Tips Khusyuk Di Dalam Solat
Pengenalan
Solat merupakan ibadah terpenting di dalam Islam. Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. memuji hamba2Nya yang khusyuk di dalam solat. Mereka yang khusyuk di dalam solat adalah tergolong di dalam golongan yang berjaya di sisi Allah S.W.T. Dalam kehidupan, kita hendakkan kejayaan dalam apa sahaja pekerjaan yang dilakukan. Tetapi di dalam uruasan yang berkaitan dengan akhirat, kenapa kita tidak mengambil perhatian akannya? Dalam coretan ringkas ini, penulis akan membincangkan sedikit sebanyak beberapa tips untuk membolehkan kita khusyuk di dalam solat, agar kita memperolehi keredaan Allah S.W.T.
Makna Khusyuk Di Dalam Solat
Khusyuk merupakan amalan hati berdasarkan hadith: "الخشوع في القلب" (diriwayatkan oleh al-Hakim). Di dalam Subul al-Salam turut disebutkan pekara yang sama iaitu khusyuk merupakan amalan hati kerana berdasarkan hadith yang lain iaitu: "لو خشع قلب هذا لخشعت جوارحه", dan hadith: "وأعوذ بك من قلب لا يخشع". Ini bermakna, untuk menjadikan zahir kita khusyuk di dalam solat, maka perlu diberi perhatian kepada hati terlebih dahulu agar ianya khusyuk.
Terdapat pelbagai pandangan oleh para salaf saleh berkaitan dengan makna khusyuk di dalam solat. Apa2 pun kepelbagaian pandangan tersebut merupakan perbezaan dari sudut memberikan pengertian kepada makna khusyuk di dalam solat, manakala dari sudut intipatinya adalah sama sahaja antara mereka iaitu khusyuk mestilah melibatkan perkara zahir dan batin seseorang sebagaimana yang telah dibincangkan di atas. Diriwayatkan daripada Ibn `Abbas dalam menafsirkan firman Allah S.W.T.: "الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ", beliau mengatakan bahawa maksud khusyuk ialah mereka yang takut kepada Allah dan tenang dalam melakukan ibadah solat. Sayyidina `Ali menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa khusyuk itu terletak di dalam hati, tidak menoleh ketika solat kerana tolehan itu dari sudut zahir menunjukkan seseorang itu tidak khusyuk dari sudut batin. Satu ketika Sa`id bin al-Musayyib melihat seorang lelaki memain-mainkan janggutnya di dalam solat, lalu Sa`id bin al-Musayyib berkata sekiranya khusyuk hati orang itu, sudah tentu anggota badannya akan turut khusyuk. Berdasarkan kepada pandangan Sayyidina `Ali dan juga Sa`id bin al-Musayyib menunjukkan bahawa menurut mereka, tanda orang khusyuk itu ialah segala anggota badannya tidak bergerak ketika solat.
Namun demikian, berdasarkan hadith Nabi s.a.w., tidak menggerakkan langsung anggota badan di dalam solat bukanlah satu piawaian untuk mengatakan seseorang itu tidak khusyuk di dalam solat. Ini kerana di dalam satu hadith daripada `Umar bin Hurayth di dalam Sunan al-Bayhaqi disebutkan bahawa kadangkala ketika solat Rasulullah s.a.w. memegang janggutnya. Lafaz hadith itu berbunyi: "كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُبَّمَا مَسَّ لِحْيَتَهُ وَهُوَ يُصَلِّي". Di dalam al-Kamil oleh Ibn `Adi menerusi riwayat Ibn `Umar mengatakan bahawa kadangkala Rasulullah s.a.w. meletakkan sebelah tangan di atas janggutnya ketika solat tanpa memain-mainkan janggut itu. Berdasarkan hadith ini, perbezaan antara orang yang dilihat oleh Sa`id bin al-Musayyib yang sedang solat dan solat Rasulullah s.a.w. ialah lelaki tersebut memainkan janggutnya, manakala baginda s.a.w. pula hanya meletakkan tangan di atas janggutnya tanpa memain-mainkannya. Ini menunjukkan bahawa pergerakan yang sedikit dibolehkan di dalam solat asalkan pergerakan tersebut bukan merupakan pergerakan yang besar yang boleh mengganggu khusyuk seseorang di dalam solat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadith.
