Nota Takwa


Imam al-Allamah Habib Abdullah Alawi al-Haddad memulakan nukilan kitabnya, Nasihat Agama dan Wasiat Iman dengan menyentuh perihal takwa mendahului bab solat, zakat, puasa, haji, jihad dan lain-lain.

Takwa dilihat sebagai satu elemen yang penting bagi seorang Mukmin. Apalah gunanya ibadah yang menggunung jika natijahnya, tidak menumbuhkan sifat takwa dalam diri.

Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa..."
(Surah ali-Imran, ayat 102)

Ayat ini merupakan satu perintah daripada Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk bertakwa kepadaNya.

Setiap minggu kita mendengar kalimah takwa ini diulang-ulang oleh khatib di masjid. Seorang lelaki yang berusia 70 tahun akan mendengar sekurang-kurangnya 2640 kali pesan takwa dalam hidupnya (jika dia tidak meninggalkan solat bermula umur 15 tahun). Biarpun mudah telinga mendengar, akal masih tidak memahami, hati masih tidak menghayati, anggota badan masih culas untuk mengamalkan.

Takwa Di Dalam Al-Quran
 
Perkataan takwa pertamanya boleh dilihat pada Surah al-Baqarah. Di dalam ayat itu Allah memberi gambaran awal tentang takwa kepada manusia:

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang sempurnanya dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya."
(Surah al-Baqarah, ayat 1-5)

As-Syahid Syed Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran mentafsirkan takwa sebagai perasaan yang peka di dalam hati nurani, perasaan yang halus dalam kesedaran, perasaan takut dan waspada yang berterusan, dan berhati-hati daripada terkena duri di jalanan kehidupan di mana manusia ditarik oleh pelbagai dorongan nafsu, tamak haloba dan impian yang menggunung.

Ibnu Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim mendefisinikan takwa sebagai mencegah diri daripada hal-hal yang tidak disukai.
Perbincangan mengenai takwa cukup luas dan mempunyai pelbagai huraiannya di dalam Al-Quran. Buka sahaja surah al-Baqarah ayat 77, al-Imran ayat 133-135, an-Nahl ayat 30-32, al-Anbiyaa' ayat 48-49, az-Zumar ayat 33 dan al-Layl ayat 17-19. Setiap huraiannya mempunyai ciri-ciri tersendiri dalam menjelaskan pengertian takwa.

 Imam Abu Al-Laits Al-Samarqandi berkata, "Sifat takut kepada Allah SWT terbukti dengan tujuh perkara, iaitu:

1. Menjaga lidah daripada dusta, mengumpat dan bicara sia-sia dan haram, lalu digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT, membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu.
2. Menjaga perut dengan cara tidak makan kecuali yang halal dan sekadar hajat sahaja (tidak berlebihan).
3. Menjaga penglihatan, dengan cara tidak melihat yang haram, dan tidak melihat dunia ini kecuali sekadar untuk peringatan.
4. Menjaga tangan daripada maksiat dan menggunakannya untuk taat kepada Allah SWT semata-mata.
5. Menjaga kaki daripada maksiat dan daripada melangkah ke tempat yang tidak diredhai oleh Allah SWT
6. Menjaga hati dengan cara membersihkannya daripada hasad dengki, iri hati dan sebagainya, kemudian diisi dengan kasih sayang kepada sesama Muslim.
7. Menjaga amalan taatnya, supaya ia benar-benar tulus ikhlas kepada Allah SWT dan selamat daripada riak dan nifaq."

- Artikel iluvislam.com

Comments

Popular posts from this blog