Mengenali Perwatakan Putera-Puteri Dunia
Dipetik dari buku 71 Nota kepada Diri - Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz b Nik Mat


Perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah SAW akan berlaku kepada umatnya ialah terlalu menuruti kehendak nafsu dan angan-angan yang panjang. Sesungguhnya angan-angan yang berlarutan akan mengakibatkan manusia lalai daripada mengingati Akhirat. Tidak ada pembetulan yang dapat dilakukan atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan, tetapi di sanalah tempat bagi manusia merasai kebahagian atau penyesalan yang tidak berkesudahan.

    Angan-angan tidak ada penghujungnya Ia tidak berjejak di alam nyata, malah banyak yang kosong semata-mata. Justeru angan-angan bukanlah cita-cita, kerana cita-cita memerlukan tindakan dan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang diimpikan. Sebaliknya, angan-angan hanyalah khalayan, ibarat lakonan di alam fantasi. Ia adalah seperti mengharungi lautan luas yang tidak berpantai.

    Orang yang terperangkap dalam angan-angan pasti lupa kepada tujuan hidup di dunia ini. Masa depannya hanyalah khayalan. Jikapun dia tahu tentang Akhirat, namun dia tidak begitu menyakininya. Apapun yang akan terjadi kepada dirinya di Akhirat kelak tidak pernah difikirkannya. Sekalipun ada pihak yang mengingatkan dia tentang perlunya membuat persediaan menghadapi hari Akhirat, dia tetap menganggap Akhirat itu masih terlalu jauh dan masa yang ada masih terlalu banyak.

    Golongan yang dilalaikan dengan angan-angan sentiasa menangguhkan amalan fardu atau amal kebajikan. Jika ketika itu telah masuk waktu solat fardu, apabila rakan-rakan mangajaknya pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah, dia akan menjawab; "Pergilah dulu". Demikian juga andainya dia mempunyai harta dan wang ringgit yang membolehnya menunaikan fardu haji, dia tidak akan berbuat demikian, sebaliknya akan menangguhnya dengan berbagai-bagai alasan.

    Manusia yang dilamun angan-angan tidak akan menjadualkan masa dalam kehidupan mereka. Masa adalah usia. Walaupun masa berlalu, namun dia tidak berasa usianya semakin susut dan terbuang secara sia-sia kerana lamunan angan-angan yang panjang. Dia tidak pernah terfikir bahawa kematian semakin menghampirinya.

    Umur manusia adalah antara anugerah Allah SWT yang amat berharga tetapi terbatas. Umur atau usia yang akan dipertanggungjawabkan ke atas diri seseorang di Akhirat kelak dan dia akan ditanya ke manakah umur itu dipergunakan.

    Usia bergerak pergi meninggalkan manusia seperti pergerakan bumi dan cakerawala yang lain, terus melangkah tanpa tangguh. Setelah usia berlalu, tiada siapapun yang dapat melambai dan mengajaknya kembali.

    Selain itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Akhirat juga bergerak mendatangi manusia. Apabila umur manusia berjalan pergi dan Akhirat melangkah mendatangi manusia, maka ini bererti akan semakin cepatlah pertemuan manusia dengan Akhirat itu. Ibarat dua orang menaiki dua kenderaan tan berbeza dari arah yang bertentangan di jalan raya. Walaupun kedua-duanya bergerak dari jarak yang jauh, namun oleh sebab kedua-duanya bergerak ke arah yang bertentangan, maka lebih cepatlah kenderaan tersebut bertemu.

    Gambaran itu begitu jelas bahawa manusia dan alam Akhirat akan bertemu segera kerana kedua-duanya sedang bergerak pantas untuk bertemu. Hanya orang yang sedang dilamun angan-angan sahaja yang tidak menyedari umurnya sedang bergerak pergi dan Akhirat pula kian mendatanginya. Angan-angan yang panjangan melalaikan mereka daripada menyedari hakikat ini.

    Orang yang berangan-angan panjang tidak akan memikirkan saat kedatangan Kiamat yang akan menghancurkan alam ini. Justeru, dia tidak pernah memikirkan persiapan bekalan yang patut disediakan semasa hidup di dunia bagi kepentingan Akhirat. Walaupun usia dunia ini adalah seperti orang tua yang sudah terlalu bongkok dan akan menemui ajalnya, namum orang yang sedang dilamun angan-angan tidak akan menyedari hakikat itu. Mereka akan terkejut besar sebaik sahaja dunia ini menemui ajalnya apabila Kiamat berlaku.

    Dunia mempunyai penyokong dan Akhirat juga ada pengikut maisng-masing. Kedua-duanya mempunyai putera-puteri masing-masing. Siapakah yang akan menjadi putera-puteri dunia serta penyokongnya dan siapa pula yang akan menjadi putera-puteri Akhirat dan penyokongnya? Kesemunya dapat dikenali melalui tingkah laku, sikap dan pendirian mereka kerana setiap pendirian dan sikap seseorang akan membuahkan tindakan.
    Siapakah putera-puteri dunia? Meraka adalah orang-orang yang mentaati hawa nafsu atau menjadikan nafsu sebagai tuhan. Mereka merasa bahagia terhadap seruan mungkar, menghayatinya dengan segala keupayaan diri dan kekuatan harta benda, serta berasa bahagia apabila berada dalam suasan mungkar itu. Mereka yang melakukan sebarang usaha hanya untuk kesenangan hidup di dunia yang sementara ini, adalah tergolong sebagai putera dunia.

    Putera-puteri dunia adalah mereka yang bergiat di sekeliling kehidupan duniawi tanpa menghubungkannya dengan Akhirat. Mereka memiliki kesenangan hanya untuk kepentingannya sendiri. Orang lain seolah-olah tidak ada kaitan dengan dirinya, sekalipun di sekeliling mereka ramai orang yang menderita.

    Sementara itu, putera-puteri Akhirat adalah orang yang kehidupannya berteraskah akidah yang sebenar serta amalan yang bersumberkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Putera-puteri Akhirat adalah orang yang mempertahankan Islam, sedia mempertaruhkan jiwa dan raga demi membela Islam, selain menghindari dan menerangi segala yang berbentuk mungkar serta maksiat.

    Putera-puteri dunia dan putera-puteri Akhirat mempunyai perbedaan yang jelas. Antara kedua-duanya yang berlainan anutan itu tidak mungkin bersatu.

Comments

Popular posts from this blog