Tuah Si Pipi Tembam

 

Wanita vs Lelaki



Lelaki tidak peka keperluan wanita
Oleh Fadzlena Jafar
Sumber Berita Harian

Sikap tidak kisah suami atau teman lelaki boleh merenggangkan hubungan

SIKAP suami yang dikatakan tidak peka dengan kehendak dan keperluan wanita dikenal pasti antara punca yang boleh menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga, sekali gus boleh membawa kepada perceraian sekiranya tiada percubaan untuk meleraikan kekusutan yang timbul.

Kajian menunjukkan kebanyakan wanita berpendapat suami tidak prihatin dengan masalah di rumah khususnya membabitkan tugasan dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka untuk menguruskan sedangkan mereka juga bekerja bagi menambah pendapatan seisi keluarga.

Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Dr Rusinah Siron, berkata perbezaaan pendapat itu secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham terutama dalam perhubungan.

“Wanita sering dikaitkan dengan unsur sensitiviti yang berkaitan dengan emosi. Pelbagai tanggapan diberikan terhadap wanita di atas sikap dan perlakuan wanita yang dilihat secara kasarnya begitu sensitif dan emosional dalam menangani isu yang berkaitan dengan kekeluargaan dan kewanitaan.

“Disebabkan kawalan emosi yang kurang stabil dan lemah itulah menyebabkan wanita banyak dikaitkan dengan elemen kelemahan seperti bersikap suka marah-marah, manja tak kena tempat, suka menangis tidak tentu pasal, naik angin hingga berangin orang sekelilingnya, suka sakit hati, rajuk hati, kecil hati hingga sikap ini membuat wanita menjeruk hati dan makan hati,” katanya.

Sikap sebegitu dilihat satu kelemahan bagi wanita kerana mereka dikatakan tidak rasional dan kurang fokus terhadap masalah yang dihadapinya. Malah, wanita dilihat tidak berupaya untuk menjalankan kerja yang lebih berat khususnya mengetuai sesuatu jabatan atau pasukan disebabkan kawalan emosi yang lemah dalam menangani sesuatu permasalahan.

Kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan lelaki berpendapat isu seperti tidak mengingati tarikh istimewa khususnya hari jadi isteri dan ulang tahun perkahwinan adalah perkara remeh sedangkan wanita menganggap peristiwa berkenaan sesuatu yang cukup istimewa dalam hidup mereka.

Beliau berkata, tujuan kajian itu adalah ingin mengetahui persepsi responden terhadap aspek merajuk dan apa tindakan dalam mengatasi sikap merajuk yang dianggap boleh menyebabkan keruntuhan sesuatu perhubungan.

Begitupun, kata Dr Rusinah, tidak kira apapun tanggapan negatif terhadap turun naik emosi wanita itu yang menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan, wanita itu sendiri ada alasan tersendiri terhadap setiap sikap itu.

Dalam kajian yang dijalankan terhadap lebih 100 responden berusia antara 25 tahun hingga 47 tahun itu, beliau mendapati jawapan responden wanita hanya difokuskan kepada aspek kekeluargaan dan sikap pasangan mereka, dan tidak ditumpukan pada aspek rakan serta kerjaya meskipun soalan dikemukakan tidak tertumpu kepada perhubungan tertentu.

Malah, katanya, ada responden wanita yang menyatakan mereka mudah berkecil hati apabila teman atau suami mereka tidak memuji masakannya atau memuji wanita lain di hadapan mereka.

Dalam hubungan itu, beliau berkata, berdasarkan pemerhatian lelaki akan cuba memujuk wanita berkenaan, tetapi apa yang menjadi masalah apabila pada satu peringkat suami mulai bosan dengan sikap yang dianggap keterlaluan itu.

“Jenuhlah suami dan teman lelaki wanita itu menggunakan pelbagai strategi untuk memujuk hingga menimbulkan kebosanan untuk terus memujuk jika apa juga yang dilakukan tidak diendahkan oleh wanita yang begitu kuat rajuknya itu. Sampai pada satu peringkat, akan kedengaran lelaki yang sudah bosan dengan rajuk wanita dan membiarkan sikapnya.

