Prinsip Islam dalam menghadapi kekacauan

MANUSIA telah menyaksikan bagaimana musibah boleh menyebabkan korban jiwa dalam jumlah yang banyak. Dalam sejarah manusia dicatatkan mangsa kematian ada juga bukan kerana terlibat langsung dalam musibah berkenaan tetapi atas faktor lain. Contohnya seramai 378 orang maut akibat tersepit, terpijak dan terjatuh di Kemboja ketika Festival Air Bon Om Touk pada November 2010. 

Ribuan pengunjung yang sedang berada di atas sebuah jambatan gantung di Pulau Berlian menjadi panik apabila mendapat khabar jambatan akan runtuh. Justeru para pengunjung merempuh keluar untuk menyelamatkan diri dan mula tolak menolak antara satu sama lain. 

Akhirnya mereka tersepit di atas jambatan sehingga sesak nafas, ada yang terjatuh lalu lemas dan ada yang mati akibat terpijak. Ironinya jambatan gantung tersebut masih utuh sampai hari ini.

Cukup peristiwa itu sebagai renungan dan iktibar untuk umat Islam apabila sebuah khabar yang tidak sahih dan tidak tahu asal usulnya tersebar dari mulut ke mulut sehingga menyebabkan masyarakat menjadi gelisah, panik lalu akhirnya bertindak tanpa kewarasan sehingga menatijahkan kecelakaan. 

Bayangkan hanya dengan tiga patah perkataan - seperti 'jambatan akan roboh' - telah menghasilkan sebuah kematian. Oleh sebab itulah dikatakan 'fitnah' lebih dahsyat daripada membunuh. Kalimat fitnah memiliki dua konotasi iaitu tuduhan yang berlawanan dengan hakikat sebenar atau dimaknakan dengan ujian (musibah).

Jika kita menekuni ajaran Islam, wujud larangan menyebarkan berita yang boleh menyebabkan masyarakat gelisah dan panik. 

Sebagai rakyat tidak dibenarkan untuk menyebarkan sebarang berita yang didengar berkaitan dengan keselamatan negara. 

Begitu juga kita dilarang untuk menyebarluaskan kisah-kisah yang mungkin menyebabkan masyarakat bergolak dan menjadi panik. Perbuatan salah ini disandarkan kepada watak kaum munafik kerana mereka memang mencari peluang untuk memporak perandakan negara.

Hukum larangan ini bukanlah baru dicipta ekoran tragedi di Sabah. Hal ini telah difahami sejak turunnya wahyu Allah. 

Syaikh as Si' di dalam Tafsir Taisirul Karim Ar Rahman menyatakan satu pengajaran daripada Allah kepada kaum Mukminin supaya jika datang berita yang berkaitan kemaslahatan umum kepada kaum Muslimin sama ada ia berita gembira atau buruk, maka janganlah segera menyebarkannya. 

Tetapi berita tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa. Jika mereka (pihak berkuasa) melihat ada keperluan untuk dihebahkan maka ia dihebahkan. Jika mereka melihat dengan menyembunyikannya terdapat kebaikan maka khabar itu disembunyikan.

Berhentilah Membuat Spekulasi 

Lantaran itu, kita berhentilah menyampaikan segala kisah yang didengar tentang keadaan Lahad Datu, melainkan kisah yang dilaporkan oleh pasukan keselamatan dan pemimpin negara. Berhenti juga daripada membuat analisis dan segala macam andaian di laman maya. Kerajinan melaporkan kedudukan polis dan pasukan tentera di dalam facebook akan membantu penceroboh.

Malah dengan segala macam spekulasi yang menular, masyarakat bertambah gelisah dan bimbang. Sebenarnya kita tidak membantu keadaan tetapi menokok jurang kekacauan. Berhentilah mempolitikkan isu ini dengan terus mengatakan ia adalah sandiwara UMNO. Pemikiran ini hanya lahir daripada kelompok yang mengalami sindrom politik muflis.

Jelaslah Islam melarang umatnya 'lebih lajak dari perahu' dan menyebarkan kisah yang tidak sahih, Namun Islam juga mengajar bagaimana kita bertindak dalam saat kekacauan. 

Masyarakat awam haruslah siap siaga untuk turun ke medan tempur apabila semboyan di laungkan oleh Perdana Menteri kerana Ahlus Sunnah menetapkan urusan jihad di tangan beliau. 

Imam Ahmad berkata: "Berjihad dan berperang bersama pemerintah tetap berlangsung sehingga hari Kiamat, sama ada penguasa tersebut baik ataupun yang jahat" (lihat Ushul As Sunnah)
Kita juga banyakkan doa kepada Tuhan Pencipta agar ditabahkan hati kita dan dikuatkan iman serta diteguhkan kesabaran. Kita percaya bahawa takdir baik dan buruk datang daripada-Nya. Telah sampai masanya seluruh umat Islam bertaubat daripada segala dosa yang pernah dilakukan. Kemudian menegakkan akidah salaf as soleh seperti para sahabat dan tabi'in. 

Segala ibadah fardu ain yang dibebankan atas setiap diri kita ditunaikan. Terakhir adalah tetap teguh bersama pemimpin negara seperti kata Imam Ahmad: "Mendengar dan taat terhadap para imam serta pemimpin kaum mukminin, yang baik ataupun yang jahat". (lihat Ushul As Sunnah)

Kita doakan agar pasukan keselamatan negara mencapai kemenangan dan selamat daripada bahaya. Jika kita pernah mencaci dan menghina mereka maka sampailah masanya kita insaf lalu memohon rahmat untuk mereka. 

Sementara itu pasukan keselamatan perlu menetapkan niat untuk berjihad mempertahankan negara tanpa secarik perasaan untuk meraih gelar pahlawan, kekayaan atau habuan dunia. 

Kerana Rasulullah SAW pernah ditanya tentang seorang askar yang bertempur dengan dua niat iaitu untuk meraih pahala dan ghanimah (rampasan perang) hingga terkorban. Nabi berkata askar tersebut tidak mendapat syurga melainkan sebuah kematian. (lihat Jami'ul Ulum Wal Hikam)

Wahai para ibu dan kaum wanita, tenangkan hati kalian dan menangislah sekadarnya. Sebuah ratapan tidak akan mampu menjatuhkan seorang musuh sebaliknya doa dan dokongan. Para sahabiyah termasuk Ummul Mukminin telah membantu pasukan tentera Rasulullah SAW dengan kudrat mereka. 

Ada yang menjadi jururawat seperti Laila Al-Gifariah. Ada yang memberi motivasi dengan syair seperti Hindun binti Utbah. Malah ada yang mengangkat senjata ketika keadaan getir seperti Nusaibah binti Kaab. 

Sesungguhnya setiap orang harus memainkan wataknya sesuai dengan kemampuannya, serta menjaga lisannya daripada mendahului pemerintah, juga wajib bersatu di bawah panji pemimpin negara dan bertekad dalam sebuah akidah yang shahihah.

Comments

Popular posts from this blog