MEMELIHARA HAK ALLAH SWT, DIRI DAN KELUARGA

Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada setiap hari jumaat, menerusi khutbah dari atas minbar masjid, kita diingatkan agar sentiasa bertakwa kepada Allah, kerana dengan takwa itulah, kita akan menyedari, bahawa hidup kita di dunia ini bukanlah untuk berhibur dan bergurau senda semata-mata, tetapi kita memikul tanggungjawab. Pada setiap hari kita berdepan dengan tiga tanggungjawab yang paling menonjol, iaitu tanggungjawab kepada Allah,diri sendiri dan juga keluarga. Ketiga-tiga perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, kerana bertitik- tolak dari sinilah, akan wujud kekuatan diri, dan dengannya, maka kita akan dapat pula melaksanakan tugas-tugas yang lain, demi mengundang seribu rahmat dan seribu keberkatan Ilahi demi mengharap keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Dalam hubungan ini, Rasulullah Saw telah bersabda menerusi hadisnya yang mahsyur :

Bermaksud : " Sesungguhnya bagi Tuhanmu atas dirimu ada hak, bagi keluargamu atas dirimu ada hak, dan bagi dirimu sendiri atas kamu ada hak, maka berikanlah setiap hak itu kepada yang empunyanya. "

Kalimah "hak" bermakna, sesuatu yang patut diterima oleh seseorang. Yang lazimnya di dahului oleh pelaksanaan tanggungjawab atau kewajipan, yang dibebankan kepadanya. Maka dalam konteks hadis yang tersebut tadi, apabila di katakan: " Bagi Tuhanmu atas dirimu ada hak," maka ungkapan itu bermakna bahawa kita sebagai hamba harus melaksanakan kewajipan kepada Allah, atau dengan kata lain, hak-hak Allah atas diri kita, hendaklah kita berikan kepada Allah, atau lebih jelas lagi, kita sebagai hamba diwajibkan beribadat kepada Allah, kerana ibadat itu menjadi hak Allah. Dan ibadat juga sebagai tanda kita bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberiannya yang tidak terhingga kepada kita. Firman Allah Swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat 21-22 :

Bermaksud : " Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu, dan orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa (Dialah ) Allah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagi kamu, dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air ( hujan ) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu, segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu, oleh itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. "

Banyak lagi ayat Al-quran yang mendedahkan betapa Allah memberi nikmat kepada hamba-hambanya, lalu mereka diseru supaya beribadat kepada Allah Swt. Ini termasuklah kebanyakan ibadat-ibadat yang penting seperti solat fardhu yang lima, ibadat puasa pada bulan ramadhan, aidilfitri, aidiladha, ibadat haji dan sebagainya. Kesemua ibadat ini mempunyai waktu-waktu tertentu, dan terjadinya waktu-waktu itu ialah dengan sebab berlakunya peredaran matahari dan bulan. Maka ini bermakna Allah mengajak manusia supaya berfikir dan merenung, betapa Allah dengan kekuasaan dan kebesarannya, telah mencipta alam yang ada, dan seterusnya mentadbirkannya, lalu Allah mengajak para hambanya supaya beribadat kepadanya. Sesungguhnya sesuatu ibadat itu hanyalah kepada Allah semata-mata.

Islam adalah agama fitrah bersifat universal, atau rahmat sejagat. Islam lahir pada zaman unta, ketika manusia belum mempunyai hubungan dengan dunia luar, Islam sesuai pada zaman itu, Islam yang dulunya dianuti oleh manusia-manusia yang tinggal di desa terpencil. Dan kini ketika dunia dalam keadaan serba maju dan membangun, Islam yang sama pada zaman unta dahulu, masih tetap sesuai menjadi anutan dan sesuai diamalkan oleh penduduk-penduduk yang tinggal di bandar metropolitan, kerana Islam sifatnya sederhana dan tidak menafikan hak-hak serta kepentingan individu.

Bersyukurlah kita kehadrat Allah Swt, kerana kita menjadi penganut agama Islam, iaitu satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah Swt dan satu-satunya agama sebagai rahmat ke seluruh alam. Marilah sama-sama kita pelihara agama kita dengan sebaik-baiknya, dengan terus-menerus meningkatkan kefahaman dalam agama, serta menghayati tuntutan-tuntutannya. Semoga pegangan kita makin bertambah kukuh, dan kita tidak akan hanyut oleh arus kebendaan yang melanda umat akhir zaman kini.