“Malah, dalam kajian yang dilakukan itu ada responden lelaki yang mengatakan wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak perkara penting yang mereka hendak fikir. Ini secara tidak langsung menunjukkan jika pada peringkat itu wanita masih bersikap sebegitu, perhubungan yang dijalin mungkin akan sampai ke tahap noktah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pelbagai jawapan yang diberikan responden lelaki itu bolehlah dijadikan panduan dan sempadan kepada wanita bahawa merajuk yang keterlaluan akan mendatangkan kebosanan pada pihak lelaki. Janganlah menjadikan merajuk itu sebagai senjata dalam sesuatu perhubungan, tetapi jadikan merajuk itu sebagai satu imej untuk menunjukkan pada suami atau teman lelaki bahawa ada masa dan ketikanya tindakan mereka itu salah dan perlukan satu perubahan bagi membentuk perhubungan yang lebih baik.

Hasilan kajian itu diringkaskan seperti berikut:

Apa yang menyebabkan wanita suka merajuk?

(Bagi soalan ini ditujukan kepada responden wanita yang berada dalam kategori umur 25 – 45 tahun yang sudah berumahtangga dan masih bujang)

Keinginan tidak diambil perhatian oleh pasangan lelaki/suami dan mereka tidak ambil kisah akan perasaan keinginan wanita itu.

Tidak sensitif terhadap perasaan wanita yang prihatin dalam sesuatu perkara dan pasangan hanya memandang remeh segala pandangan wanita.

Tidak peka pada hari-hari istimewa pasangan dan kena diberitahu pada pasangan mengenai hal itu.

Memuji wanita lain di depan isteri/teman wanita.

Menyindir mengenai imej dan personaliti isteri/teman wanita dan membandingkan dengan wanita lain.

Tidak menjamah atau makan makanan yang disediakan kerana dirasakan tidak sedap atau tidak kena selera.

Tidak memuji pasangan pada ketika pasangan perlu pujian itu.

Suami/teman lelaki lebih suka bercakap dan bergurau dengan teman sekerja wanita atau lelaki berbanding isteri/teman wanita.

Kedekut dan tidak suka mengeluarkan belanja untuk keperluan isteri/teman wanita.

Suka memerintah dan tidak suka membantu kerja rumah. Suka mengkritik isteri yang sibuk membuat kerja rumah, tetapi tidak mahu menolong.

Selalu keluar rumah dan balik lewat, tetapi tidak memberitahu sebab mengapa pulang lewat dan sebagainya.

Tidak suka membeli buah tangan pada anak dan isteri apabila balik dari kerja dan sebagainya.

Tidak suka berhubung dengan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) jika ada kerja luar atau berpergian.

Suami melebihkan ibu bapa dan adik beradiknya dan sanggup berhabisan untuk mereka, tetapi tidak mempedulikan keluarga sendiri.

Sering memberi pujian dan senyuman yang mesra untuk orang lain, tetapi dengan anak isteri garang dan tidak mesra.

Ada duit digunakan untuk belanja rakan dan saudara mara sedangkan anak isteri di ketepikan.

Mudah mesra dengan orang lain, tetapi tidak mesra dengan keluarga sendiri

Apabila balik kampung isteri, bersikap dingin dan tidak mesra.

Tidak membela anak isteri apabila ada saudara mara dan ipar duai menyindir kekurangan anak isteri.

Tidak suka menemani isteri membeli belah kerana malas hendak melayan isteri

Tidak suka membelai mesra anak isteri pada saat anak isteri memerlukan seperti anak isteri sakit atau meraikan kejayaan mereka.

Suka bercakap kasar dan menengking pada anak isteri.

Tidak suka meraikan hari istimewa isteri seperti isteri naik pangkat dan sebagainya.

Mengapa wanita suka merajuk?
(Bagi soalan ini ditujukan kepada responden lelaki yang berada dalam kategori umur 25 – 47 tahun. Responden lelaki ini berada dalam kategori bujang dan yang sudah berumahtangga).

Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan. Wanita cerewet mengenai pemilihan gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati sedangkan lelaki anggap soal makan di mana saja boleh.

Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak perkara penting yang mereka hendak fikir.

Wanita suka sangat diberikan perhatian dan manja tidak bertempat dan sikap ini menyebabkan mereka sentiasa ‘syok sendiri’ dan suka dipuji, jika tidak dipuji mereka akan merajuk.

Wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.

Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati dan bersikap tanggungjawab pada wanita. Wanita kena menerima hakikat itu.

Suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, ini sebabnya lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka sangat menghabiskan masa untuk tujuan itu.

Terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah ‘mengata dan mengutuk’ jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.

Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.

Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising dan ini tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.

Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal dan jika isteri atau teman wanita melakukan pengawalan itu pada lelaki, lelaki akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.

