Nabi SAW jamin syurga


Sambutan maulidur Rasul yang diadakan saban tahun antara tanda kasih dan cinta umat Islam di Malaysia kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan


SEMPENA kedatangan Syawal 1432H ini, kepada para pembaca budiman, khususnya para pengikut setia Relung Cahaya yang tidak sepertinya ini, kami daripada Panel Penyelidik Yayasan Sofa mengucapkan Salam Eidul Fitri, Minal Aa'idin wal Faa'izin, Kullu 'Aam wa Antum bi Khayr.

Semoga datangnya Syawal setiap tahun mengembalikan kita kepada fitrah yang sejahtera dan menjadikan kita dari kalangan mereka yang berjaya di dunia dan di akhirat. Maaf dipohon jika sepanjang perkongsian pandangan di ruang ini ada silap dan salah di pihak kami.Seperti yang dijanjikan, kita menyambung perbincangan tentang meluruskan fahaman terhadap keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. 

Ia supaya tidak timbul lagi gejala sesat-menyesatkan sesama Islam apabila sebahagian daripada umat beriktikad dengan keistimewaan Nabi SAW ini. 

Kita akan melihat bahawa dalam pelbagai situasi, Nabi SAW diberi wakil kuasa untuk menjanjikan syurga bagi pihak Allah SWT. 

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas r.a berkata, sabda Rasulullah SAW: "Disediakan bagi para Nabi mimbar khusus daripada cahaya; mereka semua duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong) cuma mimbarku; aku tidak duduk di atasnya, tetapi aku berdiri di hadapan Tuhanku dalam keadaan bimbang; jika aku diutuskan ke syurga, sedangkan umatku masih tercicir. 

Maka aku berkata, Wahai Tuhanku! Umatku, umatku! Allah SWT berfirman, "Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku lakukan terhadap umatmu?" Aku pun menjawab, Wahai Tuhanku! Percepatkanlah hisab mereka. Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab. 

Di antara mereka, ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmatNya dan ada yang masuk ke dalam syurga dengan berkat syafaatku. Maka aku terus memberi syafaat sehinggalah (Aku berikan tiket masuk ke syurga) untuk beberapa orang yang telah dihalau masuk ke dalam neraka. Sehingga Malik, malaikat penjaga neraka berkata: 'Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali meninggalkan pada umatmu suatu bencana (azab) pun untuk kemurkaan Tuhanmu". (riwayat imam Tabrani dalam al-Kabir dan al-Awsat dan al-Baihaqi dalam al-Ba'th

Disebut di dalam suatu riwayat daripada Jabir r.a, bahawa beliau berkata: Kami berkata: "Untuk apakah kami membaiahmu?"

Rasulullah SAW bersabda: "(Kamu membaiahku) untuk mendengar dan mentaati kami baik dalam keadaan rajin, mahupun dalam keadaan malas, mengeluarkan nafkah (sedekah) dalam keadaan susah dan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran dan (untuk kesemua itu) kamu berhak mendapat syurga." 

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: Imam Ahmad juga meriwayatkan hadis ini melalui jalur yang lain, daripada Jabir, beliau berkata: "Al-Abbas pernah memegang tangan Rasulullah SAW. Setelah kami selesai, Rasulullah SAW bersabda "Aku telah mengambil dan memberikan" (Fath al-Bari dan Majma' al-Zawaid). Iaitu, "Aku telah mengambil baiah dan memberikan syurga." Ada riwayat lain yang lebih tegas daripada itu, Jabir berkata: "Bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda kepada mereka: Berbaiahlah kalian kepadaku untuk (mahu) mendengar dan taat (kepadaku) hingga sabda baginda "dan bagi kalian syurga". 

Jabir seterusnya berkata, lalu mereka pun berkata: "Demi Allah! Kami tidak akan meninggalkan baiah ini untuk selama-lamanya dan kami juga tidak akan menariknya untuk selama-lamanya." 

