Mengenali Orang Soleh

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah S.W.T. Moga-moga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang soleh kerana golongan ini akan dikurniakan Allah S.W.T. dengan sebaik-baik balasan di akhirat kelak serta ditempatkan didalam syurga yang penuh dengan segala nikmat yang tidak terperi dan tinggal kekal di dalamnya selama-lamanya. Syurga itu pula terdapat beberapa peringkat, orang yang tinggi sekali darjat amalnya akan ditempatkan pada peringkat-peringkat yang setinggi-tingginya.
Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Muslim yang soleh adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan As-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan muslim yang soleh, seseorang itu perlu memiliki ciri-ciri yang unggul sebagai seorang Islam iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang menyeluruh meliputi ibadat khusus dan ibadat umum yakni fardhu ain dan fardhu kifayah serta akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal soleh.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Keimanan kepada Allah adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat.

Firman Allah S.W.T.

Maksudnya : Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

Dalam ayat ini, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal soleh. Beriman kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manusia daripada menganggap diri mereka bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan kemudian mengaku tanpa sebarang syarat bahawa tiada tuhan melainkan Allah Nabi Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama iaitu kepercayaan yang jitu, pengetahuan yang mendalam dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan rohaniah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia.

Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang mempunyai keperibadian yang unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu sendiri ialah untuk beribadat kepadaNya.

Firman Allah S.W.T.

Maksudnya : Tidak aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepadaku.
(Az-Zariat : 56)

Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ianya bukan menyentuh fardhu ain semata-mata tapi merangkumi hubungan sesama manusia dan makhluk yang lain. Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan pencipta mahupun masyarakat dan makhluk yang lain adalah dianggap sebagai ibadah.

Allah S.A.W. telah berfirman :

Maksudnya : Sesunguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu yang khusyu' dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya ( dari perbuatan ) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatan kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam perkara ini tidak tercela.
( Al-Mukminum : 1 - 6)

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil daripada keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dan anggota masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh sesebuah anggota masyarakat. Sekiranya niai yang diamalkan itu nilai yang positif, nilai yang baik maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai dan harmoni dan diselubungi dengan roh Islam. Rasulullah S.A.W. adalah contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadis baginda telah bersabda yang bermaksud :

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia
(Riwayat Ahmad)

Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu yang unggul antaranya ialah amanah, ikhlas, tekun, berdisiplin, sentiasa bersyukur dan adil.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Orang yang soleh akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan rohani dan jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manusia yang terdiri daripada empat perkara iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar dan fungsi kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.

Akal fikiran yang diciptakan Allah S.W.T. merupakan mahkota berharga yang menampilkan imej manusia.Ia bekeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan antara baik dan yang buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikan kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah dan petunjuk Allah menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian-kejadian alam dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh orang lain.

Al-Quran menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudiannya akan menemui hakikat kebesaran Allah sebagai pencipta yang maha agung. Dengan itu, kita sebagai makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah dengan penuh kesedaran dan akan melalui kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredhaan Allah S.W.T.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Seseorang insan yang unggul akan mudah mengatur urusan kehidupan diri dan keluarganya. Ia dapat merencanakan soal-soal pendidikan, saraan, pergaulan dan pembangunan keluarganya dengan tarbiyah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya sebagai ra'i atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid atau hamba Allah yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan Penciptanya.

Seseorang insan yang soleh dan unggul akan memastikan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan di sekitarnya akan diasakan kepada panduan-panduan yang digariskan oleh Islam.

Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya : Dan berpegang teguhnya kamu sekelian kepada tali Allah ( agama Islam ) dan janganlah kamu berpecah-belah.

Dalam sebuah hadis baginda S.A.W bersabda yang bermaksud :

Hubungan orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain.


Disediakan Oleh,
Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Comments

Popular posts from this blog