Khutbah Awal Muharram



الحمد لله حمد امرئ عرف قدر الدارين
فاختار منهما ما تستحق الختيار . أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له الذى كشف لنا حقيقة تلك الدار وأشهد أن سيدنا ونبينا محمدا عبده ورسوله الذى لم يركن يوما لدار الاغترار .
أللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه المنزهين فى طاعتهم عن ملاحظة الاغترار. أما بعد فيا عباد الله أوصيكم واياى بتقوى الله وطاعته لعلكم تفلحون .
Saudara-saudara kaum muslimin. Dengan tidak terasa, kita sudah memasuki tahun baru, yaitu tahun 1432 hijriyah. Ibarat ahli dagang ,kita sudah tentu membuat perhitungan, menutup akaun lama dan membuka akaun baru. 

Akaun lama ditutup bukan asal ditutup saja. Tetapi dilihat dan di periksa tentang untung dan ruginya. Kalau terdapat kerugian , maka dijadikanlah peringatan untuk tahun akan datang supaya jangan mendapat rugi lagi. Atau sekurang-kurangnya jangan sampai mendapat untung kurang dari tahun yang lalu. 

Demikianlah hendaknya kita hidup didunia membuat perhitungan buat diri kita sendiri , sebelum Allah mengadakan perhitungan buat amal kita diakhirat. Kerana pada hari itu, kita sudah tidak dapat lagi berikhtiar dan berusha buat menambahkan kenuntungan atau buat menebus kerugian. 

Firman Allah s.w.t: (al Hasyr ayat 18-19)
Ertinya (Tafsirnya): Wahai orang-orang yang beriman , takutlah kepada Allah dan setiap diri hendaklah melihat (perhatikan) apa yang telah diusahakannya untuk besok (hari kiamat).Dan takutlah kepada Allah , sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan. Janganlah kamu seperti orang-orang yang lupakan kepada Allah , maka Allah akan menjadikan mereka melupakan diri mereka (lupa diri). Mereka yang (sifatnya) begitu adalah orang-orang yang Fasik.

Selain dari itu, di akhirat nanti, akan diperiksa segala amal kita langsung dari Allah, sebagaimana diterangkan oleh Nabi s.a.w.:

Ertinya: “Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan ia akan diperiksa oleh tuhannya pada hari kiamat, tidak ada juru bahasa antara dia dan tuhannya. Maka ia menengok ke sebelah kanannya, maka ia tidak melihat melainkan amalnya yang telah dikerjakannya. Ia menengok lagi ke sebelah kiri, maka ia melihat amalnya juga. Ia melihat di hadapannya, maka tidak ia melihat melainkan api neraka menghadapi dirinya. Oleh kerana itu hendaklah kamu takut kepada api neraka, sekalipun hanya dengan bersedekah dengan sekeping kurma.”- (al Bukhari, Muslim dan at termizi).

Saudara-saudara kaum muslimin.

Kemudian kita fikirkan pula empat perkara yang menjadi tujuan penting daripada tuntutan Tuhan waktu kita masuk saja ke dalam ruangan hari kiamat, iaitu umur, amal, harta dan tubuh kita, sebagaimana diterangkan dalam sabda Nabi s.a.w.:

Ertinya: “Belum lagi berkisar seorang hamba pada hari kiamat, hingga dia ditanya dari hal umurnya, di mana dihabiskannya, tentang amalnya, di mana diusahakannya, tentang harta bendanya, dari mana didapatkannya dan di mana dibelanjakannya, dan tentang tubuhnya, di mana dicampakkannya!”
(al Tirmizi)

Mengingat Tuhan Di Waktu Senang

Saudara-saudara kaum muslimin.

Terlalu pandai manusia memuji-muji Allah, mengingat dan menyebut-nyebut kebesaran-Nya di waktu mereka sedang tersepit, sedang dalam kesukaran dan malapetaka. Panjang lebar doa permohonannya, bermacam-macam puji-pujian yang diucapkannya, buat meminta kepada Allah, supaya mereka dilepaskan dari kesusahannya. Padahal semalam atau sebelumnya, mereka lupa kepada Tuhan, tak kenal Tuhan, tak pernah memuji-muji Tuhan, apa lagi menyembah-Nya, kerana waktu itu mereka hidup sihat dan mewah, gagah dan berkecukupan, bermandi dalam lautan kesenangan dan kegembiraan. 

Manusia yang begini sifatnya, disindir oleh Allah dalam firman-Nya: (surah Haa mim as sajdah ayat 51) Ertinya: “Dan apabila Kami kurniakan nikmat kesenangan kepada manusia, lalu ia berpaling dan menjauhkan diri daripada Aku. Tetapi apabila dia ditimpa kesusahan lalu ia berdoa panjang lebar.”

