Platform Media Sosial Facebook Ketua Setiausaha Negara 2013

by Dr Ali Hamsa on Thursday, January 17, 2013 ·
Assalamualaikum & Selamat Sejahtera,

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 dengan harapan agar sebagai penjawat awam, kita dapat memantapkan serta menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Malaysia. Salah satu cara untuk berkomunikasi dengan rakyat adalah melalui rangkaian media sosial yang makin bertambah ramai penggunanya di pelbagai platform seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

Sehubungan itu, saya berasa terpanggil untuk menggunakan pengaruh media sosial untuk diaplikasikan ke Kerajaan Malaysia. Setelah menggunakan Facebook dan Twitter selama lebih empat bulan, banyak perkara telah saya pelajari dan pelbagai maklumbalas telah saya terima bagi memantapkan lagi penggunaan media sosial dalam aspek pemantauan, tindakan serta keterlibatan.

Dengan ini, berikut merupakan beberapa perubahan yang dilaksanakan kepada laman media sosial  saya.

  1. Sebarang maklum balas boleh dihantar terus melalui "Facebook Message" atau "Bank Idea" di laman web rasmi saya (http://www.pmo.gov.my/ksn/home.php?frontpage/feedback/form), manakala “Wall” saya akan ditutup bagi memastikan tiada maklum balas yang diberi terlepas pandang.
  2. Untuk memastikan akauntabiliti daripada pengguna serta tindakan pantas diambil terhadap setiap maklum balas, mohon juga disertakan nama penuh, nombor telefon serta jawatan dan organisasi.
  3. Topik mengenai isu-isu semasa serta dasar-dasar berkenaan perkhidmatan awam akan dibincangkan sebagai satu ruangan untuk berkongsi pandangan. Dan jika anda ingin mengutarakan topik-topik yang sesuai untuk dibincangkan, sila hantar "Facebook Message" terus kepada saya.
  4. Segala maklum balas yang diterima dalam bentuk "message" atau komen amat saya hargai dan baca. Maklum balas ini turut dipantau oleh pegawai-pegawai saya dan disalurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.
  5. Sepertimana yang diamalkan forum lain, anda bertanggungjawab terhadap sebarang kata-kata yang anda paparkan di laman Facebook ini. Oleh itu, pengguna dinasihatkan menggunakan kata-kata dan bahasa sopan dengan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak serta berbincang secara baik, bersopan, berhemah serta membina.
  6. Jika terdapat sebarang idea dan cadangan, sila hubungi saya melalui saluran-saluran yang disediakan. Saya sedia mendengar pandangan dari perspektif berbeza demi kecemerlangan perkhidmatan awam.

Saya juga berada di laman media sosial Twitter di "@alihamsa55," Instagram di "alihamsa55" dan Youtube di "dralihamsa." Moga kita manfaatkan platform media sosial ini agar kehendak rakyat dapat didahulukan melalui penyampaian perkhidmatan awam yang cekap.


Salam,
Dr. Ali Hamsa

Comments

Popular posts from this blog