MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA 

 


Dulu di alam kampus pensyarah penulis selalu mengatakan "matlamat tak menghalalkan cara"

apa maksud disebalik kata-kata ni ye?

boleh diertikan apapun yang ingin kita lakukan mestilah dengan cara yang baik, walau setinggimanapun matlamat yang ingin kita capai, cara yang digunakan mestilah baik disisi syara'...

selain itu....

Maksud yang ingin disampaikan oleh penulis berkaitan Matlamat tak menghalalkan cara” adalah niat yang baik tidak menghalalkan sesuatu yang haram.  Sepertimana yang kita ketahui, Islam memberikan penghargaan terhadap setiap niat yang mendorong  kearah kebaikan.  Sesuatu tindakan tidak boleh dianggap sebagai kebaikan atau keburukan kecuali dengan niat daripada pelakunya.  Seseorang itu tdak akan diberikan pahala kecuali jika niat untuk melakukan kebaikan. 

Niat yang baik dapat menggunakan seluruh yang harus dan kebiasaan untuk berbakti dan mendekatkan diri kepada Allah.  Oleh itu sesiapa yang makan dengan niat untuk menjaga kelangsungan hidupnya dan memperkuat tubuh badannya supaya dapat berkhidmat kepada Allah dan umatnya, makan dan minumnya itu dinilai sebagai ibadah. 

Walaubagaimanapun, masalah haram tetap dinilai haram, betapa baik dan mulia, niat dan tujuannya.  Syariat Islam tidak membenarkan prinsip yang disebut sebagai al-gayah tubarriru al-wasilah (untuk mencapai tujuan cara apapun dibenarkan).  Bahkan setiap tujuan yang baik harus dicapai dengan cara yang baik. 

Oleh kerana itu, sesiapa mengumpulkan wang dari jalan yang haram seperti riba, maksiat, permainan haram, judi dan sebagainya dengan maksud mendirikan masjid atau menjayakan rancangan-rancangan yang baik, tujuan baik itu tetap tidak akan bermanfaat kepadanya.  Perkara haram dalam syariat Islam tidak dapat dipengaruhi oleh tujuan dan niat yang baik
 
http://sodiqatulhasanah.blogspot.com

sumber : Dr Basri Ibrahim

 

1. Pernah seorang siswa bertanya: Boleh tak saya mencuri duit orang kaya untuk disedekahkan kepada fakir miskin? Saya tidak ada duit tetapi saya sangat kasihan kepada orang susah. Sepontan saya menjawab dengan ringkas: Tidak boleh, kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Jawapan ini memang mudah, tetapi masih tidak memuaskan hati siswa tadi, lalu raut wajahnya seakan-akan meminta penjelasan yang lebih.

gambar hiasan

2. Matlamat dan tujuan sesuatu boleh jadi baik atau buruk. Untuk mencapai matlamat pula kita memerlukan langkah dan cara tertentu, ia dipanggil wasilah (jalan). Matlamat yang baik sudah pasti memerlukan cara yang baik juga, walaupun ia berbagai-bagai. Wasilah yang baik ini mesti bertepatan dengan syara’ sehingga dibenarkan untuk mencapai matlamat yang baik tadi. Matalamat ingin berjaya dalam peperiksaan adalah sesuatu yang baik, tetapi jika dengan meniru dan curang akademik maka wasilahnya bercanggah dengan syara’. Matlamat yang baik pula akan diukur dari aspek kesan yang sampingan yang timbul. Allah SWT melarang wasilah yang menimbulkan kesan yang tidak baik sebagaimana firmanNya dalam surah al-An’am ayat 108 bermaksud:
Dan janganlah kamu mencerca apa yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan tanpa pengetahuan.

3. Menghina tuhan selain Allah SWT dengan cara mencercanya adalah matlamat yang tidak salah menurut syara’, kerana memang yang selain Allah SWT adalah perkara batil. Tetapi jika diyakini dengan sebab cercaan tersebut, kesannya ialah mereka akan membalasnya dengan mencerca Allah Azza wa Jalla, maka perbuatan mencerca tuhan mereka tidak dibenarkan sama sekali. Larangan ini kerana mengambil kira kesan sampingan buruk terhadap matlamat yang ingin dicapai, maka wasilahnya dilarang dalam hal ini.

4. Islam sangat mengambil berat tentang kesan sesuatu perkara. Kesan buruk bagi suatu tindakan menyebabkan tindakan tersebut dilarang. Allah SWT melarang para sahabat daripada menggunakan satu perkataan yang baik tetapi apabila digunakan oleh orang lain ia bermaksud yang tidak baik serta memberi kesan yang buruk. FirmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 104 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengatakan ‘raa’ina’, (ketika kamu berkata-kata dengan nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah ‘unzurna’ (lihat) dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

5. Al-Qadhi Abu Bakar Ibn al-‘Arabi (543H) menjelaskan tentang ayat ini:
Allah melarang orang beriman menggunakan perkataan raa’ina yang bermaksud tumpukan pendengaranmu supaya memahami kata-kataku, agar tidak menjadi wasilah kepada orang Yahudi menggunakannya ketika bercakap dengan nabi SAW tetapi dengan maksud yang lain, berasal daripada al-ra’unah iaitu mencela nabi SAW. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)

6. Maka wasilah dan kesan merupakan dua perkara yang diberi perhatian dalam Islam, bukan semata-mata matlamat sahaja. Matlamat yang buruk dan merosakkan memang telah jelas bahawa segala wasilahnya tidak dibenarkan. Zina diharamkan oleh Islam, maka semua wasilah yang boleh menyebabkan dan menyampaikan kepada zina juga diharamkan, seperti bersunyi-sunyi di antara lelaki dan perempuan.
                    
7. Kita juga diperintahkan oleh nabi SAW agar meninggalkan satu perbuatan hanya kerana bimbang terjerumus kepada perkara haram. Diriwayatkan daripada Nu’man bin al-Bashir bahawa nabi SAW  bersabda bermaksud:
Perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (tidak jelas), barangsiapa yang takut perkara syubhat, maka dia selamat untuk agama dan kehormatannya, dan barangsiapa yang berada dalam perkara syubhat, maka dia berada dalam perkara haram. (Riwayat Muslim)

8. Jika bimbang terjerumus kepada yang haram pun menyebabkan sesuatu perbuatan yang menjadi wasilah tidak dibenarkan, apatah lagi sekiranya pasti terjerumus kepada yang haram. Hukum bagi wasilah adalah sama dengan hukum bagi matlamat. Maka matlamat yang dilarang, hukum wasilahnya juga dilarang. Adakah ini bermakna matlamat yang dibenarkan, maka hukum wasilahnya juga dibenarkan? Inilah yang mungkin bermain di kepala siswa tadi.  

Tidak boleh memudharatkan orang lain
9. Tujuan pensyari’atan adalah merealisasikan maslahat (kebaikan) dan menolak mafsadah (kerosakan). Semua suruhan atau larangan dalam agama tidak akan lari dari konsep ini. Sekiranya bercanggah dengan roh pensyari’atan ini, bermakna ia bukan daripada agama. Jadi semua perkara yang boleh memudharatkan akan dilarang dalam Islam. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak mudharat dan tidak memudharatkan. (Riwayat Ibn Majah)  

10. Perkara harus yang boleh memudharatkan orang lain akan menukar status keharusan tersebut kepada larangan dan tidak dibenarkan. Allah SWT melarang wasiat yang boleh memudharatkan ahli waris walaupun tidak melebihi ketetapan maksimum satu pertiga. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 12 bermaksud:
Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. Wasiat-wasiat tersebut hendaklaha tidak mendatangkan mudharat (kepada waris-waris).

11. Antara yang boleh memudharatkan waris ialah dengan mengkhususkan kepada sebahagian warisnya jumlah yang lebih daripada yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam fara’idh (pembahagian harta pusaka). Ini kerana dengan pengkhususan ini bakal memudharatkan waris yang lain. Ia berbeza dengan hibah (pemberian) ketika masih hidup, ia tidak dilarang. Berbeza dengan wasiat, kerana ia hanya boleh dilaksanakan selepas kematiannya. Maka wasiat seumpama ini boleh dibatalkan bahkan tidak wajib dilaksanakan. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Sesungguhnya Allah SWT mendahulukan wasiat daripada pusaka, apabila yang berwasiat tidak berniat memudharatkan. Sekiranya dia berniat memudharatkan, maka ahli waris boleh membatalkan dan tidak melaksankannya. (Ibn al-Qaiyim, I’lam al-Muwaqqi’in)

12. Umar al-Khattab pula pernah meminta kepada Huzaifah al-Yaman untuk menceraikan isterinya yang merupakan seorang Ahli Kitab, untuk mengelakkan mudharat wanita Islam yang ramai tidak berkahwin. Berkahwin dengan Ahli Kitab tidak salah sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 5, selagi mana mencapai maslahat yang dikehendaki dan tidak memberi mudharat. Namun jika boleh memudharatkan, maka ia boleh dilarang. Al-Tabari (310H) menceritakan:
Bahawa selepas kemenangan umat Islam ke atas Parsi dalam peperangan al-Qadisiyah, jumlah wanita Islam di negara tersebut tidak mencukupi untuk berkahwin dengan orang lelaki, maka menjadi satu keperluan untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab. Selepas beberapa ketika, jumlah wanita Islam semakin ramai, maka hilanglah keperluan tersebut. Umar al-Khattab pun menulis surat kepada Huzaifah al-Yaman yang menjadi gabenor. (Tarikh al-Tabari)
              
13. Oleh itu, matlamat yang baik sekalipun mestilah wasilahnya tidak memudharatkan orang lain. Demikianlah juga halnya dengan mencuri untuk bersedekah kepada fakir miskin, selain mencuri itu haram hukumnya dengan nas yang jelas dari al-Qur’an dan al-Hadith, ia juga memudharatkan orang yang dicuri sekalipun kaya. Maka hukumnya adalah tidak dibenarkan.

14. Kesimpulannya, jangan mudah berhujjah dengan matlamat yang baik untuk menghalalkan sesuatu wasilah, kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Bagaimana pula dengan konsert kebajikan, atau loteri amal?   

http://hjanhar.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog