KHUTBAH JUMAAT : “RAMADHAN JIHAD MELAWAN NAFSU”
by Shahrul Azalan Mohamed Zamri (Notes)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya
berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita
bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Dalam bulan
Ramadhan di mana siang dan malam dipenuhi keberkatan ini, maka marilah
kita mengambil peluang keemasan untuk menghasilkan ibadah puasa yang
memenuhi standard atau kualiti yang ditentukan Allah SWT. Mudah-mudahan
Ramadhan kali ini menempatkan kita sebagai insan yang dikasihi Allah,
membawa kebahagian di dunia dan akhirat. Bersempena dengan Sambutan
Hari Pahlawan Negara pada 31 Julai tahun ini, maka mimbar Jumaat pada
hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ RAMADHAN JIHAD MELAWAN
NAFSU”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Walaupun
peperangan adalah perbuatan terkutuk tetapi ada peperangan yang terpuji
iaitu peperangan di jalan Allah atau peperangan fi sabilillah
sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Haj ayat 39 yang bermaksud:
Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah
dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka”.
Jadi peperangan di jalan Allah itu ialah peperangan mempertahankan diri
dari pengusiran, mempertahankan diri dari penganiayaan dan
mempertahankan diri dengan jihad kerana Allah SWT. Oleh sebab itu mereka
yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika
mereka mati pun dianggap mati syahid. Namun, persoalan besar timbul
ialah bagaimanakah cara kita untuk meraih ganjaran yang hebat itu?.
Mimbar ingin menegaskan bahawa jihad melawan nafsu merupakan kunci
kepada segala peperangan. Firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat
53:
Maksudnya: “Dan tiadalah aku berani membersihkan
diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan
kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku.
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Pada
bulan Ramadhan yang mulia ini Rasulullah SAW mengajar kita untuk
meninggalkan suatu peperangan, suatu perjuangan atau suatu jihad yang
kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar
iaitu jihad melawan nafsu. Jihad nafsu bermaksud mengawal diri bagi
melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Melawan hawa nafsu atau mujahadatun
nafsi sememangnya sangat sukar bagi kita kerana tanpa kesedaran dan
kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan kerana ianya telah
dipengaruhi oleh syaitan laknatullah. Namun, berdasarkan hadith dan
jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa pada bulan yang mulia inilah segala
musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam
di beri peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan
terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan
terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya.”(Bukhari &
Muslim)
Berjihad melawan nafsu adalah tanda-tanda mereka
yang cinta kepada Allah SWT. Tanda-tanda lain membuktikan kita cinta
kepada Allah ialah, pertama: Selalu menyebut nyebut nama Allah dengan
membaca al-Quran ataupun berzikir, kedua: Rindu kepada Allah, rindu pada
hari saat kita akan melihatnya, ketiga: Mencontohi tingkahlaku dan
ajarannya Rasul-Nya dan keempatnya: Bermanja-manja dengan-Nya ketika
sedang bersendirian terutama ketika sepertiga malam yang terakhir.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Pertembungan
kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa
menimbulkan konflik dalam diri manusia. Pertembungan ini akan menentukan
halatuju dan status fitrah kehidupan kita. Nafsu jahat dapat dikenal
melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Nafsu jahat dan liar
itu dikatakan sifat mazmumah di antaranya ialah sum'ah, riya', ujub,
cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, hasad, dengki,
ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak,
serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat ini melekat pada
hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita tidak mengikis dan
membuangnya maka ianya semakin kuat dan menebal pada hati kita.Tetapi
untuk membuangnya, maka seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam
perjuangan, kesabaran serta berjihad.
Sebagai seorang
Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah
puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang sukar dan menjadi
perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah
rahsia antara seseorang hamba dengan tuhannya kerana gerak geri amalan
puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain. Ketika berpuasa kita bukan
sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum tetapi seluruh
anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah
turut berpuasa.
Kita juga dituntut memperbanyakkan amal
ibadah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini
memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman,
mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah
penyakit. Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai
prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan
lapar, atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek
pembersihan jiwa dan akhlak kita. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan
mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang
terdahulu” (Riwayat Bukhari)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Bersempena
dengan Sambutan Hari Pahlawan Negara,mimbar mengajak umat Islam yang
cintakan agama dan negara bahawa amatlah wajar bagi kita menghargai
jasa dan pengorbanan besar pahlawan dan pasukan keselamatan dalam
mempertahankan maruah agama, kedaulatan negara dan jatidiri bangsa
negara kita. Mereka terdiri samada daripada warga Angkatan Tentera
Malaysia, Polis di Raja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta
individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan
negara. Firman Allah dalam surah at-taubah ayat 20 :
Maksudnya:
“Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan
harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah;
dan mereka itulah orang yang berjaya .”
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, selari dengan bulan yang mulia lagi berkat ini
menyeru, kepada para jemaah sekalian marilah sama-sama kita
bermujahadah dengan diri sendiri, mengawal segala perbuatan agar ianya
bertepatan dengan kehendak syariat dan tuntutan agama. Mimbar juga
menyeru marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan amalan
kebaikan dan menutup segala pintu-pintu nafsu kejahatan, bentuklah ahli
keluarga kita menjadi insan bertakwa dengan amalan puasa wajib dan
digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam di sepanjang
Ramadhan. Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan
ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada
hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad
daripada seorang hamba kepada tuhannya. Marilah sama-sama kita
merenung firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:
Maksudnya:
“ Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala
kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang
soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan,
adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka
akan rosak binasa”.
Comments
Post a Comment