Maka kami pun membaiah baginda. Lalu baginda mengambil janji daripada kami, menetapkan syarat dan memberikan kami syurga atas (pelaksanaan) itu". (riwayat Imam Ahmad, Al-Bazzar dan sebahagiannya oleh Ashab Sunan)

Nabi menjual syurga 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah berkata: "Uthman membeli syurga daripada Nabi Muhammad SAW sebanyak dua kali dengan jual beli yang hak (benar). (Pertama) setelah Uthman r.a menggali perigi rumah, dan (kedua) setelah menyiapkan bala tentera pada masa kesulitan. (riwayat al-Hakim, al-Mustadrak)."

Setiap orang yang berakal pasti mengetahui bahawa syurga itu hanya milik Allah SWT. Tidak seorang pun yang memilikinya dan tidak seorang pun yang dapat melakukan apa-apa di dalamnya walau setinggi mana pun martabat dan kedudukannya; sama ada malaikat, nabi mahu pun rasul.

Rasul dimuliakan

Meskipun demikian, Allah SWT mengurniakan dan menganugerahkan pelbagai kurniaan kepada rasul-rasul-Nya yang membezakan mereka daripada manusia yang lain kerana kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi-Nya.

Oleh sebab itu, anugerah-anugerah tersebut dinisbahkan kepada mereka dan pengurusan-pengurusan tersebut disandarkan kepada mereka sebagai memuliakan, membesarkan, menghormati dan melebihkan mereka daripada manusia yang lain. 

Berdasarkan logik inilah, beberapa istilah berkenaan keistimewaan-keistimewaan Nabi Muhammad SAW telah diberikan. Di antaranya, bahawa baginda menempah tanah syurga, menjamin masuk syurga, menggembirakan seseorang dengan syurga, bahkan menjual syurga dan menggembirakan dengan syurga; sedangkan syurga itu hak mutlak Allah SWT. 

Perkara ini tentu sekali tidak meragukan kepada sesiapa pun kecuali orang yang jahil; yang tidak mengetahui serendah-serendah ilmu dalam permasalahan ilmu yang paling mudah.

Para pembaca yang budiman, Ramadan 1432H baru semalam meninggalkan kita dengan kenangan suasana ibadah dan taqarrub yang masih hangat terasa. 

Dalam menyambut Aidilfitri janganlah lupa bahawa setiap bulan, minggu dan hari, malah setiap saat dan detik bagi seorang mukmin sejati adalah untuk ibadah dan perjalanan mendekatkan diri kepada al-Khaliq SWT. 

Maka suka juga kita mengingatkan bahawa menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap Nabi SAW adalah antara ibadah dan amal taqarrub yang paling utama. Nabi SAW telah menjadi pintu kepada segala kebaikan yang kita kecapi. 

Malangnya kita tetap mendapati adanya suara-suara sumbang yang sibuk menonjolkan aspek kelemahan yang mereka sangkakan ada pada Nabi SAW. Antara isu yang ditimbulkan oleh mereka ini seperti persoalan status agama bonda dan ayahanda nabi SAW. 

Akibat sikap tidak berhati-hati, ada pendakwah yang terjerumus dalam mengatakan ibu dan ayah Nabi SAW mati dalam kekufuran. Suatu ungkapan yang jika benar pun tidak wajar disebut-sebut kerana tetap akan menyakiti Rasulullah SAW. 

Apatah lagi jika diingatkan bahawa terdapat pandangan yang kuat di kalangan para imam yang menafikan dakwaan tersebut.
"Ya Rabbi! Sinarilah mata hati kami, bukakanlah pendengaran hati kami, perlihatkanlah kebenaran itu kepada kami sebagai suatu kebenaran, dan jadikanlah kami mampu mengikutnya. Serta tunjukkanlah kami kebatilan itu sejelas-jelasnya dan kurniakanlah kami kemampuan menjauhinya."

diedit dari http://gambargambarpelik.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog