MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT - ADAB BERJIRAN
Oleh : Mohd Zamir bin Bahall
Pendahuluan
Kemakmuran
sesebuah negara adalah bergantung sejauhmana kemantapan dan keutuhan
hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya yang erat adalah
antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Iaitu sebuah masyarakat
yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama
mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha
membangun dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah.
Menyedari akan hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat di kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.
1
2
Mengapa Kita perlu Berjiran
Islam
amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu
daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam
berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini
kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan
setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan
dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya
menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah
swt yang bermaksud:
'..dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat,
anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran
tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang
kamu miliki'.
(An-Nisaa’ : 36)(Al-Hujurat : 13)(Al-Syura : 38)
(An-Nisaa’ : 36)(Al-Hujurat : 13)(Al-Syura : 38)
Bagi
memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak
kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup
berjiran. Antaranya:
Bantuan Ketika Kecemasan
Jiran
adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala
perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan
sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran
adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita
ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan,
kematian dan lain-lain lagi. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai
jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan
seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara
menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan
dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat mlahirkan suasana
seperti ini.
Menambah Kenalan
Mempunyai
jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama,
bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan
lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:
'Wahai
manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
supaya kamu saling kenal mengenali'.
Mempunyai
kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak
memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika
berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan
jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika
berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah
dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah
seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki
oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan,
masakan, komputer dan lain-lain lagi.
Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran
yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan
setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah,
penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui
Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen
kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki
oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:
'Bertolong-tolonglah
kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah
tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'.
(Al-Maidah : 2)
Menjaga Keharmonian Masyarakat
Segala
perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat
dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran.
Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak,
lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika
jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak
berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan
meragukan.
Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa
ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan
sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum
terjadi bak kata pepatah Melayu 'Sediakan payung sebelum hujan'. Oleh
itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi
menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.
Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat
Jiran
yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu
sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang
menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat
ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa
Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak. Jawatankuasa ini berperanan menilai
pencapaian pelajaran anak-anak, mengenalpasti kelemahan dan masalah
serta mengadakan program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran
mereka.
Di
samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Insan
Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi keperluan dan
kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jatidiri dan
sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik
anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan
terpelihara. Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah
terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran
sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka...'
Integrasi Nasional
Perpaduan
antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita.
Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan
masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan
perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan
baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk
semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara
mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan
bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada
huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
'Jibrail
berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran
sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku'.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pedoman Berjiran
Satu
realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia
yang mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap, akhlak,
perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-neza. Jenis dan
ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka
memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan
suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan
kerumitan.
Walau
bagaiamanpun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing
mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling
faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari
titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh
hikmah dan mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti
berburuk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis
dan dijauhkan.
Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat
kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai
pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut.
Antaranya,
Bertegur Sapa
Amalan
bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan
yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri
serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan
bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila
ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian
kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
Oleh itu, amalan
bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama
dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.
Kunjung-Mengunjung
Meluangkan
masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan
lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila
berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang
lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita
mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.
Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.
Menghulurkan Bantuan
Kemuncak
hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengenepikan
kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa
diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan
oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.
Semakin
kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula
ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan
yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik
sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh
setiap daripada kita.
Bergotong-Royong
Aktiviti
bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balairaya,
longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat
bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya
dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.
Aktiviti
bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu
tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar alam sekitar,
membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan
bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni sesama
mereka.
Perkelahan Keluarga
Mengadakan
program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik dalam menjalinkan
kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan sebaik mungkin
destinasi-destinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara kita
bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor,
Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan
sebagainya.
Banyak
acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam mengisi program
perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau keluarga
seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik
tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai
secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan!
Banyak
lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan hubungan kejiranan
seperti bertukar-tukar juadah atau kuih-muih, mengadakan kelas kemahiran
seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil belajar,
mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Apa yang penting ialah adanya
kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah
bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan
seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.
Kesimpulan
Maka
dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan
jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara.
Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita
sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau
sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita
namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan
kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah
dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri.
Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan
yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh
daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.
http://www.islam.gov.my
Comments
Post a Comment