Wanita kurang bijak dalam melahirkan kasih sayang melalui perbuatan menunjukkan kasih sayang pada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang itu.

Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi wanita suka bergantung harap sangat pada suami dengan tujuan agar suami sentiasa berada di samping mereka. Ini tidak digemari suami/teman lelaki.

Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka, dan ubahlah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan. Jika masih muda elok juga jika merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, janganlah selalu merajuk – buruk!

Wanita jadikan diri mereka contoh yang baik dan merajuk memburukkan persepsi lelaki, jadi janganlah bersikap seperti budak-budak kecil.

Wanita suka bertanya itu ini pada suami/teman lelaki tetapi tidak suka pada jawapan yang diberikan oleh suami/teman lelaki. Ini membuatkan suami/teman bosan untuk melayan soalan wanita itu.

Wanita banyak maksud dan tujuan dalam perbuatan mereka, jika dilayan, mereka kadangkala mengambil kesempatan daripada keprihatinan yang diberikan kepada mereka.

Wanita jangan suka menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka dan sebagainya dan inginkan dilayan ala ‘puteri’ kerana kelebihan itu hingga membodohkan lelaki. Lelaki tidak ada minat untuk melayan kerenah wanita seperti itu.

(Sumber: Kajian dijalankan Dr Rusinah Siron pada Januari 2007)

Tahi Lalat



Masyarakat pada zaman dahulu mengenal seseorang dengan melihat tanda pada tubuhnya. Diturunkan di sini firasat tentang tahi lalat. Sejauhmana kebenarannya tidaklah diketahui jelas. Namun begitu, ia biasa diajarkan di kalangan masyarakat melayu. Perkongsian ini hanya sekadar menambah pengetahuan.

* bibir atas kanan - banyak rezeki, pandai
* bibir atas kiri - ramai kawan, baik hati
* bibir bawah kanan - disegani orang, ramai yg suka
* bibir bawah kiri - pandai bicara, tak mudah kalah
* leher kanan - cerdas, jujur, berani menderita
* leher kiri - cerdas dlm segala hal dan banyak pengetahuan
* leher di tengah - tercapai cita-cita
* biji mata kanan - suka serong dan pembohong
* biji mata kiri - pembohong tetapi baik hati
* hujung mata kanan - baik hati, sopan santun, cerdas
* hujung mata kiri - baik budi, murah rezeki
* betis kanan - suka berhibur, boros
* betis kiri - rajin, tidak suka menganggur
* lutut kanan - bersikap tidak peduli dan tak mahu berusaha
* lutut kiri - kurang kuat berusaha
* kepala sebelah kanan - terkabul cita-cita
* kepala sebelah kiri - sering menemui kesusahan
* kepala sebelah belakang - jujur, sabar dan tekun
* kening kanan - cerdas dan cekap
* kening kiri - cerdas, sopan santun
* tengah kening - keras hati, berani segala hal
* hujung mulut kanan - kecil rezeki, tak mudah kalah
* hujung mulut kiri - suka berpoya-poya
* ketiak kanan - dapat menyimpan rahsia
* ketiak kiri - jujur, banyak yang cinta
* pergelangan kaki kanan - suka berpergian (keluar rumah)
* pergelangan kaki kiri - kehendak kuat
* batang hidung - banyak dicintai orang dan dapat menjadi kaya
* pada hidung - banyak rezeki
* dagu bawah kanan - jujur dan baik hati
* dagu bawah kiri - bijak sana dan berbudi luhur
* kemaluan kanan atau kiri - baik, suka senggama
* di kepala kemaluan (lelaki) - bakal beristeri dua
* tumit kanan - jujur dan banyak kawan
* tumit kiri - baik budi
* alis kanan suka - menolong, baik hati
* alis kiri - ramai yang suka
* pangkal peha kanan - kemahuan kuat
* pangkal peha kiri - suka kerja apa pun
* telapak kaki kanan - tak mudah mengeluh
* jari kaki kanan - suka menolong
* jari kaki kiri - berbudi, suka berbuat baik
* bahu kanan - cermat dlm membuat keputusan, banyak tanggungan
* bahu kiri - suka kerja keras, banyak tanggungjawab
* lengan kanan - setia dan taat pada atasan
* lengan kiri - menepati janji dan rajin
* pipi kanan - ramai teman
* tengah-tengah pipi kanan - ramai yg suka
* tengah-tengah pipi kiri - ramai teman
* ubun-ubun - kurang jujur
* pusat - cerdas, tangkas, tekun
* pusat bahagian kanan - sejahtera dalam hidup
* pusat bahagian kiri - beroleh kemuliaan
* pinggang kanan - sayang pada pasangan hidup
* pinggang kiri - disayang pasangan hidup
* dada kanan - dapat mengatasi masalah
* dada kiri - berani, jujur dan sabar
* telapak kaki kanan - tidak mudah mengeluh
* telapak kaki kiri - baik budi pekertinya
* siku tangan kanan - kuat ingin memiliki kekayaan
* siku tangan kiri - baik hati, suka menolong
* jari tangan kanan - serba beroleh keuntungan
* jari tangan kiri - serba baik bekerja
* jari telapak tangan kanan - banyak rezeki tapi boros
* jari telapak tangan kiri - banyak rezeki dan cermat
* perut bawah kanan - banyak rezeki, suka memberi maaf
* perut bawah kiri - baik hati, tenang hidupnya
* sudut mata kanan dalam - disayang suami atau isteri
* sudut mata kiri dalam - tidak mudah dilupakan pasangan
* sudut mata kanan luar - baik budi, ramai yang cinta
* pelipis kiri - murah rezeki, dpt jadi kaya
* pelipis kanan - serba berhasil dalam usaha
* kelopak mata kanan atas - baik hati, ramah,berjaya
* kelopak mata kiri atas - baik budi, ramai yg suka
* kelopak mata kanan bawah - agak malas
* kelopak mata kiri bawah - agak bodoh, kurang bijaksana

