Matlamat Tidak Menghalalkan Cara


matlamat tidak menghalalkan cara
Soalan

Dato’, betulkah apa yang saya lihat dan saya rasakan, ada perkara-perkara yang jelas dilarang syarak, dilakukan juga oleh umat Islam hari ini atas mudah-mudah memberi fatwa, ianya diberi kelonggaran kerana “dharurah’. Daruratkah kita di Malaysia, sehingga membolehkan riba diamalkan, menghadiri upacara agama lain yang jelas syiriknya, juga dibolehkan? Membuka aurat terang-terangan juga terus dilakukan. Malah ada fatwa atau pun pandangan, bahawa ibu tunggal yang susah boleh menjadi pelacur kehormat, juga atas alasan dharurah. Betulkah hal ini? Mendiamkannya sama seperti menyetujuinya.

ABU BAKAR JOHARI
Kuala Terengganu

Jawapan:

Ulama terbilang di zaman Tabi’in dahulu seperti al-Imam Malik, Imam as-Syafie dan lain-lain, sering dikemukakan banyak persoalan mengenai hukum Allah untuk mereka jawab. Rata-rata memilih untuk tidak menjawab persoalan, melainkan setelah meneliti dan memperhalusi, barulah mereka menjawabnya.

Mereka ini amat tawaduk dan takut tersilap, yang hanya akan mengundang kemurkaan Allah.

Kita di hari ini, seperti persoalan yang anda ajukan, amat mudah memberi hukum atas alasan dharurah.

Saya tidak bermaksud mereka mudah-mudah memberi hukum. Kerana orang yang memberi hukum itu sudah pastinya orang yang berwibawa dan sudah pasti mereka menelitinya.

Namun hukum dharurah tidaklah semudah yang anda atau kita semua sangka. Memang ada ayat di dalam al-Quran mengenai hukum dharurah ini.

Firman Allah (mafhumnya):
“Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-An’am, ayat 119)

Dalam ayat tersebut, Allah sudah memberi bayangan dengan menyebutkan bahawa kebanyakan manusia hendak menyesatkan orang lain, kerana dorongan hawa nafsu, bukannya pengetahuan yang mendalam.

Maka yang demikian itu mereka telah melampaui batas-batas hukum, dengan mengatakan yang tidak boleh kepada boleh.

Cuba anda renung dan fikir, di akhir ayat yang Allah sebutkan di atas, tidakkah itu yang dilakukan umat Islam sekarang?

Ada kaedah fikah, yang disemuafakati berbunyi:

“Keterpaksaan (ad-dharurat) mengharuskan perkara yang dilarang syarak, dilakukan.”

Keadah fikah ini diasaskan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya):

“Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dibalas kemudaratan dengan kemudaratan.” (Hadis riwayat Abu Sa’id al-Khudry)

Namun demikian, tidak boleh menggunakan alasan dharurat itu untuk dihukum perkara-perkara yang anda sebutkan tadi, tanpa melihat apa makna dharurah yang sebenar.

Dharurah atau keterpaksaan yang dibolehkan syarak, dilanggarinya, adalah apabila ancaman dan tekanan yang benar-benar serius dalam penghidupan, sehingga jika diteruskan juga keadaan itu, boleh membawa kepada kebinasaan.

Misalnya keadaan seperti yang mengancam nyawa, mengadai maruah, agama ternoda, harta yang berharga akan musnah atau sebagainya. Jika keadaan sebegini berlaku dalam masyarakat kita hari ini, bolehlah dikatakannya sebagai dharurah.

Dengan dharurah itu maka hukum-hukum syarak tadi berubah daripada ‘aa’zimat’ (hukum asal) kepada ‘rukhsah’ (kelonggaran), yang membolehkan perkara haram dilakukan.

Akan tetapi, harus dilihat juga, adalah boleh dilakukan sebegini seperti mana yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Adakah dengan tidak mengambil riba, atau membeli saham-saham yang tidak lulus syariah, ancaman yang saya sebutkan di atas akan berlaku?


Adakah dengan tidak pergi ke upacara agama lain, seseorang itu akan diancam kesusahan yang amat sangat?

Adakah dengan tidak ada ikhtiar lain mencari rezeki sehingga diharuskan kehancuran kehormatan berlaku?

Jika kerana kelaparan sehingga nyawa terancam dan makanan halal tidak diperoleh, hanya ada yang haram, maka ulama-ulama muktabar dalam Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi menyatakan, itu pun yang menghadapi nyawanya, diharuskan memakan atau meminum yang haram itu, pada kadar yang minima sekadar mengelak nyawanya dari melayang.

Bukan memakan sampai kenyang dan puas, cukup dengan beberapa suapan atau beberapa teguk minuman, yang boleh menyelamatkan nyawanya.

Adakah hukum dharurah sekarang mengambil kira fakta yang saya nyatakan di atas?

Dharurah yang diiktiraf syarak ialah keadaan keterpaksaan yang benar-benar berlaku, bukan diagak-agak atau dibuat-buat.

Di dalam Mazhab as-Syafie disebut, dalam hukum yang ‘al-Azhar’, iaitu dharurah hanya berlaku kepada orang yang  terancam nyawanya, jika tidak dilakukan matilah ia. Maka barulah dinamakan dharurah, yang membolehkan seseorang itu melanggar hukum syarak yang disebut sebagai rukhsah.

Itu pun selagi tidak bertemu dengan perkara yang dihalalkan syarak. Jika bertemu dengan dihalalkan, maka yang haram tetap haram.

Apabila kita dapati bahawa manusia dengan begitu mudah menggunakan kaedah dharurah, seolah-olah kebenaran syarak terbuka begitu luas, maka eloklah dikenang dan diperbetulkan apa yang salah.
Ingatlah firman Allah (mafhumnya):
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim, ayat 7)
Renunglah. Wallahua’lam.
[admin: Gambar Cover - Kredit kepada penaazhari.blogspot.com]
 http://www.harakahdaily.my/matlamat-tidak-menghalalkan-cara

Comments

Popular posts from this blog