ALLAH SWT HANYA MENILAI AKHLAK MULIA SEBAGAI PAHALA
RUPA BUKAN UKURAN TETAPI AKHLAQ…
Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit
hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah,
Mahja’ (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.
Luqman al-Hakim adalah seorang ahli hikmah yang berasal dari Habsyah
(Ethiopia). Terkandung di dalam al-Quran, Allah SWT menganugerahkan
hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang
dianugerahi hikmah).
Nama penuhnya ialah Luqman bin
Bau’raa bin Nahur bin Tareh. Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim
as. Luqman hidup selama 1000 tahun, ia sezaman bahkan gurunya Nabi
Daud. Sebelum Nabi Daud diangkat menjadi Nabi, Luqman sudah menjadi
mufti ketika itu, tempat perundingan dan bertanya Nabi Daud as.
Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan
sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk
dengan bibir yang sangat tebal. Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk
wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata
hikmah sebagai nasihat selalu keluar daripada bibirnya.
Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu melahirkan
kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dan bertepatan dengan kebenaran)
sehingga akhirnya diketahui masyarakat ramai.
Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari terdapat seorang
yang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir
tebal.
Pada waktu itu, Luqman mengatakan, “Sekalipun bibirku ini tebal,
tetapi apa yang keluar daripada mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan
sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku
putih bagaikan kaca bersih.”
Seseorang pernah bertanya kepadanya, “Bukankah kamu bekas hamba si fulan?”
Luqman menjawab: “Benar.”
Orang itu lalu bertanya lagi, “Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?”
Beliau menjawab: “Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan
meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah
yang diberikan kepadaku.”
Terjadi suatu peristiwa di mana isteri majikan Luqman kerap marah
kepada suaminya. Lalu suaminya mencari juadah (makanan yang lazat) untuk
isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada
kesayangannya (maksudnya isterinya).
Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya.
Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman.
Isterinya berkata, “Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku.”
Suaminya marah lalu memanggil Luqman.
Luqman menjawab: “Hamba telah memberikan juadah itu kepada kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan.”
Luqman menambah, “Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana
sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak menggigit dan meninggalkan tuan,
manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan tuan kerana beliau
sering meminta cerai walaupun dilayan dengan baik dan tidak dihina,
apalagi dipukul.”
Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada
keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah
seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia. Ketakwaan dan kemuliaan
akhlaknya dikisahkan sebagai teladan di dalam al-Quran.
Ketakwaan Luqman kepada Allah SWT itu ditunjukkannya melalui nasihat
kepada anak lelakinya, An’am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan
Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar.
Firman Allah SWT;
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّـهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴿١٣
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia
memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan
syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: Ayat 13)
Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap
sombong dan angkuh kepada sesama manusia dan perkataan lembut kerana
seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Firman Allah SWT;
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ
مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ
الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ ﴿١٩
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah)
kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak
sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang
sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu
semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata),
sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman:
Ayat 18-19)
Comments
Post a Comment