KESUSAHAN BERAT KERANA HUTANG





Perintah Am 11(1), Bab D mentakrifkan kesusahan berat kerana hutang sebagai keadaan berhutang seseorang penjawat awam berdasarkan banyaknya hutang yang ditanggungnya, telah sebenarnya menyebabkan dia mengalami kesulitan kewangan yang berat.

Secara mudah, penjawat awam dikatakan berada dalamkesusahan berat kerana hutang jika hutang yang ditanggungnya itu banyak dan boleh mendatangkan kesulitan kewangan pada dirinya.

Perintah Am 11(1), Bab D, seterusnya telah menyenaraikan tiga keadaan yang jika ujud, hendak lah disifatkan sebagai berada dalam kesusahan berat kerana hutang iaitu:-

a) Jika agregat hutang dan tanggungan tidak bercagar bagi penjawat awam yang berkenaan melebihi tiga kali ganda emolumennya sebulan.

b) Jika penjawat awam itu telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai si berhutang hukuman (tanpa mengira berapa jumlah hutang) dan hutang itu masih belum dibayar dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah. Berhutang hukuman ialah seseorang yang telah dikenakan hukuman mahkamah yang mengarahkannya membayar jumlah wang yang belum dilunaskan (dibayar) dan hutang orang yang berkenaan boleh disempurnakan melalui keputusan mengambil hartanya.

c) Jika penjawat awam itu adalah sama ada seorang yang bankrap atau pemakan gaji yang tidak berkemampuan selagi dia tidak membebaskan diri (iaitu selagi tanggungannya masih di bawah kuasa pegawai pemegang harta). 

 http://cputsungai.blogspot.com/

HUTANG DAN ISLAM


MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang.

Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.

Dari itu hutang perlu dijelaskan dengan segera. Jangan suka atau sengaja tidak menghiraukan hutang sehingga menyebabkan hutang tersebut tertangguh begitu lama sekali dengan berbagai-bagai alasan yang diberikan mengenainya sehingga kadang-kadang menyebabkan kesusahan kepada orang yang memberi hutang. Dalam keadaan-keadaan lain, hubungan kedua belah pihak menjadi tidak mesra, bahkan seperti bermusuhan. Kadang-kadang penangguhan itu bukan kerana tidak mampu membayar hutang, tetapi sengaja dilengah-lengahkan. Menurut rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang maksudnya:

"Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam besabda yang maksudnya:

"Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya."

Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja. Adapun menceriatkan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja. dalam perkara menghalalkan hukuman ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbautan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Az-Zawajir hln 414).

Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.

Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutanngnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu "umar Radiallahuanhu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam enggan menyembahyangkan jenazah apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.

Tindakan Baginda itu jelas menunukkan tentang ketidaksukaan Baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.

JIka si pehutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau dientukan, berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.

Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri daripada hutang-hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan selesa di dunia dan di akhirat kelak.

 http://kijang.multiply.com/reviews/item/2?&show_interstitial=1&u=%2Freviews%2Fitem

Comments

Popular posts from this blog