cina itu betul. Cina ultra kiasu patut ditentang dan diberi pengajaran, terutama kalangan persatuan pendidikan Cina seperti Dong Jiao Zong dan sekutunya. Madu yang kerajaan beri, tuba yang dibalas. Begitu juga ultra kiasu yang telah dikayakan oleh kerajaan. Mereka bukan sahaja membawa wang keluar negara, tetapi membantu musuh melemahkan kerajaan.

Apapun berlaku, jangan hukum atau salahkan semua orang Cina. Bertindaklah seperti seorang negarawan setelah memenangi PRU13. Jagalah kepentingan semua. Jangan hukum rakyat disebabkan pilihan mereka.

Lagipun, UMNO BN mempunyai tanggungjawab ke atas Cina (juga bukan Islam yang lain). Tanggungjawab dakwah. Tegur mereka jika melakukan kesalahan. Sebelum itu, betulkan diri sendiri dahulu. Misalnya, peranan UMNO menegur MCA yang terang-terang menghina Islam dalam kempen PRU13 baru-baru ini dalam akhbar mereka.

Namun, jika UMNO sudah tidak mempercayai Cina ultra kiasu, maka carilah jalan bagaimana untuk menguatkan umat Islam, pikatlah PAS. Jangan luaskan lagi jurang perbezaan dengan memangsakan Kelantan. Berbincanglah tentang masa depan Islam. InsyaAllah, PAS akan lembut dengan UMNO. PAS pulak janganlah mengeluarkan kenyataan mahu bertindak meludah ke atas muka UMNO.Tak baik tu. Siapakah yang ajar? Nabi tidak pernah ajar. Ini namanya sudah kurang ajar. 
 

Comments

Popular posts from this blog