Zulhijjah & IdilAdha :
Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan
Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang
kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan,
keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).
Majoriti
ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga
sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad,
Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada
hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya
memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).
AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia
bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam
Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan
berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta
memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.."
(Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa :
Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang
yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari
yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi
SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini
menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan seperti
bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya
termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh
Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan
masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih
berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria
dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT
ini.
Bertawbatlah
dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara
dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم
Ertinya
: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada
hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat
At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang
dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta.
Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu
Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain,
kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang
berkemampuan.[1]
Bagi
menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk
melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia
berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya
: Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk
sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau
kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun
ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah
meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli
binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a
menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu
masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis
tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN
TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu
disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa
sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala
Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia
adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]
Adalah
diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT
semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya
untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن
يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ
التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ
عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya
: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai
(keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu
mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar
gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
KONGSI LEMBU
Harus
hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan
dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith
Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها
Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"
MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG QURBAN
Majoriti
ulama mengharuskannya mankala tegahan untuk mematahkan tulang hanya di
dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi
berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi
السنة شاتان مكافئتان عن الغلام وعن الجارية شاة, تطبخ جدولا, لا يكسر لها عظم
Ertinya
: Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi
perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan tulangnya. ( Riwayat Al-Bayhaqi
dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan Qurban.
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang
terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri,
kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
QURBAN DI LUAR KAWASAN
GABUNG QURBAN DAN AQIQAH
وَظَاهِرُ
كَلَامِ َالْأَصْحَابِ أَنَّهُ لَوْ نَوَى بِشَاةٍ الْأُضْحِيَّةَ
وَالْعَقِيقَةَ لَمْ تَحْصُلْ وَاحِدَةٌ مِنْهُمَا ، وَهُوَ ظَاهِرٌ ;
لِأَنَّ كُلًّا مِنْهُمَا سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ
Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika
diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA
DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya
sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah
yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn
Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara
pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]
UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN
Bagaimanapun
DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas
usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus
jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara
sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun
tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil
Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
DIBENARKAN
untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari
berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama
berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM,
ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya
sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.
BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini.
Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau
melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh
janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika
ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti
hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala
itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang
tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang
dijanjikan.
Jika
tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan
datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu
barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia
amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut
majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika
disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi
hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga
menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak
wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian
hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.
SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM
QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai
yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah
syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor
lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah
korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk
individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia.
Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI
menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika
itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang
ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat
terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan
bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK
DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi
oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu
manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau
bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika
pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah
meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga
pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi
individu.
BINATANG YANG DIKONGSI
a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau
Dalilnya dari hadis :
(شرك رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته بين المسلمين في البقرة سبعة ( رواه أحمد. وهو قول أكثر أهل العلم
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.
KONGSI PAHALA QURBAN
a)
Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau
atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana
yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b)
Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak
dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan
menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih:
وقال: بسم الله، اللهم تقبل من محمد وآل محمد، ومن أمته
Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.
SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?
Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan hadith :
وقال ابْن عُمَرَ: إن النَّبِىّ، عليه السَّلام، كَانَ يَنْحَرُ وَيَذْبَحُ بِالْمُصَلَّى
Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
قال مالك: إنما يذبح الإمام فى المصلى لئلا يذبح أحد قبله
Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya
APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi
SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar.
(Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).
Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7].
Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar
r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang
jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala
Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada
Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia
berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid
as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya
"tiada asalnya".
Kesimpulannya :
Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang
jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari
Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah
semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).
Akhirnya,
adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini
menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di
seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut
rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti
Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari
Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas
http://kasihislami.blogspot.com/
Comments
Post a Comment