Sistem Islam DiLaksana Kemuliaan Dirasa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …
أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ
اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ
مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar
kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan
melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 133-134 surah Ali ‘Imran :
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا
السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ
فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ
عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga
yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi
orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya
pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya,
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah
mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai
kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya
tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban
lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan
orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan
bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan
seluruh Alam. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda
dalam keadaan berpuasa.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ
لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ
صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا
مِنْهُ فِي شَعْبَانَ – رواه البخاري
Maksudnya : Siti ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa
sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka
sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat
Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada
bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak
berpuasa sunat melainkan pada bulan Sya’ban.
Ibarat kata Ulama’ : "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban
bulan menyiram pokok.
Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya." Begitu
juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta
ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk
memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan
adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama
menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai
latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum
datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban
ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca
al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8 surah al-Bayyinah:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ
خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ
تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ
رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ
رَبَّهُ ﴿٨﴾
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah
syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda
akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat
pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut
(melanggar perintah) Tuhannya.
Tujuan kepada penciptaan manusia dan jin itu sendiri ialah untuk tunduk
patuh sebagai hamba Allah dalam setiap aspek kehidupan.
Oleh itu
kedatangan bulan-bulan yang mulia ini semestinya digunakan sebaik
mungkin dalam menanam sifat ‘Ubudiyyah dalam diri kita. Sifat `ubudiyyah
ialah perasaan yang tunduk menghambakan diri kepada Allah dengan
sepenuh jiwa, maka yang menunjukkan adanya `ubudiyyah di dalam hati
seseorang itu ialah ibadahnya seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa hakikat ‘Ubudiyyah ini hanya akan
terhasil dengan 3 perkara iaitu [1] Menjaga hukum-hakam syariat Allah
dalam setiap aspek kehidupan. [2] Sentiasa redha dengan Qadho’ dan Qadar
serta pembahagiaan Allah dalam kehidupan seharian. [3] Memastikan kita
mencari keredhaan Allah walau pun terpaksa meninggalkan keredhaan diri
sendiri
Sifat ‘ubudiyyah ini hanya akan terhasil melalui ilmu agama disertakan
pula dengan pengamalan.
Sikap terlalu mementingkan nikmat duniawi
melahirkan manusia yang menganggap bahawa pembinaan pusat pengajian
agama merupakan suatu yang tidak mendatangkan hasil ekonomi kepada
negeri. Kita semua patut sedar betapa pentingnya pembinaan tamadun
kebendaan dan rohani secara secara serentak bagi memastikan pembangunan
kebendaan tidak dimusnahkan oleh manusia yang rosak akhlak seperti
masalah rasuah dan pecah amanah dalam membina bangunan dan jambatan
contohnya menyebabkan Negara rugi dan nyawa rakyat terancam. Bangunan
yang gagah berdiri tetapi tidak mampu memberi ketenangan kepada
masyarakat yang diliputi perasaan takut dan bimbang terhadap keselamatan
harta dan nyawa akibat masalah pembunuhan, rompakan, ragut semakin
bertambah.
Oleh itu kita jangan terpedaya dengan laungan yahudi bahawa dunia mampu
dikawal dengan teknologi yang dimiliki seperti penyakit boleh dikawal
dan rawat dengan pil-pil ubat yang dihasilkan. Begitu juga bencana alam
mampu ditangani dengan alat-alat canggih yang dibina. Akhirnya mereka
dihancurkan oleh rasa angkuh sehingga merebaknya penyakit yang lebih
teruk dan bencana alam yang semakin dahsyat yang tidak mampu disekat
dengan teknologi yang ada. Antara punca dan sebabnya akibat mereka
melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah seperti maksiat zina dan
pemusnahan terhadap alam sekitar. Menyedari tentang perkara ini maka
kita wajib yakin bahawa segala usaha yang dilakukan mesti berlandaskan
Islam disamping meninggalkan segala perkara yang dimurkai oleh Allah
ditambah dengan sifat yang lebih penting iaitu tawakkal berserah diri
kepada Allah dengan yakin bahawa sesuatu selain Allah tidak mampu
memberi manfaat dan tidak boleh mendatangkan mudhorat.
