PUTARAN HIDUP
Setiap kehidupan manusia itu seumpama roda yang sering berputar.
Setiap manusia pasti akan berada di bawah mahupun di atas dalam sesuatu
masa yang telah ditetapkan olehNya.
Menjadi lumrah dan fitrah kehidupan manusia apabila mereka berada di
atas, mereka sering lupa dan alpa dengan kesenangan dan kenikmatan yang
mereka kecapi. Mereka lalai dengan keseronokan yang mereka nikmati
sehingga mereka terlupa melakukan tanggungjawab asas mereka kepada Sang
Pencipta mereka iaitu Allah SWT seperti tanggungjawab menunaikan solat
lima waktu, menunaikan zakat, menginfakkan sebahagian hartanya ke jalan
Allah dan sebagainya mengikut tuntutan syariatNya.
Tetapi mereka yang berada di bawah tidak henti–henti bersyukur
kepadaNya oleh sebab kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh mereka,
walaupun hanya sekelumit nikmat yang mereka nikmati. Begitulah lumrah
kehidupan manusia.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara
sebelum datangnya lima perkara. Pertama; masa sihat sebelum sakit.
Kedua; masa kaya sebelum datang masa sempit (miskin). Ketiga; masa
lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat; masa mudamu sebelum datang masa
tua dan kelima; masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim
dan al-Baihaqi).
Hadis itu jelas menunjukkan peringatan daripada Nabi SAW kepada
umatnya supaya memanfaatkan kelima-lima nikmat yang diberikan oleh Tuhan
supaya semasa sedang kita masih sihat, lakukanlah seberapa banyak amal
ibadat yang boleh kita lakukan seperti solat lima waktu, bersedekah,
berbakti kepada kedua ibu bapa dan sebagainya sebelum kita terlantar
sakit dan terbaring tanpa dapat melakukan amal ibadat sebagaimana orang
yang sihat dapat melakukannya.
Seterusnya, ialah masa kaya di mana segala kekayaan yang diperolehi
oleh manusia itu perlulah dibelanjakan dengan sebaiknya iaitu dengan
membelanjakan harta ke jalan Allah sebelum kekayaan itu ditarik oleh
Allah SWT dan menjadi miskin akibat sifat tamak dan riak manusia yang
tidak bersyukur kepadaNya.
Selain itu, ketika kita masih mempunyai masa lapang, kita haruslah
melakukan aktiviti–aktiviti ukhrawi sebagai bekalan kita di akhirat
sebelum kita disibukkan dengan urusan–urusan duniawi. Bukan itu sahaja,
ketika usia kita masih lagi muda, manfaatkanlah dunia remaja kita dengan
melakukan perkara–perkara yang bermanfaat serta yang diredhai olehNya.
Dikhuatiri apabila kita sudah menjengah ke alam tua, kita akan menyesal
kerana tidak dapat memanfaatkan usia muda kita dengan sebaiknya.
Kemudian yang terakhir, selagi hayat dikandung badan janganlah kita
mensia-siakan kehidupan kita dengan melakukan perkara–perkara yang tidak
berfaedah serta perkara yang tidak diredhai olehNya sebelum malaikat
maut menjemput kita ke alam barzakh. Ajal dan maut tidak pernah mengenal
usia atau umur seseorang manusia itu.
Sungguh indah peringatan yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada
umatnya. Sama–samalah kita menghayati dan merenung pengertian hadis ini
dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian kita.
Akhir sekali, saya suka memetik kata-kata daripada sahabat baik saya
iaitu "Apabila orang di atas membaling batu kepada orang di bawah, orang
di bawah pasti akan melihat di atas untuk melihat siapa yang
melakukannya. Manakala apabila orang di atas membaling wang kepada orang
di bawah, orang di bawah pasti akan mengambil wang tersebut tanpa
menghiraukan siapakah yang membalingnya". Kata–kata ini menjelaskan
apabila kita ditimpa kesusahan, kita pasti akan kembali kepadaNya,
tetapi sekiranya kita diberi nikmat kesenangan, kita pasti lalai dan
lupa siapa Pemberinya.
Wallahualam.
http://www.iluvislam.com
Comments
Post a Comment