KEBURUKAN AMALAN KHURAFAT

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita ke hadrat Allah swt dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat perlindungan pada hari pembalasan kelak.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah bahawa umat Islam dewasa ini masih lagi di belenggu dengan amalan khurafat dan 'tahyul' samada secara sedar atau tidak. Sebagai amalan karut-marut ini di lakukan dengan anggapan boleh menolak bala dan menghapuskan dosa. Ini ternyata bertentangan dengan ingatan Rasulullah saw melalui sabdanya :

(Hadis riwayat Bukhari).

Bermaksud : " Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudaratan burung hantu, tiada bala bencana bulan Safar, dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari dari singa."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

'Khurafat' bermaksud mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah saw. Ia tiada nas dan sandaran yang nyata dan lebih merupakan telahan atau pandangan yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Akal yang waras tidak boleh menerima hakikat ini, kerana setiap fitrah dan tabii'e telah di tentukan oleh Allah, malah ia sering di kaitkan dengan kerja-kerja syaitan, untuk memperdaya dan menyesatkan manusia ke arah kemungkaran dan berpaling dari petunjuk Allah yang benar dan lurus.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat 268 :

Bermaksud : " Syaitan itu menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh kamu kepada kejahatan, tetapi Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaan, dan ingatlah, Allah Maha Luas limpah rahmatnya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya."

Kalau di zaman Jahiliyah, mereka yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa alamat baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, maka mereka akan menangguhkan pemergian, kerana di takuti bala akan turun. Maka masyarakat kita lebih hebat lagi, apabila burung hantu berbunyi pada malam hari jumaat, kita di larang membuat bising atau menyahut bunyian itu, kerana sesiapa yang melakukannya, pasti akan meninggal dunia esok hari, malahan kita masih lagi menyebut : "Tabik Datuk, cucu-cicit tumpang lalu". Apabila melalui kawasan hutan yang sunyi dan gelap, berpokok besar dan objek-objek yang menggerunkan. Keadaan ini jelas bertentangan dengan hukum Islam dan boleh membawa kepada Syirik kepada Allah, kerana percaya selain daripada Allah. Firman Allah di dalam surah Al-A'raaf ayat 131 :

Bermaksud: " (Allah berfirman), ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Satu lagi amalan dan kepercayaan 'khurafat' yang masih berlaku khususnya di kalangan orang-orang tua ialah tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar, kerana berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat dan jodohnya tidak panjang. Ini nyata bercanggah dengan hukum Islam dan boleh menyebabkan rosak akidah. Sesungguhnya ajal maut, jodoh pertemuan segalanya adalah ketentuan Allah. Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 51 :

Bermaksud: " Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal."

Islam amat melarang keras umatnya percaya kepada 'khurafat',kerana ia menjejaskan kegiatan sosial, ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan dinamika serta martabat Islam yang Syumul. Apabila percaya kepada makhluk lain selain Allah, maka kita sudah hilang kepercayaan kepada rukun Islam keenam iaitu qada' dan qadar Allah swt.

Malah, kesan paling besar yang akan di hadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mensyirikkan Allah bererti kita mengiktiraf adanya makhluk lain yang serupa dengan Allah, sedangkan Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk sekalipun.

Sidang jumaat yang dihormati sekalin,

Satu lagi perkara 'khurafat' yang masih wujud dalam zaman milineum ini ialah percaya kepada bala yang akan menimpa jika tiak mengambil tindakan terhadap surat berantai yang di namakan wasiat Sheikh Ahmad. Sheikh Ahmad penjaga makam Rasulullah saw, mendakwa telah di datangi Rasulullah saw dalam mimpinya menceritakan bahawa ..., 6 umat Islam mati, tetapi tiada yang masuk syurga. Antaranya, isteri yang tidak patuh kepada suami, orang kaya tidak membantu si miskin, orang yang meninggalkan ajaran agama. Beliau lalu berpesan agar menyebarkan surat tersebut sebanyak 30 salinan kepada umat Islam, dan sesiapa yang ingkar akan di timpa bala.

Majlis fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 telah memutuskan menyebarkan surat ini termasuk dalam perkara menyekutukan Allah swt dengan syirik yang amat besar (syirik kubra'), mempermainkan Rasulullah, menyebar dengan niat tidak baik, menjadikan kekeliruan di kalangan umat Islam, sesiapa yang melakukannya boleh jatuh murtad, melainkan ia bertaubat dan menarik balik perbuatannya, terhadap sesiapa yang ia telah mengirim risalah tersebut Berdasarkan siasatan, di dapati surat ini ditulis oleh seorang paderi kristian dari St. Antonia USA. pada tahun 1975.

Oleh itu, di kesempatan ini saya menyeru kepada seluruh umat Islam yang hadir pada hari ini, bahawa sesiapa sahaja yang menerima surat berantai ini hendaklah mengabaikannya. Kalau dahulu surat surat ini dihantar melalui pos, maka dalam era teknologi ini, ia dikirim dalam bentuk e-mel melaui komputer yang ada di rumah kita. Sesiapa yang menerima dalam bentuk surat, maka hendaklah membakarnya. Manakala yang dihantar melalui komputer, hendaklah memusnahkannya.

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

'Khurafat' yang masih membelenggu kita adalah kerana akidah yang tidak mantap dan kefahaman tentang hukum-hakam Islam yang tipis. Sebagai seorang Islam, kita sewajarnya meminta sesuatu kepada Allah sebagai tempat pergantungan kita. Perkara-perkara ini hanya boleh di banteras jika kita berpegang teguh kepada ajaran Islam. Kita kembali menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Sekiranya sesuatu amalan itu tidak bertentangan dengan syariat, maka haruslah di lakukan.

Mengamalkan amalan khurafat memang tiada memberi manfaat, malah lebih menjuruskan kepada perkara negatif. Agenda memantapkan akidah merupakan..... utama agar kita tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan dengan menjadikan amalan khurafat sebagai pakaian harian. Apabila akidah sudah mantap, maka minda kita tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, minda masyarakat akan lebih terbuka. Berani merujuk kembali kepada sumber yang asal, mengolah dan menafsirnya semula. Ini merupakan jalan-jalan untuk mencerdaskan kembali minda umat Islam dan membebaskan diri dari segala belenggu fikrah yang lesu dan mati.

(Al-A'raaf: 33)

Bermaksud: " Katakanlah: Yang di haramkan Tuhanku, hanyalah segala yang keji, baik yang lahir mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada di beri keterangan kepadanya, dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tiada kamu ketahui."


Mufti Jbtn Selangor

Comments

Popular posts from this blog