Hanya Allah yang
berkuasa atas segalanya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Renungilah firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ
وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ
وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ
لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا
تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ
تَهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah);
dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya,
supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi
kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang
mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela)
mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku
sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk
hidayah (mengenai perkara yang benar)
Ketika berada pada Sya’aban ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar
daripada peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke Masjid Aqsa di
bumi Palestin kepada mengadap Ka’abah di Mekah. Antaranya dengan
mengambil berat tentang kelebihan dan keistimewaan yang ada pada
kedua-dua masjid yang mulia ini yang juga mempunyai kaitan yang rapat
dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Oleh itu sempena berada pada hari
Jumaat yang mulia ini, di masjid yang mulia ini marilah kita sama-sama
meningkatkan usaha samada dari segi sumbangan kebendaan dan juga doa
dalam memerdekakan bumi Palestin daripada cengkaman zionis yahudi.
Tanggal 15 Mei lalu adalah ulang tahun ke-65 nakbah atau “malapetaka”
yang menimpa Palestin dengan tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948.
Zionis yahudi ‘Israel’ mempunyai 2 langkah utama untuk mewujudkan
perangkaan penduduk agar Yahudi menjadi warga majoriti mengatasi kaum
Arab Palestin.
Langkah pertama, melakukan serangan terhadap pribumi yang
berakhir dengan pengusiran warga Arab Palestin dari perkampungan dan
tanah air mereka. Pengganas Yahudi dengan sokongan British telah
melakukan 44 serangan berdarah terhadap orang-orang Palestin pada tahun
1948. Akibatnya, kira-kira 850,000 warga Palestin dihalau keluar dari
kampung halaman mereka hingga tanggal 15 Mei 1948. Kira-kira 65 tahun
telah berlalu, kini jumlah pelarian Palestin pada awal tahun 2013 ini
adalah kira-kira 6 juta orang. Langkah kedua, Zionis Israel mewujudkan
status quo dengan menarik warga Yahudi dari luar negara berpindah ke
Palestin yang dijajah itu. Usaha ini telah menarik sekitar 650,000 orang
bangsa Yahudi dari berbagai penjuru dunia sebagai melaksanakan matlamat
penubuhan negara ‘Israel’ pada tahun 1948 setelah Zionis melakukan
penghapusan etnik secara terancang.
Setelah 65 tahun, projek pertukaran
rakyat ini masih belum mencapai matlamat kerana jumlah penduduk Yahudi
kira-kira 6 juta itu masih seimbang dengan penduduk Arab Palestin.
Zionis yahudi terus berusaha untuk mencapainya maka kita pula wajib
bangkit bersama dengan pejuang Islam Palestin untuk menyekat cita-cita
jahat yahudi ini termasuk dalam meruntuhkan Masjiq Aqsa yang mulia milik
seluruh umat Islam. Biar bermandi darah namun bumi Palestin tetap kita
pertahankan, Biar melayang nyawa dari badan namun kebebasan Masjid Aqsa
kita tetap kita perjuangkan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Sempena berada hari Jumaat yang mulia ini juga kita bangkit mengutuk
kekejaman pemimpin Syria yang membunuh puluhan ribu rakyatnya sendiri
tanpa belas kasihan.
Begitu juga penderitaan saudara seagama kita di
Burma yang terus berdepan dengan pembunuhan etnik tanpa tindakan untuk
menyekatnya. Tidak lupa kita bangkit menentang golongan yang menghina
Islam dan nabi Muhammad s.a.w termasuk di Negara kita dan meminta agar
budaya tidak sihat ini terus disekat tanpa mengira pangkat. Jangan
biarkan rakyat biasa sahaja diambil tindakan sedangkan bila pemimpin
menghina system Islam yang merupakan antara punca utama kepada beraninya
orang bukan Islam menghina Islam dan nabi Muhammad s.a.w maka ia
dibiarkan. Jika menghina raja dan Yang DiPertuan Agong dipandang sebagai
suatu kesalahan yang begitu bahaya dan mengancam Negara maka menghina
Allah, Islam dan nabi merupakan jenayah yang lebih bahaya.
Firman Allah dalam ayat 10 surah al-An’am:
وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ
سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul
sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka
ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan
itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ
وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ
http://khutbahku.blogspot.com/2013/06/sistem-islam-dilaksana-kemuliaan-dirasa.html?m=1
Comments
Post a Comment