Jadikan Diri Anak Kunci Kebaikan
Dipetik dari buku 71 Nota kepada Diri - Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz b Nik Mat Manusia tidak dapat mengelak daripada bertemu dan bersua dengan orang lain. Jika kita tidak berhajat berjumpat dengan orang lain, kemungkinan orang lain pula yang akan menemui kita. Setiap pertemuan yang dirancang pasti mempunyai tujuan, sama ada tujuan itu tergolong dalam perkara yang makruf ataupun sebaliknya. Hanya pertemuan yang berlaku secara spontan atau di luar jangkaan sahaja yang tidak mempunyai sebarang motif.
Setiap manusia mempunyai keperibadianya masing-masing. Mereka mempunyai identiti sendiri arau kerjaya yang tertentu. Jika dia seorang doktor perubatan, lazimnya para pesakit yang akan menemuinya bagi mendapat khidmat nasihat dan juga rawatan. Jika dia seorang alim, mungkin orang akan datang meminta khidmat beliau untuk menyampaikan ceramah atau nasihat agama. Jika dia seorang hartawan, pasti orang-orang miskin amat berhajat untuk menemuinya untuk mendapatkan pertolongan. Begitu juga, jika dia seorang penganjur pesta hiburan, hampir pasti yang akan datang mengunjunginya adalah golongan penghibur dan yang dahagakan hiburan.
Orang akan mengenali imej atau identiti sebenar seseorang hanya dengan melihat cara pergaulan dan jenis orang-orang yang digauli mereka. Jika mereka orang yang baik, orang-orang yang berada di sekeliling mereka dan yang akan menemui mereka lazimya daripada kalangan yang baik-baik serta mempunyai tujuan yang baik, sesuai dengan watak dan sikap orang yang hendak ditemui itu.
Seseorang yang mempunyai masalah, mereka pasti hanya akan menemui orang yang diyakini dapat menyelesaikan masalah mereka. Orang yang berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seseorang, mereka dianggap sebagai berjaya membuka peti permasalahan dengan anak kunci kebijaksaan yang ada pada dirinya.
Seseorang dapat dikenali dalam masyarakatnya hanya dengan melihat siapakah orang-orang yang kerap mengunjunginya kerana manusia sentiasa memiliki rakan dan sahabat yang sealiran cara hidup dengannya. Tidak mungkin seorang penipu menemui orang alim untuk mendapat nasihat tentang cara hidup menipu yang berkesan kerana mereka juga tahu bahawa orang yang baik tidak akan mengajarnya untuk melakukan kejahatan.
Sebaliknya orang yang berakhlak mulia, tidak mungkin menemui seorang kaki judi atau tahi arak untuk mendapatkan nasihat bagi memperbaiki diri kerana kedua-dua mereka mempunyai percanggahan yang nyata.
Pada lazimnya, orang jahat akan dikunjungi orang-orang yang jahat juga keranan mereka sealiran dalam fikiran dan tindakan. Ibarat pasangan kasut kiri dan kanan. Ia mempunyai ciri-ciri yang sama, menyebabkan mereka seiring jalan. Jika terpisah ia boleh menyebabkan yang sebelah lagi tidak berguna.
Sementara itu, orang-orang yang baik, berilmu dan berakhlak, seperti pasangan kasut itu juga, rakan-rakan dan sahabatnya juga serasi dan pasti mereka saling seiring jalan dan sama tujuan. Secara logiknya, dalam himpunan batang yang lurus jika terdapat sebatang yang bengkok pasti akan menghalang penyusunannya yang baik. Lantaran itu, yang bengkok mesti diluruskan atau dihindarkan jika tidak dapat diluruskan.
Bagaimanapun, ada kalanya orang-orang yang buruk perilakunya mengunjungi orang yang baik dan berakhlak. Kita harus berwaspada dengan keadaan sebegini selagi belum pasti apakah tujuannya. Mungkin mereka ada tujuan yang baik, ingin mendapat nasihat kerana mereka ingin menjadi orang yang baik. Jika benar, kebaikan orang tersebut telah menarik perhatian orang yang buruk perilakunya itu untuk mengubah keadaan dirinya.
Akan tetapi jika orang yang berperangai buruk itu hendak menpengaruhi orang yang baik agar turut melakukan kejahatan seperti mereka, maka langkah pertama yang perllu dilakukan oleh orang yang berakhlak mulia ialah menasihati orang tersebut agar tidak meneruskan sebarang pekerjaan buruk.
Setiap orang yang bermasalah jika menemui orang lain adalah disebabkan mereka menganggap bahawa orang itu akan dapat menolong mengatasi masalah mereka. Orang itu adalah ibarat anak kunci yang mampu membuka peti permasalahan mereka yang sukar diatasi. Setiap orang yang mampu menolong atau mengatasi masalah yang dikemukan oleh orang lain, ertinya dia memiliki anak kunci dan orang akan bertumpu kepadanya keran mereka menganggap bahawa permasalahan mereka akan terburai.
Sahal bi Sa'ad RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah orang yang dijadikan Allah SWT sebagai anak kunci kebajikan dan penyelak (penghalang) kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penyelak (penghalang) kepada kebaikan." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Hadis di atas mengungkapkan suatu tamsil ibarat untuk mengambarkan betapa setiap permasalahan ada kunci penyelesaiannya, tetapi seseorang harus memastikan bahawa dia akan menjadi anak kunci kepada setiap kerja kebajikan dan menutup rapat pintu kejahatan dengan menjadikan dirinya sebagai penyelak (penghalang) yang kukuh yang tidak memungkinkan sebarang kejahatan akan bertunas hasil daripada usaha tangannya.
Justeru, setiap masyarakat itu perlu dihuni oleh orang yang akan menjadi kunci kepada kebaikan semata-mata. Golongan ini amat diperlukan kerana di tangan mereka terletaknya islah atau usaha pembaikan dalam masyarakat.
Amat malang bagi sesuatu masyarakat yang dihuni oleh manusia yang sentiasa menjadi anak kunci kepada kejahatan dan menjadi penyelak (penghalang) kepada usaha makruf. Kepada golongan ini, Rasulullah SAW telah memberikan amaran yang keras bahawa malapetaka neraka sedang menunggu mereka.
Comments
Post a Comment