Berdasarkan pemahaman para sahabat serta hadith yang dibawakan di atas, ada yang mengatakan bahawa khusyuk itu ialah tenang, diam, serta tidak bergerak di dalam solat. Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah yang marfu` iaitu: " اُسْكُنُوا فِي الصَّلَاةِ ". Ada yang mengatakan bahawa khuyuk itu ialah takut kepada Allah S.W.T. Kita boleh mengambil pandangan ini kerana apabila seseorang itu takut kepada Allah S.W.T. di dalam solatnya, sudah tentu ia tidak akan melakukan perbuatan yang dimurkai Allah, dan melakukan dengan tekun ibadah solat. Qatadah mengatakan bahawa khusyuk itu terletaknya di dalam hati, serta memfokuskan pandangan di dalam solat. Memfokuskan pandangan bermaksud tidak melihat kiri dan kanan ketika solat. Ada yang mengatakan bahawa khusyuk itu ialah menundukkan kepala ke tanah ketika solat. Terdapat satu hadith daripada Abu Hurayrah bahawa apabila Rasulullah s.a.w. solat, maka baginda s.a.w. mendongak kepalanya ke langit, lalu turun firman Allah Taala: "الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ", setelah turunnya ayat ini maka baginda s.a.w. pun menundukkan kepalanya ketika solat. Ada yang mengatakan bahawa khusyuk ketika solat itu ialah seseorang tidak berkata-kata di dalam hati sebagaimana yang terdapat pada hadith `Uthman muttafaq `alayh yang berbunyi: "مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ".
Berdasarkan kepada pandangan para salaf soleh di atas berkaitan dengan khusyuk, maka khusyuk ini perlu melibatkan zahir dan batin seseorang ketika ia solat. Dari sudut zahir, anggota badannya mestilah tenang, serta tidak banyak melakukan pergerakan, pandangannya pula ditundukkan ke bawah. Para ulama mencadangkan agar seseorang itu melihat tempat sujud ketika solat. Dari sudut batin pula, hatinya mesti merasai gerun kepada Allah S.W.T. serta tidak bercakap-cakap seorang diri di dalam hati. Maksudnya ialah tidak memikirkan yang bukan-bukan di dalam hati.Penulis merasakan bahawa berkata-kata di dalam hati banyak dilakukan oleh umat Islam ketika solat, sehingga boleh melalaikannya daripada memberi fokus kepada solat.
(Sumber: Tarh al-Tathrib, Fa'idah Bayan al-Khushu` Fi al-Salah; Subul al-Salam, Bab al-Haththt `Ala al-Khushu` Fi al-Salah).
Galakan Syarak Agar Seseorang Itu Khusyuk Di dalam Solat
Setiap kehidupan mempunyai ruh, sekiranya tiada ruh maka tiada ertinya sesuatu jasad. Begitu juga dengan solat, ruh bagi solat adalah khusyuk. Apabila tiada khusyuk di dalam solat, maka tinggallah solat itu dari sudut zahir sahaja, tanpa disertai oleh satu aspek yang sangat penting iaitu ruh solat. Oleh yang demikian, seseorang muslim itu perlu berusaha agar solat yang dikerjakannya itu disertai oleh rasa khusyuk. Langkah utama yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim ialah memohon kepada Allah S.W.T. agar ia boleh memperolehi khusyuk di dalam solat. Perlu diberi perhatian oleh seseorang muslim bahawa mengerjakan solat tanpa disertai oleh khusyuk maka solat yang dikerjakannya itu tidak akan mendatangkan hasil. Antara natijah dari solat yang khusyuk ialah dapat menahan seseorang itu daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Seseorang yang tidak khusyuk di dalam solatnya, tidak akan merasai lazatnya bermunajat kepada Allah S.W.T. Bermunajat kepada Allah S.W.T. merupakan satu perkara yang paling lazat dirasai oleh orang mukmin. Bagi orang yang tidak khusyuk di dalam solat, serta memikirkan perkara dunia di dalam solat, maka pahala solatnya semakin berkurangan. Abu Dawud meriwayatkan hadith di dalam sunannya daripada `Ammar bin Yasir bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"إن الرجل لينصرف من صلاته ولم يكتب له منها إلا نصفها إلا ثلثها إلا ربعها إلا خمسها إلا سدسها حتى قال: إلا عشرها"
Ibn `Abbas berkata, kamu tidak akan
memperolehi apa2 dari solat kamu melainkan terhadap apa yang kamu
fikirkan mengenai perkara yang berkaitan dengan solat. Ini bermakna,
apabila kita memikirkan mengenai dunia di dalam solat, maka kita tidak
memperolehi apa2 dari solat. Tidak memperolehi apa2 itu ialah dari sudut
pahala yang tidak diperolehi daripada solat yang dikerjakan. Memikirkan
hal yang berkaitan dengan dunia tidak lain dan tidak bukan akan
menyebabkan seseorang itu lalai di dalam solat.
