Impak Makanan Halal Kepada Individu Muslim 

 

Prinsip halal dalam pemakanan merupakan perkara yang amat dititik beratkan mengikut syariat Islam. Prinsip halal ini secara umumnya melibatkan dua perkara. Pertama, bagaimana sesuatu benda itu diperolehi. Kedua, adakah zat atau barangan itu sendiri halal atau sebaliknya. Syariat Islam telah menetapkan supaya setiap penganutnya hanya memakan makanan yang halal. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal ) yang telah Kami berikan lepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat lepada-Nya. ”

Lantaran itu, pemilihan makanan halal lagi baik perlu diambil berat oleh setiap umat Islam. Ia bertujuan untuk memastikan makanan yang diambil tidak memudaratkan manusia itu sendiri. Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru disamping kita memilih makanan yang berzat dan berkhasiat adalah lebih penting lagi pada masa yang sama, makanan tersebut dijamin bersih dan suci mengikut hukum syarak.

Umat Islam hari ini begitu terdedah kepada pelbagai jenis makanan dan minuman yang berada dipasaran khususnya produk makanan import yang rata-rata datangnya dari negara bukan Islam atau diusahakan oleh orang-orang bukan Islam yang pastinya menimbulkan banyak persoalan berkaitan masalah produk ini yang diakui bukan mudah untuk kita menentukan atau mengenali asal usul sumber bahan-bahan tersebut. .Sabda Rasulullah s.a.w :
“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya “ Hadis riwayat at-Tirmizi.

Allah memerintahkan umat Islam supaya makan makanan yang halal lagi baik kerana banyak hikmah tersendiri di sebalik perintah tersebut. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat bagi manusia. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap pemilihan makanan halal, suci dan bersih dalam pemakanan sehariannya pasti akan lahir dalam dirinya keimanan dan nur yang dapat memandu jiwanya ke arah ketaqwaan dan peningkatan ibadahnya kepada Allah S.W.T.

Makanan yang haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya. Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah dan yang terakhir, dia akan mendapat keseksaan di neraka Allah pada hari kiamat kelak. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah, ayat 173 yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi , dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa ( memakannya kerana darurat ) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas ( pada kadar benda yang dimakan itu, ) maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi ”.

Rahsia disebalik pengharaman atau larangan Allah dalam al-Quran terhadap makanan-makanan yang jelas haram dimakan juga telah berjaya dibongkar melalui kajian sains oleh para saintis masa kini. Misalnya, Allah S.W.T telah mengharamkan daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus JE ( Japanes Enceplytis) dalam babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Dalam kajian yang lain juga saintis telah membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang amat berbahaya kepada manusia. Kajian ini juga mendapati pada kerongkong haiwan tersebut, terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus ini kepada bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia.

Maka jelaslah di sini bahawa, perintah Allah supaya kita memilih makanan yang halal dan baik adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri dan bukannya untuk memudaratkan kesihatan manusia. Selain itu, pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang di dunia dan diakhirat.

Alhamdulillah, pihak kerajaan khususnya melaui jabatan agama negeri-negeri dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas produk makanan, barang gunaan serta premis makanan di pasaran bagi memastikan ianya benar-benar halal. Walaubagaimanapun, kerjasama yang berterusan daripada masyarakat juga sentiasa diharapkan dalam usaha membantu kerajaan dengan menjadi mata, telinga dalam memberikan maklumat-maklumat dan menyalurkan sebarang keraguan terhadap bahan makanan atau produk gunaan serta penyalahgunaan logo halal atau perbahasan halal. Justeru, sebarang penyelewengan,penipuan dan penyalahgunaan logo halal dapat dicegah dan diambil tindakan segera bagi mengelakkan umat Islam daripada terus ditipu.

Statistik permohonan Sijil Pengesahan Halal menunjukkan kebanyakkan pemohon atau pemegang Sijil Pengesahan Halal adalah terdiri daripada pengusaha makanan yang bukan beragama Islam. Adalah amat menyedihkan apabila didapati golongan pengusaha makanan yang beragama Islam yang membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal adalah terlalu kecil jumlahnya berbanding pengusaha bukan Islam. Pengusaha-pengusaha bukan Islam dilihat bersungguh-sungguh serta komited untuk mendapatkan pengiktrafan Sijil Pengesahan Halal untuk produk-produk keluaran syarikat mereka untuk dipasarkan sedangkan pengusaha kita yang beragama Islam tidak memandang keperluan pengiktrafan halal ini sebagai satu peluang serta daya tarikan untuk melariskan produk-produk keluaran mereka kerana beranggapan pengguna sudah yakin dengan produk yang diusahakan oleh orang Islam.

Justeru, golongan pengusaha makanan muslim sewajarnya membuat permohonan untuk mendapatkan pengiktrafan Sijil Pengesahan Halal ke atas produk keluaran syarikat mereka dalam usaha untuk meningkatkan lagi pasaran serta dapat bersaing dengan pengusaha-pengusaha bukan Islam yang nyata tidak dapat memahami secara menyeluruh tentang konsep halal haram yang perlu dipraktikkan dalam perusahaan mereka berlandaskan syariat Islam yang sebenar.

Prinsip asas dalam pengeluaran Sijil Pengesahan Halal adalah cukup jelas. Sesuatu makanan itu bukan sahaja perlu halal tetapi juga baik (halalan Tayyiba), iaitu tidak memudaratkan pengguna. Segala aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan turut diambil perhatian dalam meluluskan permohonan Sijil Pengesahan Halal selain menitik beratkan aspek berkaitan bahan-bahan ramuan yang digunapakai dalam penghasilan produk atau barang gunaan.


Apakah pula peranan kita sebagai ahli masyarakat yang prihatin terhadap amalan pemakanan halal ini? Dengan wujudnya logo halal yang dikeluarkan kepada pengusaha makanan ini, maka kita perlu menggunakan kuasa yang ada pada kita sebagai pengguna untuk memilih premis atau produk yang telah di sahkan halal oleh pihak berkuasa agama sahaja. Pengguna sewajarnya tidak sewenang-wenangnya membeli atau mendapatkan makanan di premis-premis makanan tanpa ada rasa syak atau bertanya adakah makanan yang disajikan kepada kita benar-benar halal dan adakah dapur atau tempat penyediaan makanan tersebut bersih dan diselia oleh tukang masak beragama Islam.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati memilih makanan bagi memastikan apa yang kita makan benar-benar halal. Mudah-mudahan dengan demikian kita terhindar daripada azab Allah dan tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang melanggar ketentuan hukum Allah S.W.T.

Comments

Popular posts from this blog