Sidang Jumaat yang di muliakan Allah,

Kemudian, Rasulullah Saw mengingatkan dalam hadisnya tadi, bahawa kita juga dituntut memberikan hak terhadap keluarga kita. Hak keluarga ialah seperti nafkah makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang selesa, pendidikan dan pelajaran, perubatan, keselamatan diri mereka dan lain-lain lagi yang ada kepentingan dari segi jasmani dan rohani, kepentingan duniawi dan ukhrawi.

Allah memberi peruntukan waktu dalam sehari semalam sebanyak 24 jam. Sepertiga dari waktu tersebut , iaitu kira-kira lapan jam, kita gunakan untuk mencari nafkah di luar rumah, kemudian kita beristirehat atau tidur waktu malam, kira-kira antara lima hingga tujuh jam, maka kita sebenarnya masih banyak mempunyai waktu lagi, yang sepatutnya diperuntukkan sebahagiannya untuk kepentingan keluarga, tetapi anehnya mengapa ramai yang mengatakan tidak punya waktu untuk bermesra dengan anak-anak, kerana setiap hari di sibukkan dengan tugas di luar rumah, sehingga setengahnya anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada orang gaji.

Kita harus ingat dengan taggungjawab dan amanah yang dibebankan oleh Allah Swt atas bahu kita sebagaimana firmannya di dalam surah At-Tahrim ayat 6 ;

Bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari azab api neraka. "

Menerusi ayat ini, Allah mengingatkan tugas dan tanggungjawab kita di dunia ini bukanlah hanya di sibukkan dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat duniawi semata-mata, tetapi kita juga hendaklah mengambil berat, demi memelihara diri kita dan keluarga kita daripada azab api neraka di akhirat kelak. Jelasnya batas-batas agama hendaklah di jaga dengan sebaik-baiknya, solat lima waktu jangan di tinggalkan, kawal diri daripada terlibat dengan maksiat dan perkara-perkara mungkar.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang di hormati sekalian,

Akibat kecuaian sesetengah ibu bapa dalam melaksanakan amanah terhadap anak-anak, maka tidak hairanlah kalau kini berlaku krisis akhlak di kalangan remaja dan pelajar sekolah seperti penagihan dadah, anti sosial, hingga ada guru disiplin yang dipukul, kereta pengetua disimbah dengan asid, percubaan bakar sekolah, bahkan ada kes bunuh dan lain-lain lagi.

Anggaplah apa yang berlaku sebagai satu penyakit, Rasulullah Saw pernah bersabda yang bermaksud ;

" Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. "

Oleh itu, kita sebagai ketua keluarga, hendaklah merancang program pendidikan untuk isteri dan anak-anak dengan cara yang lebih berkesan. Wujudkanlah suasana penuh harmoni di rumah, wujudkanlah mini perpustakaan, galakkan anak-anak rajin membaca dan rajin belajar. Kita sendiri mesti rajin membaca Al-quran, Al-hadis dan buku-buku agama, agar dicontohi anak-anak kita.

Nasihat dan tazkirah, hendaklah di beri kepada anak-anak secara berterusan, walaupun setiap kali ia disampaikan hanya mengambil sedikit waktu, kira-kira lima minit. Tazkirah dan nasihat daripada Al-quran, hadis, kisah para Rasul dan orang-orang soleh perlu disampaikan kepada isteri dan anak-anak sekurag-kurangnya sekali dalam sehari, iaitu selepas selesai solat subuh berjemaah atau selepas solat maghrib atau waktu lain yang difikirkan sesuai. Percayalah, batu yang keras jika menerima titisan air yang berterusan, lama kelamaan ia menjadi lekuk, inikan pula hati manusia, jika kita di beri nasihat yang berterusan, insyallah, ia akan menjadi lunak dan mahu tunduk kepada disiplin agama.

Kemudian, hendaklah kita selalu berdoa kepada Allah, sebagaimana yang di lakukan oleh Rasulullah Saw mendoakan Umar bin Al-Khattab yang degil, yang memusuhi Nabi dan memusuhi Islam, akhirnya doa Baginda diperkenankan, lalu Umar menganut agama Islam dan menjadi insan soleh serta berakhlak mulia.

(surah At-Taubah ayat 105 )

Comments

Popular posts from this blog