Khusyuk di dalam solat merupakan satu perkara yang agak sukar dilakukan. Apabila ia sukar tidak bermakna kita tidak boleh melakukannya serta mengabaikannya. Oleh kerana ianya sukar, maka syarak tidak menjadikan khusyuk di dalam solat sebagai satu syarat untuk sahnya solat. Oleh yang demikian, apabila seseorang itu tidak khusyuk di dalam solat, maka solatnya tetap sah asalkan dia tidak melakukan perbuatan atau percakapan yang boleh membatalkan solatnya. Walaupun demikian, khusyuk di dalam solat merupakan satu perkara yang sangat dituntut oleh syarak.
Firman Allah S.W.T.: "قَدْ أَفْلَحَ المؤْمِنُوْنَ . الذِيْنَ هُمْ في صَلاتِهِمْ خَاشِعُوْنَ", dan firman Allah S.W.T.: "واسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ والصَّلاةِ وإنَّهَا لَكَبِيْرَةٌ إلا عَلَى الخَاشِعِيْنَ. الذِيْنَ يَظُنُّوْنَ أَنَّهُمْ مُلاقُوْ رَبِّهِمْ وأَنَّهُمْ إلَيْهِ رَاجِعُوْن ", daripada kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa syarak begitu mengambil perhatian akan khusyuk di dalam solat. Pada ayat pertama menerangkan bahawa orang yang khusyuk di dalam solat akan memperolehi kebahagian, manakala ayat kedua pula menunjukkan bahawa urusan solat ini merupakan satu perkara yang besar, serta orang yang boleh melaksanakannya hanyalah orang yang khusyuk sahaja iaitu orang yang mengingati hari akhirat. `Uthman r.a. menceritakan:
"...
فدعا بوَضُوءٍ فقال: سمعت رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يقول: ما من
امرئ مسلمٍ تحضُره صلاةٌ مكتوبةٌ فيُحسن وضوءَها وخشوعها وركوعها إلا كانت
كفارةً لِما قبلها من الذنوب ما لم يُؤت كبيرة، وذلك الدهرَ كلَّه"
Berdasarkan
hadith ini, menunjukkan bahawa orang yang khusyuk di dalam solat,
menyebabkan dosa yang dilakukannya terdahulu dihapuskan selagi mana ia
tidak melakukan dosa besar.
Daripada `Ubadah bin al-Samit r.a. beliau berakata:
" أشهدُ
سمعتُ رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يقول «خمس صلوات افترضهن اللهُ
على عباده، مَنْ أحسن وضوءَهن وصلاَّهن لوقتهن، فأتمَّ ركوعهن وسجودهن
وخشوعهن كان له عند الله عهد أن يغفر له، ومن لم يفعل فليس له عند الله
عهد، إن شاء غفر له وإن شاء عذَّبه»"
Berdasarkan
hadith ini menunjukkan bahawa khusyuk di dalam solat merupakan satu
jaminan untuk Allah S.W.T. ampunkan dosa seseorang. Apabila ia tidak
khusyuk, maka ianya terserah kepada Allah sama ada Dia ingin
mengampunkan dosa orang itu atau tidak.
Dari sudut hukum khusyuk di dalam
solat, maka ianya diperselisihkan di kalangan ulama. Menurut jumhur
ulama, khusyuk di dalam solat adalah satu perkara yang tidak wajib.
al-Nawawi mengatakan para ulama telah ijmak untuk mengatakan bahawa
khusyuk di dalam solat adalah tidak wajib. Menurut Hisam al-Din `Ifanah,
hukum bagi khusyuk di dalam solat adalah sunat menurut jumhur ulama.