Sikap ini adalah sikap orang yang sombong dan takbur, sikap orang yang curang dan tidak jujur, tidak ikhlas, munafik, penderhaka, dan sikap orang yang jiwanya kotor. Dengan sikap curang ini dapatkah manusia terlepas dari kesusahannya? Sikap curang tidak dapat melepaskan manusia dari kesusahannya. Boleh jadi dia terlepas dari satu kesusahan, tetapi lain kesusahan akan menimpa lagi, sehingga kesusahan itu sebagai benang kusut yang tidak dapat diperbaiki lagi.
Lihatlah contohnya diri Firaun. Waktu Firaun hidup dan besar kekuasaannya, ia mempermainkan agama Allah, menghina utusan Allah dan mengaku menjadi Tuhan. Setelah tuhan turunkan azab atasnya, barulah ia mahu taubat, tetapi sudah terlambat, terlambat dan terlambat, laksana nasi sudah menjadi bubur, kerana lebih dahulu sudah disampaikan peringatan Allah, bahkan sudah dikirimkan beberapa ujian. (Surah Yunus ayat 91)

Ertinya: “Sekarangkah engkau baru mahu beriman, padahal dahulunya engkau derhaka dan daripada orang-orang yang membuat kerosakan?”

Saudara-saudara kaum muslimin.

Orang yang dapat kelepasan dari kesusahannya ialah yang waktu dalam kesenangan ia mengingat dan mendekati Allah, ia mengenal dan mensyukuri nikmat-Nya, ia puji dan menyembah-Nya. Maka kalau ia ditimpa kesusahan, nescaya lekas benar Allah berikan pertolongan kepada-Nya, dan dilepaskan dari kesusahannya. Perhatikanlah sabda Nabi s.a.w.:

Ertinya: “Berkenalanlah kepada Allah di waktu lapang (senang) nescaya Allah balas kenal kepadamu di waktu susah.” -( Abul Qoosim bin Busyraan)

Contohnya seperti Nabi Yunus a.s. Ia telah dilemparkan ke dalam lautan, lalu ditangkap oleh seekor ikan yu yang sangat besar. Kemudian dilemparkannya di tepi laut. Kalau tidak kerana dahulunya ia mengenal dan Mengingat Allah, nescaya ia berada di perut ikan yu sampai hari kiamat, sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah:

(As Shoofat ayat 143-144)
Ertinya: “Kalau sekiranya dahulunya Nabi Allah Yunus tidak banyak memuji-muji Tuhan, nescaya ia tinggal dalam perut ikan itu sampai hari kiamat.”

Dua contoh dari dua orang itu, baik benar dijadikan pelajaran. Kedua-duanya sama mendapat bahaya kesusahan di lautan. Yang satu Nabi Yunus telah ditolong oleh Tuhannya, kerana dahulunya di waktu sihat dan kuat, wakyu lapang dan senang ia selalu mengingat dan memuji Allah, ia tunduk dan menyembah Allah. Sedang yang satu lagi ialah Firaun, ditenggelamkan dan dibinasakan terus, segala permintaannya dan pengakuannya ditolak oleh Allah, kerana dahulunya diwaktu ia gagah dan berkuasa, waktu hidup mewah dan senang, ia lupa kepada Allah, ia ingkar dan ia musuhi utusan Allah, dan ia tolak agama Allah.

Mudah-mudahan Allah teguhkan iman kita supaya kita tetap memuji dan menyembah-Nya di waktu susah dan di waktu senang. Amin Allahumma Amin…

(al A'raf ayat 69)
Ertinya: “Maka hendaklah kamu mengingat nikmat Allah supaya kamu beruntung.”

Sedutan kandungan Khutbah Aidilfitri 1431h diPondokTampin

Muslimin yang berbahagia.

