Sejarah Ayat Kursi

3Surah 3Kekuatan

suburkan hidayah



Amalan berkesan suburkan hidayah dalam jiwa

PENTING untuk memastikan hidayah tetap terpelihara dalam jiwa kita. Berikut adalah langkah perlu diambil supaya hidayah dalam hati tetap utuh terpelihara.

Doa adalah langkah pertama yang perlu diambil apabila kita inginkan hidayah dalam hati tetap terjaga. Perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya supaya diteguhkan hidayah dan memohon tidak disentap daripada hati.

Dalam al-Quran, ada serangkap doa berkaitan keperluan kita ini. Firman Allah bermaksud: “Wahai Tuhan kami, janganlah engkau condongkan hati kami sesudah engkau berikan petunjuk. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu kerahmatan, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pemberi kurniaan.” (Surah ali-Imran, ayat 8)

Ini adalah doa yang diajar secara langsung oleh Allah. Adakah doa yang lebih baik daripada ini? Maka kita patut menghafal dan mengungkapnya saban waktu. Terpelihara ataupun tercabutnya hidayah terletak pada kehendak dan kekuasaan Allah. Apabila Allah meneguhkan hidayah, tidak ada yang dapat memesongkannya. Sudahkah kita lupa kisah hati Bilal seteguh batu yang menghenyak dadanya?

Sahabat agung ini diseksa kerana enggan kembali menyembah berhala. Beliau disalai di tengah padang pasir dan ditindih dengan batu. Betapa keras batu yang menindih tubuhnya, teguh lagi hatinya beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Betapa membahangnya panas matahari yang memanggang tubuhnya, lagi membara kecintaannya kepada Allah dan rasul-Nya. Lidahnya tidak henti menutur, Ahad, Ahad, Ahadyang membawa maksud, Yang Maha Esa, Yang Maha Esa, Yang Maha Esa.

Begitulah hakikatnya hidayah, segala-galanya terletak pada Allah dan kita, tekun berdoa kepada Allah supaya hidayah-Nya terus subur bertapak pada hati.

Ingat mati. Sentiasa mengingati mati memantapkan hati supaya hidayah terpelihara. Maut bertandang tanpa bila-bila masa di mana saja. Bayangkanlah, maut menjengah ketika kita bergelumang dengan maksiat serta iman menjadi reput dengan dosa dan derhaka. Mengingati mati bukan menambahkan kerunsingan jiwa, sebaliknya ibadah menjadi lebih berkualiti dan pergaulan dengan orang lain lebih bermakna serta terpelihara. Apabila ingat mati, kita tawar hati melakukan maksiat, dosa dan berlaku zalim. Kita bimbang maut menjemput sebelum sempat bertaubat.

Berhenti melakukan maksiat penuh keazaman dan keteguhan hati. Sikap ini perlu digenggam demi menghindarkan diri daripada lemas dalam perbuatan dosa. Ingatlah, sekali dihanyutkan arus dosa, kita sukar menyelamatkan diri daripadanya seperti penagih dadah. Mereka mengaku menyesal terjebak dengan dadah, bahkan menangis berharap dapat berhenti mengambil dadah.

Selepas beberapa lama, mereka tidak tahan menahan seksa ketagihan, sekali lagi mengulanginya dan menyesal. Penyesalan saja tidak cukup bagi membebaskan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Tidak ada cara lain, kita perlu berkeras hati untuk berhenti melakukan perbuatan buruk. Jangan menoleh masa lampau yang menuju jurang binasa. Tabahkan hati terus melangkah menuju reda Allah.

(Sumber Berita Harian: Tarikh ?)

takwa & tawakal kunci segala



Allah berfirman yang bermaksud, “Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Al-Thalaq: 2 - 3)

Ayat kedua dan ketiga dari surah al-Thalaq di atas telah mengingatkan kita akan sebuah ayat yang tidak asing lagi bagi kita iaitu ayat "seribu dinar". Malah ada sebahagian kita tidak mengetahui bahawa ayat ini telah tertulis dalam surah al-Thalaq dan bukan ditulis sebagai ayat seribu dinar.

Setakat ini tidak ada cerita yang "sahih" mengenai asal-usul dinamakan sebagai ayat seribu dinar, atau ayat seribu keping emas. Bahkan cerita yang tertulis dalam beberapa riwayat mengenai asal-usul nama ayat seribu dinar lebih kepada cerita dongengan yang tidak masuk akal dan yang meriwayatkan cerita berkenaan tidak jelas orangnya.

Menurut kitab-kitab sejarah (sirah), Rasulullah dan para sahabat tidak pernah mengenal ayat seribu dinar. Yang mereka kenal, ayat ini merupakan bahagian dari ayat-ayat di dalam surah al-Thalaq.

Untuk mendapatkan kejayaan dan janji-janji Allah, maka sekurang-kurangnya manusia hendaklah memiliki dua perkara dalam hidupnya.