Wallahua’lam.

Pesanan Lukman al-Hakim

Gejala Stres

Foto: istockphoto

Seharian di pejabat ada kalanya membuatkan kepala terasa sakit ditambah pula dengan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi atau diabetes. Ini semuanya menjadikan anda semakin stres. Terdapat 23 gejala stres, namun apabila seseorang telah memiliki lebih dari lima gejala ini, dia boleh dikategorikan mengalami stres yang serius dan memerlukan rawatan lanjut.

Berikut 23 gejala stress:
1. Sering berpeluh dan menggigil
2. Jantung berdebar-debar
3. Pergi ke tandas lebih kerap daripada biasa
4. Sering merasa sakit di perut
5. Mulut menjadi kering
6. Mudah penat
7. Mengalami sakit yang bukan penyakit biasa seperti deman atau selesema
8. Lebih banyak merokok dan cenderung mengambil minuman beralkohol
9. Cepat penat ketika sedang melakukan tugas
10. Sakit kepala
11. Tidak memiliki waktu untuk menjalankan hobi
12. Mudah tersinggung
13. Selalu berfikir ‘ tidak dapat menyelesaikan masalah yang melanda’
14. Kehilangan selera terhadap makanan, keseronokan ataupun hubungan seksual dengan pasangan
15. Makan terlalu banyak atau terlalu sedikit
16. Kehilangan rasa humor
17. Tidak tertarik terhadap penampilan diri
18. Tidak tertarik pada orang lain
19. Merasa segala sesuatu tidak berguna
20. Selalu dirundung kesedihan
21. Pelupa
22. Hilang ghairah dalam semua benda
23. Sukar tidur, tidur tidak tenang dan mudah terganggu.

Cerita Kulit Pisang

Siapa Muthiah?


Siapakah sebenarnya wanita yang pertama akan masuk syurga sebelum Fatimah binti Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam?

Dalam sebuah hadis menceritakan, antara kegemaran Rasulullah adalah suka bergurau yang sopan untuk memberi pengajaran. Suatu hari ketika Rasulullah sedang melayani puteri kesayangannya, Fatimah, baginda bersabda, “Wahai anakandaku! Ketahuilah olehmu bahawa ada seorang perempuan kebanyakan akan masuk syurga terlebih dahulu daripadamu.”

Mendengar kata-kata ayahandanya, serta merta berubahlah air muka Fatimah. Bertanya dia kepada baginda sambil menangis, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda, bagaimana keadaannya dan bagaimana pula amal ibadatnya sehingga dia terlebih dahulu masuk syurga daripada anakanda? Khabarkanlah di mana dia sekarang, anakanda mahu jumpa dia.”

Lalu Rasulullah menjelaskan, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di sebuah kampung kawasan pedalaman hampir Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Kota Madinah. Nama Perempuan itu ialah Muthi'ah.”

Tanpa membuang masa, setelah mendapat keizinan ayahandanya, Fatimah pun keluar mencari perempuan yang dikatakan oleh Rasulullah itu.