Oleh yang demikian, sesiapa yang memikirkan mengenai dunia ketika solat,
maka sah solatnya.
Dalam hal memikirkan perkara yang
berkaitan dengan dunia di dalam solat, maka beberapa ahli ilmu mempunyai
beberapa pandangan mengenainya. Sekiranya lalai di dalam solat kerana
memikirkan hal yang berkaitan dengan dunia lebih sedikit bahagiannya
berbanding khuysuk, maka pahala solat yang dikerjakannya adalah
berkurangan berbanding orang yang khusyuk sepenuhnya. Bagi mereka yang
memikirkan hal berkaitan dunia melebihi fikirannya terhadap solat, maka
di kalangan ahli ilmu mempunyai dua pandangan. 1) Dari sudut batin,
tidak sah solat seseorang itu, tapi dari sudut zahir sah solatnya. Ini
kerana solat yang dikerjakan tanpa khusyuk tidak mendatangkan hasil.
Ianya sama seperti orang yang melakukan ibadah kerana riya'. Pandangan
ini yang dipegang oleh al-Ghazali. Menrut beliau, tidak sah solat ini
dari sudut batin, oleh yang demikian solatnya tidak terlepas di sisi
Allah S.W.T. 2) Walaupun seseorang itu tidak memperolehi sebarang pahala
dari solatnya kerana terlampau memikirkan hal keduniaan, solatnya tetap
sah dari sudut zahir mahupun batin. Ianya sama seperti orang berpuasa
yang tidak meninggalkan kata dusta dan beramal dengan kata dusta itu,
maka puasa yang dikerjakannya itu tetap sah dari sudut zahir dan batin
walaupun puasa yang dikerjakannya tidak mendatangkan sebarang pahala
melainkan lapar dan dahaga sahaja. Inilah yang dipegang oleh kebanyakan
ahli ilmu, antaranya ialah imam empat mazhab. Pandangan kedua inilah
yang sahih kerana berdasarkan kepada nas-nas yang berkaitan dengannya,
pahala akan diperolehi oleh seseorang disebabkan ia mengerjakan ibadah
dengan khusyuk. Khusyuk merupakan syarat untuk seseorang itu memperolehi
pahala di sisi Allah S.W.T. Oleh yang demikian sekiranya ia tidak
khusyuk, ia tidak diperintahkan untuk mengulangi ibadah yang telah
dikerjakannya.
(Sumber: al-Jami` Li Ahkam al-Salah; Subul al-Salam; Bab al-Haththt `Ala al-Khushu` Fi al-Salah; Hisam al-Din `Ifanah, Fatawa Yas'alunaka, Bab al-Khusyuk Fi al-Salah; Fatawa al-Shubkah al-Islamiyyah Mu`addalah, al-Umur al-Lati Tusa`id `Ala al-Khushu` Fi al-Salah; Fatawa al-Shubkah al-Islamiyyah Mu`addalah, Bab Tarak al-Khushu` Fi al-Salah Wa Hukmuh).
Tips Untuk Khusyuk Di Dalam Solat
Antara perkara-perkara yang perlu diamalkan bagi menghadirkan hati di dalam solat ialah:
1) Seseorang itu perlu menyedari
bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah S.W.T. yang mengetahui segala
isi hati manusia dan apa yang tersembunyi di dalamnya. Ketika solat,
seseorang itu bermunajat kepada Tuhannya, maka adalah tidak layak
anggota badannya hadir tetapi hatinya tidak hadir. Setiap kali ia ingin
solat, maka ia mesti menghadirkan hatinya bahawa ia sedang berhadapan
dengan Tuhannya. Ia mesti berkata di dalam hati bahawa Allah adalah Maha
Besar, dan Allah Maha Besar daripada segala urusan dunia mahupun
akhirat. Setelah itu ia mohon dihidarkan daripada gangguan syaitan yang
direjam.
2) Dia perlu memusatkan
pemikirannya ketika solat dan jangan memikirkan perkara lain yang tiada
kaitan dengan solat. Apabila dia membaca Fatihah di dalam solat dan
surah selepasnya, ia perlulah membacanya dengan penuh perhatian. Ketika
membaca Fatihah dan surah selepasnya, ia perlu membacanya dengan tidak
gopoh-gapah, ini kerana dengan gopoh gapah akan menyebabkan kemanisan
khusyuk di dalam solat tidak akan dirasainya.