Pertama: Takwa
Kedua: Tawakal

Imam al-Thabariy (imam ahli tafsir) menjelaskan dalam kitabnya ‘Jaami' al-Bayaan an Ta'wwil aayi al-Quraan’ atau lebih dikenal sebagai Tafsir al-Thabariy menjelaskan, maksud bertakwa seperti berikut: “Takut kepada Allah, maka dia mengerjakan apa yang telah diperintahkan olehNya, serta menjauhkan segala apa yang ditegah oleh-Nya.”

Manakala tawakal pula bermakna, “Menyerahkan segala urusannya kepada Allah” atau lebih sesuai kita katakan sebagai berserah diri kepada Allah. Sebagaimana kita sering mengalunkan zikir pada lisan kita “hasbunallau wa ni'mal wakiil ni'mal mawlaa wa ni'mannashiir” (Cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik yang Sembahan dan sebaik-baik Penolong.)

Dalam ayat-ayat yang mulia ini, Allah telah berpesan dan mengajar hamba-hamba-Nya bahawa kejayaan itu dapat diraih dengan dua perkara iaitu bertakwa dan bertawakal.

Jika dua perkara ini dimiliki, maka tidak diragukan lagi bahawa Allah akan mengasihi dan mencintai kita, seperti dijelaskan dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu semua.”

Bertakwa menyebabkan seseorang dimuliakan Allah. Jika Allah sudah memuliakan seseorang, maka atas sebab apa dia tidak berhak mendapatkan pertolongan-Nya? Manakala Allah, zat yang “Maha Agung” itu telah berjanji bagi mereka yang bertakwa akan memberikan mereka jalan keluar dari setiap urusannya.

Jika ada campur tangan dalam urusan hamba-hamba yang bertakwa, maka bolehkah kita bayangkan bagaimana keadaan dan urusan seseorang yang Allah sendiri kongsikan dalam urusannya? Adakah hidupnya akan menjadi susah? Atau dia akan mendapatkan kebahagiaan? Bayangkan ini campur tangan Allah dan bukan campur tangan manusia!

Allah yang menyelesaikan segala masalah kehidupannya, Allah yang menunjukkan jalan keluar bagi setiap kesempitan, Allah yang menjadi pendengarannya, penglihatannya, tangan dan kakinya, demikian juga sentuhan-sentuhan nuraninya. Maka jika Allah telah berbuat, siapakah yang dapat menolak keinginan-Nya?

Manakala kunci kejayaan seorang muslim yang kedua iaitu bertawakal, iaitu berserah diri kepada Allah. Menurut Rasulullah, hendaklah dimulakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, sebagaimana Rasulullah pernah ditanyakan oleh seorang sahabat, “Ya Rasulullah, adakah sudah dikatakan saya bertawakal kepada Allah jika saya lepaskan kenderaan saya (unta), kemudian saya melakukan solat?” Maka Rasulullah bersabda: “Hendaklah engkau ikat kendaraanmu itu barulah engkau solat.”

Jika seorang hamba telah berusaha bersungguh-sungguh seraya berdoa kepada Allah, semoga usahanya mendapatkan kejayaan, kemudian dia bertawakal atau berserah diri, maka Allah telah berjanji dalam ayat tadi, bahawa Dia akan mencukupi apa yang diperluka oleh hamba-hamba-Nya.

Diriwayatkan oleh imam al-Tarmizi, daripada Umar bin Khattab beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah, “Seandainya kamu semua bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, tentu Allah akan memberimu rezeki sebagaimana burung-burung yang diberikan rezeki, mereka pergi di pagi hari meninggalkan sarangnya dalam keadaan perut kosong, dan kembali dalam keadaan perut kenyang.”

Jika membaca hadis ini mungkin kita terfikir, betapa agungnya Allah yang mengatakan zat-Nya al-Razzaaq (Maha Pemberi Rezeki), burung yang tidak memiliki kerja tetap, tidak memiliki pejabat, dapat hidup mungkin lebih bahagia berbanding kehidupan manusia, mereka dapat membesarkan anak-anaknya, siang mencari rezeki, malam dapat rehat dengan tenang bersama keluarganya.

Kita terkadang lebih teruk daripada burung-burung itu, kerana tidak ada sifat tawakal dan fikiran kita hanya fokus kepada sasaran kehidupan yang berteraskan materialistik dan kekayaan dunia belaka. Siang dan malam kita tiada masa mengingati Allah, walaupun Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa siang untuk mencari nafkah dan malam untuk berdiam atau rehat.

Raihlah kejayaan dengan dua perkara; ketakwaan dan tawakal, kerana jika seseorang telah memiliki dua sifat ini, maka Allah berjanji akan menjadi penjamin dalam setiap urusannya. Maka siapakah yang lebih baik dan paling baik menjadi penjamin selain Allah?

http://warkahilmu.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog