Adakah Kita Bersyukur


Bismillahirrahmaanirrahiim...
Syukur! Adakah kita sudah bersyukur atas nikmat yang diberikan pada kita hari ini, semalam, dan hari-hari yang telah kita lalui?

Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri adakah kita sudah cukup bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Ilahi?

Pernahkah kita bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah atas nikmat nyawa yang masih diberikan untuk menjalani kehidupan ini?
Pernahkah kita bersyukur dikurniakan nikmat mata yang boleh melihat?

Pernahkah kita bersyukur dikurniakan telinga yang boleh mendengar?

Pernahkah kita bersyukur dikurniakan mulut yang boleh berbicara?
Pernahkah kita bersyukur dikurniakan akal yang sihat?

Pernahkah kita bersyukur dikurniakan organ, anggota tubuh badan yang lengkap dan dapat berfungsi dengan sempurna?

Pernahkah kita menghitung jumlah nikmat yang diberi oleh Allah SWT? Sila tampilkan diri sesiapa yang pernah menghitung dengan tepat nikmat yang telah diberi... Saya jamin, tidak pernah ada seorang pun yang boleh menghitung jumlah nikmat yang dikurniakan oleh Ilahi. Subhanallah, Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah An-Nahl, ayat 18)

"Ya! Aku mengakui nikmat yang diberi oleh Allah SWT, dan aku amat bersyukur."

Benarkah? Benarkah kita telah bersyukur? Bagaimanakah cara kita mensyukuri nikmat Allah? Ikhlaskah kita dalam menjalani kehidupan ini keranaNya? Hanya Allah yang Maha Mengetahui...

"Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): 'Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?' (Allah berfirman): 'Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?'"
(Surah Al-An'aam , ayat 53)

Pernahkah terbayang dalam fikiran kita jika oksigen yang kita sedut dikenakan bayaran?

Pernahkah terbayang dalam fikiran kita air di bumi menjadi kontang?

"Subhanallah, Maha Suci Allah. Rasa tidak cukup aku mensyukuri nikmatMu dengan hanya mengucapkan Alhamdulillah. Ya Allah, ya Tuhanku. Jadikanlah aku dalam kalangan hambamu yang bersyukur dan patuh kepada segala perintah dan laranganMu. Ya Allah, ikhlaskanlah hatiku untuk hidup hanya untukMu, ya Rabb."

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras'."
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Berhentilah kita daripada merungut, kerana masa kita tidak mencukupi untuk kita bersyukur atas nikmatNya yang tidak terhitung...

"Ya Allah ya Tuhanku, jauhkanlah aku daripada menjadi salah seorang hambaMu yang tidak bersyukur."

"Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar."
(Surah An-Nahl, ayat 83)

Jika difikirkan, setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita mempunyai hikmah di sebaliknya - apabila kita ditimpa sakit, mungkin Allah mahu mengingatkan kita tentang nikmat kesihatan yang kita ambil ringan selama ini; apabila kita mengalami kesempitan wang, mungkin Allah mahu mengajar kita untuk tidak terlalu boros dalam berbelanja. 

Allah sayangkan kita dan mahu kita kembali padaNya dan kembali ke jalan yang lurus supaya kita dapat menghadapi ujian hidup di dunia ini dengan cemerlang. Jangan dilupa juga nikmat agama Islam yang Allah berikan kepada hambaNya supaya kita dapat menjalani kehidupan ini dengan cara yang betul dan paling baik. Allah sayangkan kita. Oleh itu, bersyukurlah dalam apa jua keadaan.

Kesimpulannya, adakah kita sedar betapa banyaknya nikmat yang diberikan oleh Allah SWT? Adakah kita dalam kalangan orang yang bersyukur?

Wallahua'lam. Alhamdulillah.


 http://www.iluvislam.com/f

Comments

Popular posts from this blog