Sikap Bakhil Mendatangkan Keburukan
Dipetik dari buku 71 Nota kepada Diri - Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz b Nik Mat

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, telah diterangkan balasan azab bagi orang-orang memiliki emas dan perak yang tidak menunaikan zakat. Bagaimana pula halnya pemilik unta yang tidak menunaikan zakat?"

    Jawab Rasulullah SAW: "Barang siapa yang mempunyai unta tetapi tidak menunaikan zakatnya, Tuhan akan mengumpulkan binatang itu di suatu padang tanpa tertinggal walaupun seekor pun. Binatang-binatang ternak itu  masing-masing memijak-mijak dan mengigit tuannya."

    Tanya sahabat itu lagi: "Bagaimana pula orang-orang yang memiliki lembu dan kambing yang tidak menunaikan zakatnya?"

    Jawab Rasulullah SAW: "Begitu juga dengan orang-orang yang memiliki lembu dan kambing. Mereka akan dilakukan seperti pemilik unta. Lembu dan kambing yang tidak ditunaikan zakatnya akan menanduk-nanduk dan memijak-mijak tuannya. Keadaan seperti itu berlaku sehingga selesai semua urusan mahkamah Akhirat."
    Sesungguhnya apa-apa jua jenis harta yang tidak ditunaikan zakat oleh pemiliknya, mereka tidak akan terlepas daripada azab Allah SWT. Pelbagai bentuk azab ditimpakan oleh Allah Taala terhadap manusia bakhil yang tidak menunaikan zakat itu, sesuai dengan harta benda yang dimilikinya. Jika harta emas dan perak, maka dijadikan kepingan logam yang dipanaskan ke dalam api neraka untuk diseterika muka, lambung dan belakang orang bakhil itu. Sekiranya harta daripada binatang ternak, azabnya seperti yang dijelaskan tadi.
    Segala azab yang ditimpakan terhadap kebakhilan manusia adalah bagi membalas keseronokan mereka yang berfoya-foya daripada harta zakat yang tidak ditunaikan. Bersenang-senang dengan harta yang tidak ditunaikan zakatnya, sudah pasti azab menunggu mereka sebagai giliran daripada kesenangan hidup di dunia disebabkan kebakhilan.

    Iman Bukhari, Muslim dan juga An-Nasa'i meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Barang siapa dikurniakan harta oleh Allah Taala sedangkan dia tidak mengeluarkan zakatnya, di Akhirat kelak akan ditukarkan harta-harta itu menjadi seekor ular besar yang sangat bisa. Ular tersebut akan membelit orang itu sehingga ke mulutnya, lalu ular itu berkata: "Aku adalah harta engkau yang tidak ditunaikan zakatnya".

    Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat Al-Quran: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang diberikan oleh Allah kepada mereka daripada kurniaan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya, kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan membelit lehernya pada hari kiamat..." (Ali Imran: 180)

    Dalam hadis Nabi SAW dan ayat 180 surah Ali Imran itu, Allah SWT dan juga Rasul-Nya tidak menyebut orang yang memiliki harta yang banyak itu dengan panggilan orang kaya, sebaliknya ia disebut dengan kalimah "orang-orang yang dikurniai harta oleh Allah Taala".

    Ungkapan ini sudah cukup untuk menyedarkan orang-orang yang beriman dan mereka yang mahu berfikir. Walau sebanyak mana harta yang dimiliki oleh manusia, namun mereka bukanlah hamba Allah SWT yang layak digelar kaya kerana harta tersebut hanyalah kurniaan dan pemberian Allah SWT. Sebaliknya Allah SWT itulah yang Maha Maha Kaya yang memiliki seluruh oleh perbendaharaan sehingga seluruh makhluk amat memerlukan kurniaan Allah Taala yang "Al-Aghniya", iaitu Yang Maha Kaya itu.

    Manusia adalah hamba yang fakir. Dia dilahirkan tanpa seurat benang yang membaluti tubuhnya. Tiada sebarang harta yang mengiringi kelahirannya ke dunia fana ini. Segala keperluannya disediakan oleh Allah SWT.

    Apa yang dimiliki oleh mereka walau seutas benang atau selembar kain yang menutup tubuhnya, adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah Taala. Tanpa kurniaan daripada Allah Yang Maha Kaya itu, nescaya manusia akan terdedah auratnya dan kebulur sepanjang hayat.

    Justeru, manusia tidak boleh mendabik dada sebagai hartawan atau jutawan sewaktu mereka memiliki harta-harta itu, kerana harta dunia ini hanya pinjaman. Hakikatnya, harta hanyalah amanah daripada Allah SWT.
    Mengapakah manusia sanggup bersikap bakhil dengan kurniaan Allah SWT? Kebakhilan itu menunjukkan bahawa manusia telah menjadikan harta kekayaan sebagai matlamat hidup sedangkan Islam hanya meletakkan harta sebagai alat bagi menyempurnakan keperluaan hidup.

    Hakikatnya, harta benda yang terhimpun oleh manusia sebanyak-banyaknya itu, hanyalah kurniaan Allah SWT jua. Justeru, dalam ayat 180 surah Ali Imran, Allah SWT mengingatkan manusia supaya jangan sekali-kali bakhil terhadap harta yang dikurniakan itu kerana ia akan mendatangkan keburukan.

    Keburukan yang terhadap di sebalik kebakhilan itu ialah, pertama, menyebabkan orang-orang yang berhak ke atas harta tersebut terhalang daripada menerima haknya, terutamanya kalangan kafir miskin dan orang-orang yang tergolong dalam asnaf yang lapan. Keadaan ini akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

    Keburukan berikutnya ialah azab yang akan ditimpakan terhadap si bakhil pada hari Akhirat. Dalam ayat 180 surah Ali Imran ini juga dijelaskan bahawa harta kurniaan Allah itu akan melilit leher mereka di Mahsyar kelak. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis Nabi SAW bahawa harta yang tidak ditunaikan zakatnya akan dijadikan sebagai ular yang besar dan amat bisa, bakal membelit leher si bakhil itu hingga ke lehernya, sehingga hancur luluh segala tulang-belulang si bakhil itu.

Comments

Popular posts from this blog