Jangan Buat Dosa

*


Firman Allah, "Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan disebabkan apa yang mereka telah kerjakan." (Surah Al An'aam : 120)

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman.

"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang kuat beribadah." (HR Abu Ya'la)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan laranganNya. Kita mudah lihat yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Bersembahyang tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat.

Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sempurna Islamnya ialah orang yang menyelamatkan orang islam yang lain dari gangguan lidahnya dan tangannya dan orang yang berhijrah sebenarnya ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah". (Riwayat Bukhari)


Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah

 Hakikat Dosa
*

Seorang hamba Allah, dikira berdosa, apabila dia tidak melakukan kerja atau tindakan taat kepada Allah Taala.

Sesorang hamba Allah itu dikatakan tidak melakukan kerja taat kepada Allah apabila tidak mengerjakan suruhan Allah atau melakukan kerja haram (perbuatam maksiat, kemungkaran atau sebarang larangan dalam agama Islam).

Setiap hamba Allah yang berdosa akan ditimpakan pembalasan seksaan (azab) daripada Allah s.w.t sama ada di akhirat, maupun di dunia. Allah Taala berfirman, maksudnya : "Dan sesungguh akan Kami rasakan kepada mereka (yang melakukan dosa) sebahagian azab yang dekat (di dunia) selain (sebelum) azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar) - (QS. al-Sajadah : 21).

Hamba Allah yang perbuatan dosanya tidak / belum mendapat keampunan Allah Taala atau dalam proses keampunan, sedang dalam pengkifaratan dosa misalnya, akan menerima pembalasan awal (terdekat) di dunia yang merupakan seksaan atau kecelakaan.
Pembalasan dosa akan membinasakan diri, seterusnya menjejaskan iman dan melupuskan takwa.

Berkata Imam al-Ghazali, maksudnya : Perbuatan maksiat itu adalah sebagai makanan yang memudharatkan badan manusia. Dosa-dosa yang terkumpul dalam diri manusia akhirnya meracuni jiwa keimanannya. Perbuatan dosa akan mengakibatkan kegelapan dalam hati kerana dosa itu menjadi kotoran atau karat di hati.

Allah Taala berfirman, mafhumnya, "Bahkan telah ternoda hati mereka (berkarat dengan noda sehingga menutupi hati) dengan apa yang mereka usahakan (dosa yang mereka lakukan)" - QS. al-Nuthaffifin : 14).

Karat dosa ini, jika tidak dikikis dengan taubat, lama-kelamaan akan bertambah tebal lalu menutup pintu hati dan sukar atau tidak mungkin dihapuskan lagi. Orang yang demikian hatinya, jika tidak mendapat rahmat Allah, akan hidup dan mati dalam kesesatan. Na'uzu billahi min zalik.

Demikianlah dosa itu akan menjadi hijab yang mendindingi perhubungan seseorang dengan Allah Taala, terjauh daripada rahmat Allah, tidak mendapat taufik dan hidayah-Nya untuk berbuat amal kebajikan. Orang yang banyak dosa dan berterusan dengan perlakuan dosa itu sehingga berkarat tebal adalah sukar untuk kembali ke jalan yang benar, malah sukar juga untuk memulakan taubat. Sebaliknya, dosa itu akan mendorong kepada perbuatan dosa yang lain, sama ada dilakukan dengan anggota badan (dosa zahir) atau dengan hati (dosa batin). Dosa yang baru ini mungkin lebih besar kecelakaannya. Secara lambat atau segera, hamba Allah yang berdosa itu akan menerima pembalasan di dunia :
(a) ditimpa penyakit,
(b) ditahan rezeki,
(c) merasakan diri terlepas daripada sebarang pembalasan kerana masih berterusan mendapat kemewahan dan keni'matan hidup, walaupun berterusan melakukan dosa, akan tetapi semuanya ini merupakan tindakan istidraj (pembalasan secara perlahan, sedikit demi sedikit) daripada Allah Taala yang tidak disedari oleh hamba Allah yang berkenaan.

Allah berfirman, "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik (mengazabkan) mereka secara beransur-ansur (istidraj) dengan cara yang tidak mereka ketahui - (QS. al-A'raf : 182).

Demikianlah kecelakaan akibat dosa yang perlu diketahui. Berkata Imam al-Ghazali, "Apabila kita dapat memahami semuanya ini, nescaya akan timbul di dalam hati rasa takut. Jika perasaan takut telah bertakhta di hati, akan mudahlah kita menanggung kesabaran dengan berkatnya. Pertolongan Allah Taala dan taufik-Nya akan menyusul sesudah itu".

Wallahu a'lam.


Penulis: Muhammad Isa al-Jambuli
muhd_isa@tm.net.my
 
 http://lenggangkangkung-my.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog