01/05/2006

Solat Jenazah

Solat Jenazah
Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 185 yang bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu". Kematian adalah perkara pasti dalam kehidupan seseorang. Kematian juga adalah suatu saat yang pasti akan ditempuh oleh setiap individu. Sebagai manusia kita tidak dapat melambatkan atau mempercepatkan kematian walaupun satu saat. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 34 yang bermaksud: "Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka di dahulukan".
Setiap kematian yang menimpa anak Adam yang beragama Islam hendaklah disempurnakan hak ke atasnya. lanya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Antaranya ialah dia perlu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Rasulullah SAW juga bersabda berkaitan ganjaran yang akan diperolehi bagi mereka yang turut serta solat bagi si mati yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengiringi jenazah kerana iman dan ikhlas, turut solat jenazah bersama-sama dan menyelenggarakan pengkebumiannya sehingga selesai, maka orang itu pulang membawa pahala dua qirat; satu qirat kira-kira sebesar Bukit Uhud. Dan sesiapa yang ikut solat jenazah sahaja kemudia dia pulang sebelum dimakamkan maka orang itu pulang membawa pahala satu qirat."
(HR Bukhari). Menerusi artikel ini pembaca akan didedahkan cara bagaimana solat jenazah itu dilaksanakan, apakah syarat-syaratnya dan segala yang berkaitan dengannya secara ringkas.

Apa itu solat jenazah!
Kematian adalah suatu perkara yang pasti berlaku atas setiap individu. Sekiranya kematian yang berlaku melibatkan ahli keluarga, orang yang rapat, disayangi dan dikenali, sudah semestinya seseorang itu ditimpa perasaan sedih, hiba dan merasai kehilangan. Berbeza dengan individu yang mati tetapi kita tidak mengenalinya, paling kurang kita hanya merasa simpati bagi pihak ahli keluarga yang ditinggalkan.
Namun apa yang pasti apabila mati seorang Islam maka mereka yang hidup hendaklah melakukan solat jenazah ke atasnya. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: "Dari Abu Hurairah r.a. katanya; Bahawa nabi Muhammad SAW bersabda (kepada orang-orang Islam yang hadir): sembahyangkanlah jenazah sahabat kamu ini."
(HR Bukhari dan Muslim)
Solat jenazah adalah solat yang dilakukan kepada si mati yang beragama Islam. Pada dasarnya solat jenazah mempunyai syarat yang sama dengan solat biasa. Apa yang berbeza adalah dari segi rukunnya kerana solat jenazah tidak mempunyai rukuk dan sujud.
Rukun solat jenazah terdiri daripada 7 iaitu:
Niat
Niat bermaksud berniat di hati semasa bertakbir (semasa takbiratui ihram) yang pertama. Sebagai contohnya sekiranya jenazah tersebut mayat lelaki maka lafaz niat ialah:
"sahaja aku solat mayat

lelaki ini empat takbir, fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah Taala." Begitu juga sekiranya mayat tersebut adalah perempuan, kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan maka niatnya adalah berbeza berdasarkan kategori mayat tersebut.
Berdiri bagi yang berupaya
Rukun kedua solat jenazah adalah berdiri betul. Walau bagaimanapun sekiranya seseorang itu uzur maka dia dibenarkan melakukan solat jenazah secara duduk.
Bertakbir empat takbir (termasuk takbiratui ihram)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dari Jabir bin Abdullah RA, "Bahawa Nabi Muhammad SAW telah bertakbir empat kali semasa menyem' bahyangkan jenazah dan membaca surah Fatihah sesudah takbir yang pertama (takbiratui ihram)".
Membaca surah al-Fatihah
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dari Talhah bin Abdullah bin
Auf ra katanya: Aku solat jenazah belakang Ibn Abbas, ternyata dia membaca surah al'Fatihah. Katanya supaya mereka tahu bahawa hal itu adalah sunnah." (HR Bukhari)
Membaca selawat
Selawat dilakukan setelah takbir kedua. Antara selawat yang boleh dibaca adalah selawat ke atas nabi yang bermaksud: "Ya Allah (Ya Tuhan Kami) limpahkanlah rahmat kepada nabi Muhammad"
Membaca doa untuk si mati
Selepas takbir yang ketiga, hendaklah membaca doa pada si mati agar memperolehi rahmat dan diampunkan segala dosa-dosanya.
Memberi salam
Memberi salam seperti salam sembahyang fardhu.
Cara Mengerjakan Solat Jenazah
Solat jenazah antara lelaki dan perempuan mempunyai perbezaan antara satu sama lain. Apa yang berbeza adalah dari segi kedudukan imam. Bagi jenazah lelaki, ketika melakukan solat jenazah imam berdiri di bahagian kepala jenazah manakala bagi jenazah perempuan imam berdiri searah dengan pinggang jenazah.
Solat Ghaib
Sekiranya seseorang yang mati itu berada jauh daripada tempat kita atau mustahil bagi kita pergi kerana masalah tertentu atau orang yang lemas dan tidak dijumpai maka kita masih boleh mengerjakan solat jenazah untuknya secara solat ghaib. Semasa kematian Najasyi (Raja Habsyi) Rasulullah SAW dan sahabat mengerjakan solat jenazah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rasulullah SAW memberi' tahu kepada jamaah tentang kematian Raja Najasyi pada hari kematiannya. Sesudah itu baginda pergi ke tempat sembahyang, lalu solat bersama dengan mereka ,nabi SAW takbir empat kali." (RH Bukhari). Selain itu sekiranya seseorang yang mati itu telah dikebumikan, maka orang yang masih hidup masih boleh menunaikan solat jenazah buatnya. Hal ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
"Dari Ibn Abbas R.A katanya: "Seorang lelaki telah meninggal pada waktu malam dan dia pernah diziarahi oleh Rasulullah SAW ketika dia sakit. Apabila telah subuh para sahabat memberitahu Rasulullah SAW akan kematian orang itu. Rasulullah SAW bertanya "mengapa tidak diberitahu kepadaku (sebelum ini)? Jawab mereka:
"Kami tidak memberitahu kerana ketika itu hari telah malam dan tidak mahu menyusahkan Rasulullah. Lalu beliau pergi ke kubur (orang itu) dan sesudah itu baliau solat (ghaib) atas orang yang meninggal itu." (HR Bukhari)
Kesimpulan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima, masa muda sebelum masa tua, masa sihat sebelum masa sakit, masa kaya sebelum papa, masa lapang sebelum masa sibuk, masa hidup sebelum mati. (HR Bukhari dan Muslim) Dari hadith tersebut bahawa sebagai manusia kita hendaklah menyedari nilai hidup di dunia ini seterusnya menghargai dan meman-faatkan segala peluang yang ada sebelum segala peluang itu ditarik daripada kita.

Petikan: Majalah Cahaya April, 2005
10:25 Posted in SUDUT AGAMA 1 | Permalink | Email this
http://promote5.blogspirit.com/archive/2006/05/01/solat-jenazah.html

Comments

Popular posts from this blog