3)
Anggota badannya mestilah duduk dalam keadaan tenang, tidak banyak
bergerak, serta tidak bermain-main dengan sesuatu yang terdapat pada
pakaian atau anggota badannya seperti janggut dsb.
4)
Memerhatikan bacaan yang dibaca di dalam solat. Dengan mengamalkan ini,
maka ianya akan menyempurnakan erti khusyuk di dalam solat. Bagi mereka
yang tidak memahami apa yang dibacanya, maka ia perlu memerhatikan dari
sudut makhraj dan tajwid. Bagi mereka yang memahami bacaan di dalam solat, maka mereka digalakkan memerhatikan maknanya.
5)
Selain daripada perkara yang telah disebutkan di atas, sebelum
seseorang itu memulakan solat, ia mestilah memastikan bahawa ianya telah
menyempurnakan wuduknya serta menjauhkan diri daripada tempat yang
boleh menimbulkan was-was di dalam diri. Ini kerana wuduk merupakan
syarat sah solat seseorang. Bagi menghindarkan diri daripada was-was
syaitan, maka ia perlu memohon kepada Allah S.W.T. agar dihindarkan diri
daripada gangguan syaitan, serta membaca mu`awwidhatayn yang terkandung di dalam zikir-zikir pada waktu pagi dan petang.
6)
Di luar solat, seseorang itu perlu menghindarkan diri daripada
dosa-dosa besar, kerana dosa besar akan mewarisi kegelapan hati serta
lalai daripada mengingati Allah S.W.T.
7)
Sentiasa duduk di dalam majlis orang soleh serta berkawan dengan
mereka, saling bantu membantu dalam melakukan kebaikan. Menjauhi
berkawan dengan orang jahat serta pelaku kemungkaran. Ini kerana dengan
berkawan dengan mereka akan menyebabkan seseorang itu akan ditimpa
akibat yang buruk.
8)
Memperbanyakkan berzikir kepada Allah S.W.T., membaca al-Quran, membaca
hadith-hadith Nabi s.a.w. kerana pembacaan kesemua ini akan melembutkan
hati, akan melahirkan rasa takut kepada Allah S.W.T. serta akan menarik
sifat khusyuk di dalam melakukan ibadah.
9)
Mohon perlindungan daripada Allah S.W.T. daripada terlampau mencintai
urusan dunia, serta menjadikan cinta kita kepada akhirat melebihi cinta
kita kepada dunia. Memohon juga kepada Allah S.W.T. agar kita termasuk
di dalam golongan mereka yang khusyuk di dalam solat.
(Sumber: Hisam al-Din bin `Ifanah, Fatawa
Yas'alunaka, Bab al-Khushu` Fi al-Salah; Fatawa al-Shubkah
al-Islamiyyah Mu`addalah, Bab Tadabbur al-Tilawah Wa al-Shu`ur Bi
al-Ru'yah Allah Li al-`Abd Yu`in `Ala al-Khuyu` Fi al-Salah)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas bermakna khusyuk di dalam solat merupakan satu perkara yang sangat penting. Ini kerana khusyuk merupakan ruh bagi solat sepertimana ruh seseorang bagi sesuatu jasad. Apabila tiada khusyuk di dalam solat, maka ianya tidak akan menghasilkan pahala bagi seseorang yang mengerjakan solat. Alangkah ruginya seseorang yang mengerjakan solat tetapi ia tidak memperolehi pahala dari solat yang dikerjakannya serta solat yang dikerjakan pula tidak mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang khusyuk di dalam solat. Wallahua`lam.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas bermakna khusyuk di dalam solat merupakan satu perkara yang sangat penting. Ini kerana khusyuk merupakan ruh bagi solat sepertimana ruh seseorang bagi sesuatu jasad. Apabila tiada khusyuk di dalam solat, maka ianya tidak akan menghasilkan pahala bagi seseorang yang mengerjakan solat. Alangkah ruginya seseorang yang mengerjakan solat tetapi ia tidak memperolehi pahala dari solat yang dikerjakannya serta solat yang dikerjakan pula tidak mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang khusyuk di dalam solat. Wallahua`lam.
http://fikahhadith.blogspot.com
Comments
Post a Comment