Sabar Adalah Perisai
Dipetik dari buku 71 Nota kepada Diri – Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz b Nik Mat
Melalui riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW melanjutkan nasihatnya kepada Ka’ab bin ‘Ujrah dengan sabda baginda: “Wahai Ka’ab bin ‘Ujrah, sesungguhnya solat itu adalah hujah (burhan).”
Apabila manusia berhadapan dengan mahkamah Allah SWT di Akhirat, masing-masing memerlukan hujah yang hak bagi mempertahankan diri daripada hukuman. Sebagaimana manusia memerlukan hujah atau bukti bagi mempertahankan diri daripada dakwaan di mahkamah dunia, maka tanpa bukti dan dalil akan menyulitkan seseorang membebaskan dirinya daripada pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.
Mahkamah Akhirat tidak memerlukan helah atau alasan yang hendak dikemukan secara lisan. Ini kerana lidah manusia tidak dapat membohongi kenyataan atau fakta-fakta yang telah nyata. Sebaliknya manusia memerlukan hujah daripada amal soleh yang dilakukan secara ikhlas terhadap Allah SWT.
Solat yang dilakukan dengan sempurna, dipenuhi rasa khusyuk dan ikhlas kepada Allah SWT semata-mata, akan tampil ke hadrat Allah Taala sebagai pembela. Solat akan berdiri di hadapan Allah SWT mempertahankan tuannya menyatakan kepada Tuhan bahawa sesungguhnya “aku” adalah solat yang dilakukan oleh si polan itu.
Oleh sebab itulah, dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW menyifatkan solat itu sebagai “tiang agama”. Ia mengukuhkan bangunan yang menjadi tempat tuannya bernaung. Sementara itu, orang yang meninggalkan solat atau mengabaikannya bererti mereka telah meruntuhkan agamanya. Apabila rumah sudah runtuh maka dia kehilangan tempat bernaung.
Justeru, solat yang dilakukan dengan sempurna akan menjadi hujah yang kuat untuk seseorang itu disenaraikan sebagai hamba Allah yang baik, soleh dan bertakwa. Orang yang banyak solatnya dan ditambah lagi denga solat-solat sunat yang lain, nescaya akan memiliki hujah yang banyak.
Solat mempunyai fungsi yang jelas; iaitu untuk mengingati Allah SWT dan untuk menghindarkan manusia daripada sifat keji dan mungkar. Jika seseorang menunaikan solat dan dalam masa yang sama mereka melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT, maka ini bermakna bahawa solatnya itu tidak memenuhi syarat seperti yang dikehendaki.
Mungkin solat yang dilakukan itu kerana riak, untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia ataupun kerana tidak memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang dikehendaki oelh syariat Allah. Solat secara ikut-ikutan tanpa mempelajari segala rukun dan syarat sahnya, maka ibadat solatnya hanya ibarat asap hitam yang berkepul yang hanya mencemarkan diri sendiri di hadapan Allah Taala.
Seterusnya Rasulullah SAW mengingatkan Ka’ab bin ‘Ujrah: “Sesungguhnya sabar itu adalah perisai.”
Perisai adalah alat pelindung diri, sama ada pada masa damai atau masa perang. Pada masa damai manusia perlu perlindungandaripada sebarang bahaya, termasuk jangkitan penyakit seperti AIDS dan lain-lain. Dalam masa perang, bagi pasukan bersenjata terutamanya, sudah semestinya mereka mempunyai pasukan perisai yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan.
Jika pada zaman sebelum manusia menggunakan senjata moden, mereka mencipta perisai daripada serangan musuh dengan membina kubu pertahanan. Mereka juga mencipta perisai untuk mengelakkan serangan senjata musuh seperti pedang atau panah dengan mencipta perisai daripada logam seperti besi ataupun kulit haiwan yang keras.
Pada zaman moden, manusia mencipta pelbagai jenis perisai, bukan sahaja mencipta kereta perisai atau kereta kebal
bagi menyelamatkan anggota tenteranya daripada serangan musuh, malah mereka mencipta perisai dengan menggunakan pesawat canggih yang mampu memintas serangan musuh sebelum senjata musuh menghampiri medan pertempuran.
Akan tetapi perisai untuk manusia menyelamatkan iman daripada serangan syaitan dan iblis maka Nabi menjelaskan bahawa manusia memerlukan perisai “sabar”.
Sabar ketika menerima ujian Allah SWT seperti menghadapi kemelaratan hidup disebabkan kemiskinan, kepayahan disebabkan suasana yang tidak aman, atau sabar menghadapi bala daripada Allah SWT. Manusia juga harus sabar dengan kemewahan hidup kerana tidak kurang juga manusia yang tidak dapat mengawal diri apabila mereka dianugerahkan kesenangan oleh Allah Taala. Malah ramai yang bersifat lebih teruk daripada ketika mereka hidup susah.
Bagi mereka yang memiliki sifat sabar, maka mereka tidak akan dijilat oleh api neraka kerana perisai sabar telah melindungi dirinya dengan izin Allah SWT.
Seterusnya Nabi SAW mengingatkan Ka’ab bin ‘Ujrah: “Sesungguhnya sedekah itu boleh memadamkan dosa ibarat air yang memadamkan api.”
Hampir setiap manusia melakukan dosa, maka berdasarkan nasihat Nabi SAW, antara ikhtiar untuk menghapuskan dosa (dosa kecil) ialah dengan bersedekah. Pengertian sedekah amat luas dan tidak terhad kepada sedekah harta benda dan wang ringgit sahaja. Malah membuang duri atau sampah-sarap di jalan juga adalah sedekah, menolong seseorang mengangkat barang ke kenderaan juga sedekah dan banyak lagi.
Bersedekah tidak semestinya bermakna seseorang itu akan kehilangan sesuatu apabila telah disedekahkan kepada orang lain. Contohnya memberikan nasihat atau mengajar ilmu kepada orang lain. Orang yang menerima nasihat, ilmunya akan bertambah, tetapi orang yang memberikan ilmunya tidak akan berkurangan, malah semakin bertambah. Namun apa yang penting, mereka telah melaksanakan sedekah itu.
Melalui riwayat At-Tarmizi itu juga, Nabi SAW meneruskan nasihatnya kepada Ka’ab bin ‘Ujrah dengan sabdanya: “Wahai Ka’ab, sesungguhnya daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api neraka lebih aula (utama) baginya.”
Hanya islam satu-satunya agama Allah SWT yang menggariskan soal halal haram, pahala dan dosa sedangkan undang-undang sekular ciptaan manusia bergantung sama ada seseorang itu dapat ditangkap dan dibuktikan salah di mahkamah, barulah dia akan terhukum. Akan tetapi undang-undang Allah SWT mengikat manusia dengan iman, mereka yakin dengan peraturan halal haram, pahala dan dosa.
Manusia tidak memakan makanan yang haram, sama ada zat benda itu yang haram ataupun cara mendapatkan rezeki itu dengan cara yang haram semata-mata kerana keimanan mereka terhadap Allah Taala, bukan kerana hukuman yang keras.
Dalam keadaan begitupun, jika manusia gentar dengan dosa dan api neraka, mereka mengikutkan dorongan nafsu makan dan minum apa-apa sahaja yang menjadi kegemarannya tanpa mempedulikan halal haram, dosa dan pahala, maka dalam nasihatnya kepada Ka’ab bin ‘Ujrah, Rasulullah SAW mengatakan bahawa daging yang tumbuh hasil daripada makanan yang haram itu tidak layak untuk memasuki syurga Allah SWT, sebaliknya neraka jahanam tempat yang paling sesuai untuknya.
Comments
Post a Comment