Setelah bertanyakan penduduk setempat, ramai yang tidak tahu dan mengenali perempuan bernama Muthi'ah ini. Dia bukan perempuan yang terkenal. Masing-masing mengatakan tidak pernah mendengar dan tidak mengetahui hal perempuan ini.

Setelah berbagai usaha mencarinya, dengan izin Allah, akhirnya berjumpalah Fatimah dengan rumah perempuan yang dimaksudkan itu. Rumah Muthi'ah berada di kawasan pedalaman, jauh daripada orang. Mungkin sebab itulah susah mencarinya.

Sebaik saja memberi salam dan beberapa kali mengetuk pintu, hanya suara saja kedengaran menjawab salam dari dalam sedangkan orangnya belum juga muncul. Setelah agak lama Fatimah menunggu, penghuni rumah itu pun menjenguk di jendela, sambil bertanya siapakah gerangan di luar dan apakah hajat kedatangannya. Dia tidak mempelawa tetamunya itu masuk. Mereka hanya bercakap melalui jendela sahaja.

Fatimah memperkenalkan dirinya: “Saya Fatimah binti Rasulullah, datang kemari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan kamu.”

Mendengar tetamu yang datang itu ialah anakanda Rasulullah, maka perempuan itu menjawab: “Terima kasih kerana datang ke rumah saya, tetapi saya tidak dapat membenarkan kamu masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin dulu apabila dia balik dari bekerja. Sila datang esok hari sajalah.”

Dengan langkah yang amat berat, Fatimah pulang dengan perasaan yang sangat hampa kerana tidak dapat berbual panjang dan mencungkil rahsia amalannya.

Keesokannya, Fatimah datang lagi bersama-sama anaknya, Hasan. Sebaik sahaja sampai dia memberi salam dan perempuan itu pun terus membuka pintu kerana dia sudah mengetahui tetamu yang datang itu ialah Fatimah.

Apabila hendak mempersilakan masuk, tiba-tiba dia terlihat ada seorang budak bersama-sama Fatimah lalu dia bertanya: “Fatimah, ini siapa?”

"Anak saya, Hasan,” sahut Fatimah.

Perempuan itu berkata, “Saya dukacita kerana saya belum minta izin dari suami saya. Yang dibenarkan hanyalah Fatimah seorang. Oleh itu saya perlu minta izin dahulu dari suami lagi. Silalah datang esok hari saja.”

Fatimah jadi serba salah. Akhirnya setelah berfikir panjang lebar, dia pun ambil keputusan untuk balik.

Keesokan harinya, Fatimah datang pula dengan membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Setelah memberi salam, mereka segera disambut oleh penghuni rumah itu.

“Fatimah dengan Hasankah?” Tanya perempuan itu minta kepastian.

Jawab Fatimah, “Kami datang bertiga kerana anak saya yang satu ini (Husin) mahu ikut juga.”


“Fatimah, saya rasa dukacita lagi kerana budak yang satu ini (Husin) belum saya minta izin dari suami saya. Sila datang esok hari,” tegas perempuan itu.

Mendengarkan kata-kata itu, Fatimah tersipu-sipu menyahut, “Baiklah kalau begitu esok saya datang lagi kemari.”

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, hatinya berkata-kata : “Perempuan ini takut benar akan suaminya, sehingga perkara yang sekecil begini pun dia tidak berani melakukannya. Jika dia benarkan aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ini siapa, anak siapa dan dua budak ini cucu siapa, pandanglah (hormatilah) aku ini sebagai tetamu yang datang dari jauh saja sudahlah,” bisik hatinya, kesal.

Dalam pada itu, sebaik-baik sahaja suaminya pulang, perempuan itu pun memberitahu tentang budak yang satu lagi ini. Suaminya terkejut dan hairan, “Kenapa engkau tergamak begitu sekali? Bukankah Fatimah itu puteri Rasulullahdan dua orang anaknya itu adalah cucu baginda? Lebih daripada itu pun engkau patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung kepada keredhaan Rasulullah. Jangan sekali-kali engkau buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan engkau hormatilah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka.”

Sahut perempuan itu, “Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa apa yang saya tahu, keselamatan diri saya juga bergantung pada keredhaan suamiku. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati suamiku.”

“Terima kasih,” sahut suaminya. “Tapi takkanlah pula sampai engkau tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan izin aku, kerana menghormati tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama kita.”