Maha besar Allah, Tuhan sekalian Alam, yang telah menjadikan hari raya ini hari gembira, bagi orang yang benar niatnya dan diterima ibadah puasanya pada siang hari siang Ramadhan, dan ibadat sembahyangnya pada waktu malamnya. Hari gembira bagi orang yang tenteram jiwanya dan baik tingkah lakunya, perbuatannya dan perkataannya pada sebulan ramadahan yang baru lalu. Hari bermaaf-maafan dan melimpahkan kebaikan bagi orang yang suka memberi maaf kepada saudaranya yang telah terlanjur membuat kesalahan dan berbuat baik terhadap orang yang menganggu. Serta hari mengadakan kebajikan yang umum di kalangan manusia. Inilah hari gembira, dan kelazatan berhari raya hanyalah dapat dikecapi dan dirasai oleh mereka yang benar-benar beragama, bukan mereka yang hanya agama dan Islam pada nama dan keturunan sahaja. Inilah hari keuntungan dan kemenangan sekiranya dilakukan di dalamnya perkara yang boleh membuahkan persatuan muslimin bersatu hati, tidak bercerai berai dan jatuh-menjatuhkan. Inilah hari bahagia jika sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan kebaikan untuk masa hadapan dan kita berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan selalu ingat kekuasaan dan kebesaranNya dan segala nikmat yang dilimpahkanNya kepda kita dengan cara menurut perintahNya dan meningglkan segala laranganNya. Serta pula cepat-cepat bertaubat pada Allah s.w.t jika tergelincir ke dalam dosa atau alpa. Perhatikanlah sabda Nabi saw, …….
Ertinya, “Setengah daripada tanda kebahagian seseorang itu bahawa lanjutlah usianya dan dikurniakan oleh Allah taubat kepadanya dan ikhlas dalam beramal.”

Dan lagi sabda Nabi saw…
Ertinya, “Barangsiapa berbuat baik pada baki umurnya, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang berbuat jahat pada baki umurnya yang masih ada, nescaya diseksa dosanya yang telah lalu dan dosanya dalam baki umurnya.”

Allahu Akbar3……

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Kelazatan berhari raya pada zahirnya juga dirasai oleh sesiapa sahaja yang turut merayakannya. Tetapi pada hakkatnya hanyalah mereka yang benar-benar beragama, yang dapat mengecap dan merasai lazat dan nikmatnya berhari raya. Kita katakan lazat kerana orang yang benar-benar beragama telah mencapai kemenangan di dalam peperangan yang sangat besar, atau al jihadul akbar menentang dan menundukkan kemahuan hawa nafsu. Ia telah sanggup menahan nafsunya daripada makan dan minum, dan bercampur dengan perkara syubahat. Dengan demikian itu menjadi suatu tanda bahawa ia akan lebih sanggup untuk menahan dirinya daripada perkara yang haram dan bukan milik kepunyaanya.
Kelazatan yang lain pula bermakna dia telah sanggup memberikan sebahagian hak miliknya sendiri kepada golongan yang memerlukan dengan melalui sedekah. Disebabkan pengalaman pahitnya lapar dan dahaga di siang hari, maka timbullah kesedaran. Sabda Nabi saw…..
Ertinya, “Orang yang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan dan ia akan bergembira dengan keduanya iaitu apabila ia berbuka puasa, ia akan bergembira dengan berbukanya itu. Dan apabila bertemu dengan tuhannya, ia bergembira dengan puasanya.” 

Berkenaan zakat fitrah dan bersedekah telah dinyatakan Nabi saw dalam sabdanya…

Ertinya, “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitarah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai pemberi makan bagi orang miskin.”

Allahu Akbar3…..

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Maka teranglah hari raya ialah hari bahagia bagi orang-orang yang beragama Islam sahaja kerana mereka dapat memberi pertolongan kepada saudara mereka yang tidak mampu sehingga mereka itu pun turut serta bvergembira dan merasa bahagia. Benih semangat persaudaraan yang ditanam dalam zakat fitrah itu akan membuahkan mahabbah iaitu kasih sayang sesama muslimin.

Di antara kebahagian yang terdapat dalam hari raya ini ialah bahagianya kita dengan niat bersungguh-sungguh hendak melakukan sebanyak mungkin kebajikan pada masa akan datang. Alangkah dungu dan jahatnya orang yang telah bersih dirinya daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan dengan bertaubat dan bermaaf-maafan, lalu ia sengaja menerjunkan diri ke dalam dosa dan kesalahan yang baru. Kita katakan dungu kerana ia tidak sayang akan dirinya dan terlalu berani menentang azab Allah yang mengancam bagi setiap orang yang berdosa.

Niat hendak melakukan kebaikan itu sebanyak-banyak mungkin pada masa yang akan datang hendaklah menjadi tujuan hidup kita. Lebih dahulu kita usahakan membaiki diri kita sendiri, dengan membersihkannya dari perbuatan jahat dan nista. Kemudian kita limpahkan kebaikan itu kepada masyarakat yang ada di sekitar kita. Kalau setiap kita kaum mslimin berniat demikian, berniat baiknya itu diwujudkan sehingga menjadi amal yang nyata, nescaya keadaan kita sudah lama menjadi baik. Kerana orang yang teguh memegang agama Allah, pasti ia menjadi orang yang baik. Firman Allah swt….

Ertinya, “Dan barang siapa yang berpegang tegung dengan agama Allah, maka sesunguhnya ditunjukkan dia kepada jalan yang lurus.”
Marilah kita memohon doa kepada Allah…..

Comments

Popular posts from this blog