Pada hari berikutnya, Sayyidatuna Fatimah pun datang sepertiyang dijanjikan dengan membawa dua orang puteranya itu. Setelah dijemput masuk dan dijamu dengan sedikit buah kurma dan air, mereka pun berkenalanlah serta memulakan perbualan.

Pertanyaan Fatimah banyak berkisar mengenai rahsia amal ibadat yang menjadi penyebab Muthi'ah menjadi wanita pertama masuk syurga menurut ayahandanya. Setelah memperkenalkan dirinya, Muthi'ah menjawab semua pertanyaan Fatimah dengan ikhlas.

Katanya, “Tingkah laku saya biasa sahaja, tidak ada yang istimewa, amal ibadat pun biasa saja, malah Rasulullah lebih mengetahui akan segalanya. Saya hanya menuruti apa yang dianjurkan oleh baginda dalam hal kewajiban saya sebagai isteri. Antaranya:
1. Saya tidak boleh meninggalkan rumah jika suami saya keluar bekerja.
2. Saya tidak boleh menerima tamu (terutama lelaki) jika tiada keizinan suami.
3. Saya tidak akan berkeluh-kesah jika suami tidak mempunyai harta.
4. Saya berusaha agar suami saya senang dan cinta kepada saya.
5. Saya tidak cepat-cepat cemburu.
6. Saling mengerti dan menghargai antara kami berdua.

Soal berhias dan berdandan, menurut Mith'iah, dia hanya mengutamakan kecantikannya untuk suami, bukan untuk ditonton dan diperagakan kepada orang lain.

Setengah riwayat menyatakan, Muth'iah mundar-mandir berjalan ke pintu rumahnya sambil memandang ke jalan seolah-olah sedang menantikan seseorang. Dia seolah-olah tidak begitu mempedulikan Fatimah.

Di tangannya terdapat tongkat dan sebuah bekas berisi air, manakala tangan sebelah lagi mengangkat hujung kainnya sehingga menampakkan betis dan sedikit bahagian pahanya. Wajahnya manis dengan senyuman.

Melihat keadaan Muth'iah yang agak aneh, Fatimah merasa gelisah kerana dia rasa tidak dipedulikan. Fatimah bertanya: “Mengapa begini?”

Sahut Muth'iah: “Fatimah, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan suami saya pulang.”

“Mengapa ada bekas air itu?” Tanya Sayyidatuna Fatimah. Jawab Muthi'ah jujur: “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik dari kerja, saya akan segera menghulur air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah kepada saya.”

Fatimah bertanya lagi: “Mengapa dengan rotan ini?” Jawab Muthi'ah, “Jika suami saya marah atau kurang layanan dari saya, mudahlah dia memukul saya dengan rotan ini.”

Kemudian Fatimah bertanya, “Mengapa diangkat kain sehingga menampakkan paha, bukankah itu tidak elok?” Maka Muthi'ah menjawab, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini, tentulah akan menambahkan nafsu syahwatnya dan memudahkan akan maksud hajatnya itu.”

Fatimah termenung lalu berkata dalam hatinya: “Jika beginilah kelakuan dan perangainya terhadap suami, tidak dapatlah aku mengikutnya. Wajarlah menurut ayahanda, dia terlebih dahulu masuk syurga daripada aku. Ternyata benarlah bahawa keselamatan wanita yang telah bersuami itu bergantung kepada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya.”

Fatimah minta diri. Dia terus pulang menghadap ayahandanya dan menceritakan segala yang berlaku.

“Wahai anakandaku, itulah rahsianya mengapa Muthi'ah wanita pertama masuk syurga,” kata baginda kepada Fatimah.

Dalam muram dan seakan-akan merajuk, Fatimah menjawab, “Anakanda tidak dapat meniru perangai dan amalan Muthi'ah.”

Melihat rintihan puterinya itu, Rasululah tersenyum sambil berkata, “Wahai anakandaku, janganlah anakanda susah hati. Perempuan yang anakanda jumpa itu (Muthi'ah) ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali tunggangan anakanda tatkala anakanda masuk syurga nanti. Jadi dialah yang akan masuk terlebih dahulu daripada anakanda.”

Setelah mendengar penjelasan ayahandanya itu, barulah nampak Fatimah mulai gembira dan tersenyum.

Begitulah ganjaran yang Allah berikan kepada Muthi'ah. Semoga amalan yang dilakukannya itu sedikit sebanyak akan menjadi panduan dan dorongan kepada wanita-wanita terutama bagi mereka yang sudah berumahtangga.
 
http://warkahilmu.blogspot.com/

Comments

Popular posts from this blog